Kim Swee ada senjata rahsia, ketiadaan Saddil Ramdani bukan penghalang


  • Podium
  • Selasa, 13 Feb 2024

Sebahagian sesi latihan akhir barisan pemain Sang Badak menjelang perlawanan separuh akhir Zon Asean Piala AFC berdepan Macarthur FC pada Selasa. — Facebook/Sabahfc

PASTINYA tugas pasukan Sabah FC di New South Wales bukanlah mudah, apa lagi ketiadaan pemain sayap Indonesia, Saddil Ramdani.

Pemain sayap lincah itu dikhabarkan mengalami kecederaan, menyebabkan dia tidak dapat bermain untuk perlawanan separuh akhir zon Asean Piala AFC menentang kelab Australia, Macarthur FC di Stadium Campbelltown di New South Wales pada Selasa.

Enggan mengulas mengenai ketiadaan Saddil, Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, dia mahu memberi tumpuan kepada skuad yang dimilikinya sekarang untuk perlawanan penting di Australia itu.

“Selama empat minggu, kami telah bersedia untuk perlawanan ini. Kami tidak mempunyai perlawanan persahabatan tetapi kami sudah bekerja keras dalam sesi latihan, yang menjadi petanda baik untuk perlawanan kami menentang Macarthur.

"Tetapi ia bukanlah satu tugas yang mudah untuk menewaskan Macarthur, yang berada dalam momentum terbaik apabila mencatat tujuh perlawanan tanpa kalah dan kini menghuni ketiga dalam Liga Australia (Liga A).

"Mereka juga mempunyai beberapa pemain berkualiti tinggi seperti penyerang Perancis Valere Germain, yang bermain untuk kelab Perancis terkemuka Monaco dan Marseille, pada musim lalu.

BACA LAGI: Sampai kena terapi, Saddil Ramdani bergenang mata emoji tak dapat ikut Sang Badak terbang ke Australia

WhatsApp Image 2024-02-13 at 08.26.52

Kehadiran tonggak Harimau Malaya, Stuart Wilkin (dua dari kiri) dilihat akan membantu Sabah FC membenam Macarthur FC. — Facebook/Sabahfc

BACA LAGI: [VIDEO] Lepas Safawi-Akhyar, khabarnya Ismahil Akinade antara 3 nama besar 'OTW' ke Terengganu

"Malah, mereka juga mempunyai pemain tengah Mexico, Ulises Davila dan bek tengah New Zealand, Tommy Smith, pemain yang berpengalaman luas di pentas antarabangsa.

“Saya tidak pasti siapa pemain yang akan diturunkan tetapi mereka mempunyai kualiti, yang jelas mereka tidak tewas dalam tujuh perlawanan atas sebab tertentu. Ia akan menjadi cabaran sebenar bagi kami.

“Kami sudah beberapa hari di Australia dan cuaca hampir sama dengan Kota Kinabalu.

“Perlawanan akan berlangsung pada waktu malam, jadi tiada isu untuk kami, tetapi dari segi prestasi, pasukan tuan rumah lebih baik.

"Kami harus berada pada tahap terbaik kami," kata Kim Swee.

Meskipun berdepan pasukan yang berada dalam momentum terbaik, Kim Swee bagaimanapun mempunyai senjata rahsia untuk menewaskan wakil kelab Australia itu.

“Ya, saya ada bertanya dengan pengendali skuad Australia Bawah 17 (B-17) Tahun, Brad Maloney mengenai pasukan tersebut dan prestasi mereka.

"Kami mendapat maklumat yang diperlukan tetapi seperti yang saya katakan, mereka berada pada tahap terbaik ketika ini. Perlawanan terakhir kami adalah pada bulan Disember, sementara mereka telah bermain begitu banyak perlawanan, jadi kecergasan perlawanan tidak menjadi masalah bagi mereka," katanya. — The Star/T.AVINESHWARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram