[VIDEO] Seperti kena hint TMJ, hero Jordan di Piala Asia tidak mustahil ke JDT


  • Podium
  • Ahad, 11 Feb 2024

Qatar muncul juara saingan Piala Asia 2023 selepas menewaskan Jordan dengan keputusan 3-1. — Facebook/AFC

QATAR muncul juara Piala Asia 2023 selepas menewaskan Jordan dengan keputusan 3-1 pada perlawanan akhir di Stadium Lusail, Qatar pada Sabtu.

Dalam perlawanan tersebut, nama penyerang prolifik Qatar, Akram Afif mencuri tumpuan penyokong bola sepak selepas berjaya mencipta hatrik menerusi sepakan penalti sekali gus membantu negaranya bergelar juara.

Meskipun tewas 1-3 dalam aksi tersebut, Jordan berjaya membawa pulang gol sagu hati yang juga jaringan penyamaan di babak kedua menerusi Yazan Al Naimat.

Bagaimanapun, di kala Afif menjadi sebutan penyokong global, nama penyerang Jordan, Yazan turut mencuri tumpuan apabila timbul spekulasi bahawa tonggak Al-Ahli itu kini berada dalam radar salah satu pasukan Liga Malaysia (Liga M).

BACA LAGI: Kad magis Akram bukan hint ke Selangor tapi dedikasi buat insan tercinta

BACA LAGI: Legasi tak pernah padam, Nafuzi Zain antara 3 anak buah ikut jejak langkah Allahyarham Azraai Khor

Perkara itu dikongsikan oleh pemerhati sukan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam di laman X yang menganggap bahawa penyerang Jordan itu bakal berhijrah ke bumi Malaysia.

"Saham Yazan Al Naimat melonjak tinggi. Difahamkan, ada usaha membawa penyerang Jordan ini ke Liga Malaysia namun tampak sukar jadi kenyataan ketika kontraknya bersama Al Ahli berakhir Jun 2024," ciapnya.

Menjengah ruangan komen di media sosial, segelintir penyokong bola domestik beranggapan bahawa Johor Darul Takzim (JDT) antara pasukan yang menjadi destinasi baharu pemain berketinggian 1.81 meter itu.

Ia berikutan selepas satu komen daripada pemilik kelab JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris yang pernah mendedahkan bahawa dua lagi pemain baharu akan tiba di bumi Johor selain satu pemain bakal tiba pada Jun nanti.

Meskipun belum mendedahkan nama dua pemain tersebut, namun komen TMJ itu seakan-akan memberi bayangan bahawa Yazan merupakan individu tersebut.

Malah, perkara itu diperkuatkan lagi apabila kontrak Yazan bersama kelab Al Ahli tamat pada 30 Jun 2024 menerusi laman Transfermarkt.

Sebelum ini, JDT sudah mengumumkan ketibaan beberapa pemain import antaranya Jalil Elias dan Francisco Geraldes dalam membantu Harimau Selatan bersaing di pentas Asia iaitu Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram