PERJALANAN Sabah FC dalam saingan Piala AFC masih belum berakhir. Mereka akan berdepan kelab Australia, Macarthur FC dalam saingan separuh akhir zon Asean pada Selasa depan.
Jika berjaya menewaskan kelab tersebut dalam perlawanan yang diadakan secara single-leg itu, skuad Badak berpeluang untuk menjadi juara zon Asean sekali gus mencerahkan peluang menjadi johan Piala AFC.
Sabah akan berdepan Macarthur pada 13 Februari dengan perlawanan akan berlangsung pada pukul 3 petang waktu Malaysia.
Kini telah tiba di Australia, sebenarnya skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee mempunyai permasalahan apabila tempang tanpa seorang ayam tambatan mereka.
Pemain tersebut adalah pemain sayap Indonesia iaitu Saddil Ramdani. Sebelum ini, ketiadaan Saddil menjadi tanda tanya apabila tiada gambarnya berlatih bersama-sama skuad Sabah sebelum terbang ke Australia.
BACA LAGI: Seorang lagi tak menjadi di JDT, bintang import Jepun ‘tercampak’ ke kelab bawahan China
Malah, kelibatnya juga tidak kelihatan apabila pemain tersebut tidak berada dalam kemas kini media sosial Sabah apabila skuad Badak tiba di Australia.
Misteri yang menyelubungi para penyokong Sabah itu akhirnya terungkai apabila pemain tersebut sebenarnya tidak dibawa ke Australia atas faktor mengalami kecederaan.
Perkhabaran tersebut disebarkan oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah iaitu Marzuki Nasir menerusi laman Instagramnya.
Menerusi Instagram Story, Marzuki mendedahkan yang Saddil terpaksa menjalani terapi untuk merawat kecederaan yang dialami olehnya pada waktu ini.
BACA LAGI: Tuah tahun naga jadi harapan perseorangan negara untuk layak ke Sukan Olimpik
Siaran IG Story Marzuki yang disiar semula oleh Saddil. — Instagram/@saddilramdanii
"Semoga cepat sembuh Saddil Ramdani dan dipermudahkan urusan terapinya," kata Marzuki dalam siaran tersebut.
Siaran Marzuki itu kemudiannya disiarkan semula (repost) oleh Saddil dengan pemain itu meletakkan emoji bergenang air mata.
Emoji tersebut seolah-olah memberikan tanda yang pemain itu pasrah dengan apa yang terjadi kepada dirinya kerana tidak dapat membantu Sabah dalam usaha mencari kejuaraan di Asia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram