DALAM usaha melahirkan pemain muda berkualiti, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengambil keputusan menganjurkan saingan Piala Presiden yang diadakan setiap tahun.
Selain memberi platform buat mereka meraih minit permainan sepanjang musim, pertandingan tersebut turut memberi peluang buat pihak pengurusan menilai kebolehan 'ubi muda' pasukan.
Bagaimanapun, cabaran besar dihadapi kelab-kelab Liga Super apabila mereka perlu mencari pemain untuk diletakkan dalam skuad Piala Presiden.
Ketiadaan akademi tetap boleh dikatakan sebagai kesukaran terbesar perlu diatasi kerana pasukan perlu memastikan pelapis dimiliki mereka mempunyai masa depan cerah.
Jadi, salah satu cara terbaik untuk mencari penyelesaian daripada masalah itu adalah dengan mencari bakat terpendam di setiap negeri saban tahun.
BACA LAGI: 'Ke sana, ke sini', pinjaman JDT rupanya kena reject kekal dengan Tok Gajah
Gambar dikongsikan memaparkan jumlah peserta hadir untuk sesi pemilihan. — Facebook/Rai Azman
Antara yang ketika ini sedang sibuk menilai pemain ialah Sri Pahang FC kerana kelab Pantai Timur terbabit tidak memiliki sebuah sistem pembangunan bola sepak terurus.
Berdasarkan iklan dikongsikan di laman media sosial, kaedah yang diambil adalah dengan menawarkan ibu bapa dan penjaga membawa pemain dalam lingkungan usia ditetapkan bagi menyertai program pemilihan.
Namun, sistem seperti itu dikatakan kurang bersesuaian apabila terdapat pengguna Facebook, Rai Azman mendedahkan langkah sedemikian tidak lagi efektif dalam landskap bola sepak hari ini.
"Ramai, macam mana nak pilih, apakah kaedahnya? Pemilihan secara terbuka rupanya, patutlah suruh untuk datang sahaja. Ini masih di takuk lama, dah tahun 2024 ni.
"Ramai dah belajar pengurusan sukan. Bagaimana nak kendalikan sesi pemilihan supaya ia lebih efektif. Sudah-sudahlah buat pemilihan secara terbuka sebegini," katanya.
BACA LAGI: Fans Tok Gajah persoal kekalkan 'injury prone' Aguero, patut beri peluang buat ubi muda
Hebahan jemputan orang ramai bagi menyertai program pemilihan pemain untuk skuad Piala Presiden Pahang.
Sebelum ini, orang ramai dialu-alukan untuk menghadiri program yang diadakan di Padang Sintetik, Majlis Bandaraya Kuantan, Pahang dengan mereka memerlukan pemain tidak berusia lebih 20 tahun.
Pemilihan yang turut dibuat bagi mencari bakat untuk Sukan Malaysia (Sukma) itu membuka peluang buat lima pemain terbaik dari setiap daerah di Pahang.
Hebahan terbabit sememangnya mencuri perhatian, lebih-lebih lagi dengan reputasi Sri Pahang FC yang kerap memberi peluang buat anak kelahiran negeri tersebut dalam pasukannya.
Dalam pada itu, pengguna Facebook tersebut juga memberi cadangan supaya pihak pengurusan kelab mencari jalan supaya isu lambakan peserta tidak berulang.
"Boleh buat sesi pilihan dari peringkat awal semasa kejohanan atau pertandingan. Selain itu, mereka juga boleh jemput pemain yang ada potensi dari sekolah sukan atau pusat latihan daerah.
"Harap ada perubahan ketika sesi-sesi pemilihan akan datang. Jika beginilah keadaannya, di situlah sahaja kita selama-lamanya," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram