TERENGGANU FC (TFC) akhirnya berjaya mengikat duo pemain sayap Johor Darul Takzim (JDT), Safawi Rasid dan Akhyar Rashid selama setahun secara pinjaman bagi membantu membantu mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas dilaporkan berkata, jika tiada sebarang masalah, dua pemain kebangsaan berkenaan bakal menjalani latihan pertamanya bersama skuad Penyu bermula 15 Februari ini.
"Peminat bola sepak Terengganu sudah lama menantikan kehadiran dua bintang ini yang memiliki kehebatan dan reputasinya tersendiri.
"Alhamdulillah, semua urusan pinjaman dua pemain ini telah selesai dan mereka bakal menyertai sesi latihan bersama rakan sepasukan tidak lama lagi," katanya.
Berdasarkan kenyataan dikeluarkan TFC, Safawi yang akan bermain di posisi sayap dan tengah bakal menyarung jersi bernombor 11 manakala jersi bernombor 33 akan disarung Akhyar dengan dia akan bertanggungjawab untuk mengemudi bahagian sayap TFC.
Tanpa berselindung lagi, kehadiran dua pemain berkenaan sememangnya ditunggu-tunggu penyokong Sang Penyu rentetan khabar angin yang sudah mula tersebar sejak saingan musim lepas.
Selepas ketibaan duo berkenaan, kem Terengganu akan bertambah meriah dengan kehadiran tiga lagi pemain yang turut rancak diperkatakan bakal menyarung jersi Hitam Putih pada musim baharu ini:
BACA LAGI: [VIDEO] Duo SRxAR diumum pemain baharu TFC, beri amaran awal kekuatan jentera serangan Sang Penyu
1) Ismahil Akinade
Sebagaimana yang diketahui, Terengganu sudah menggugurkan 12 pemain dan enam daripadanya ialah tonggak import yang digugurkan termasuk Sony Norde, Sardor Kulmatov, Omid Nazari, Adisak Kraisorn, Jordan Mintah serta kapten pasukan untuk musim 2023, Habib Haroon.
Kehilangan penyerang kedua, Mintah membuka peluang kepada kelab Pantai Timur berkenaan untuk membawa seorang lagi pemain dan nama Ismahil Akinade difahamkan berada dalam senarai untuk menjadi backup Ivan Mamut.
Khabar angin bermula selepas ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner pernah menyuarakan hasrat untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 30 tahun kelahiran Nigeria itu.
Meskipun ada penyokong yang kurang bersetuju dengan perpindahan bekas pemain Kelantan berkenaan namun ketinggian serta kekuatan fizikalnya pasti menjadi daya penarik Steinbruckner menginginkan Akinade.
Untuk rekod, bersama The Red Warriors (TRW) dan Kelantan United musim ini, Akinade telah beraksi sebanyak 25 kali dalam saingan Liga Malaysia sambil mencatatkan 10 gol serta enam bantuan jaringan.
2) Matthew Steenvoorden
Gambar tular menyerupai bek tengah kelahiran Belanda, Matthew Steenvoorden sedang berjalan-jalan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak membuatkan penyokong teruja dengan berita rasmi pengumuman pemain berkenaan.
Pemain yang juga mempunyai campuran darah Indonesia berkenaan difahamkan bakal menggantikan posisi bekas pemain Uzbekistan musim lalu, Sardor Kulmatov selepas bek bertubuh sasa itu tidak disambung kontrak.
Steenvoorden bukanlah sekadar import yang dicari dari laman Youtube kerana pihak pencari bakat Terengganu pasti mengetahui pengalamannya beraksi di peringkat antarabangsa bersama-sama negaranya iaitu Belanda.
Selain pernah beraksi untuk skuad bawah 19 tahun Belanda, bek berusia 30 tahin itu pernah tampil dalam aksi kelayakan Europa League bersama-sama Feyenoor dan saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) dengan kelab Uzbekistan, Pakhtakor pada musim lepas.
BACA LAGI: Dilabel good signing 2024, kehadiran Akram Mahinan buat fans TFC teringat bekas import 5 tahun sudah
3) Zhafri Yahya
Pemain tengah Kuala Lumpur (KL) City FC, Zhafri Yahya pernah menggemparkan penyokong Terengganu apabila dia dikhabarkan akan berkelana ke bumi Darul Iman pada jendela perpindahan Julai lepas.
Tidak dinafikan khabar angin berkenaan semakin pudar selepas Zhafri dilihat kekal menyarung jersi skuad Warga Kota namun ia kembali timbul apabila pemain berusia 29 tahun itu akui menerima tawaran daripada beberapa pasukan Liga Super lain.
Walaupun tidak mendedahkan nama kelab tersebut namun penyokong menimbulkan spekulasi pasukan yang dimaksudkan ialah Terengganu dan Zhafri dijangka mengikut jejak langkah rakan baiknya, Akram Mahinan ke skuad Sang Penyu musim ini.
Pengalaman Zhafri yang pernah membantu pasukan Warga Kota ke peringkat final Piala AFC boleh digunakan sebaiknya oleh skuad kendalian Steinbruckner untuk berusaha kembali merebut tiket ke pentas Asia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram