PERJALANAN Sabah FC di pentas Asia terhenti selepas tewas 0-3 di tangan jaguh Australia, Macarthur FC dalam aksi separuh akhir Piala AFC Zon Asean di Stadium Campbelltown di New South Wales, Australia pada Selasa.
Separuh masa pertama perlawanan sudah menunjukkan kelebihan banyak berpihak kepada pasukan tuan rumah apabila 71 peratus penguasaan bola dikuasai oleh kelab kendalian Mile Sterjovski berkenaan.
Jentera serangan wakil Australia yang diketuai penyerang Perancis, Valere Germain itu tidak membuang masa untuk membuat serangan demi serangan ke arah gawang yang dijaga oleh penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.
Macarthur akhirnya memecahkan kebuntuan pada lima minit sebelum tamat perlawanan separuh akhir pertama menerusi cetakan gol dari Ulises Davilla bagi memastikan pasukannya berada di depan sebelum memasuki bilik persalinan.
Seminit selepas wisel separuh masa kedua dibunyikan, pemain muda skuad kebangsaan Australia, Jed Drew menyumbat gol kedua untuk skuad The Bulls dan ia merupakan gol keduanya untuk kejohanan Piala AFC musim 2023.
BACA LAGI: Kim Swee ada senjata rahsia, ketiadaan Saddil Ramdani bukan penghalang
Kesebelasan utama Sabah menentang Macarthur.
Penyerang sayap kiri berusia 20 tahun, Jed sekali lagi menjadi ancaman buat pasukan The Rhinos apabila dia mencetak gol kedua peribadi pada minit ke-80 untuk membantu menjamin tiket akhir Piala AFC Zon Asean menjadi milik Macarthur.
Kekalahan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee di tangan wakil Australia itu membawa maksud bahawa Malaysia kini sudah tidak mempunyai mana-mana wakil dalam saingan pentas Asia selepas Terengganu dan Johor Darul Takzim (JDT) turut tewas bagi Liga Juara-Juara Asia (ACL).
Walaupun kekecewaan jelas terpapar di wajah pemain The Rhinos dan pahit untuk ditelan penyokong namun pemain ke-12 Sabah yakin bahawa kekurangan perlawanan kompetitif punca Sang Badak terkandas di New South Wales.
Selain, ada juga penyokong Sabah berpendapat kehilangan Saddil Ramdani yang dikhabarkan mengalami kecederaan juga turut dirasai lagi-lagi penyerang sayap itu merupakan watak utama untuk melancarkan gerakan serangan.
"Anggaplah sebagai persediaan pra musim sebelum liga bermula. Lama sudah tidak main perlawanan kompetitif," kata penyokong Sabah, Sallenaldo Salledinho.
"Nampak sangat kekurangan tanpa Saddil Ramdani," bagi penyokong The Rhinos, Eb Mus Tanak Tabasan.
"Lama cuti itulah sukar untuk kekalkan momentum permainan macam sebelum ini," tambah penyokong Sabah, Rikko Samuel. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram