MASALAH perkauman dalam bola sepak antara isu yang sering berlaku dan ada situasi menyaksikan perkara berkenaan memberi impak kepada mental serta persembahan pemain.
Dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) juga pernah menyaksikan kejadian melibatkan isu rasis berlaku menimpa pemain dengan kes terawal menimpa kepada bekas pemain pertahanan Pahang, Damion Stewart.
Kira-kira 10 tahun lepas, bek tengah Tok Gajah yang ditandatangani pada 2013 itu didakwa menjadi mangsa ejekan berbaur perkauman dari dua bintang Johor Darul Takzim (JDT), Pablo Aimar dan Luciano Figueroa dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Makmur pada 7 Februari 2014, Figrueroa dan Aimar didakwa menggunakan kata-kata penghinaan terhadap Stewart termasuk memanggilnya 'monkey' dan 'negro'.
Difahamkan pemain kelahiran Jamaica itu diganggu sepanjang perlawanan oleh dua tonggak kelahiran Argentina berkenaan dan rakan sepasukannya di Pakistan, Zesh Rehman menjadi saksi utama dalam kes terbabit.
Memetik laporan media waktu itu, sumber menyatakan bahawa Stewart bersikap tenang dan tidak bertindak balas dengan marah semasa perlawanan walaupun sentiasa diejek oleh dua bintang Harimau Selatan itu.
BACA LAGI: Tak jadi kemas beg ke Perak, Adam Nor Azlin bakal pilih Sri Pahang jadi destinasi
Aimar (kiri) dan Figueroa (kanan) didakwa mengadakan provokasi berkenaan dalam aksi Liga Super pada 2014. — Facebook/JDT
BACA LAGI: Lupakan tawaran ke Jakarta, Sergio Aguero sign 2 tahun kontrak Sri Pahang demi projek gergasi
Selepas perlawanan, Stewart dilaporkan cuba untuk berdepan Aimar dan Figuero tetapi dihalang oleh pegawai pasukan yang memintanya untuk terus ke bilik persalinan.
"Nama baik sukan bola sepak itu tercemar dengan kata-kata yang merendahkan maruah. Sukan ini bertujuan untuk menampilkan imej bersih, adil dan menyeronokkan. Pahang FA memandang serius kejadian itu dan akan memastikan episod jelek itu tidak akan disembunyikan.
“Kami juga berharap FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) akan memandang serius perkara itu untuk mengelak kejadian serupa berulang pada masa hadapan,” kata sumber tersebut memetik laporan media tempatan pada Februari 2014.
Pahang FA melaporkan isu berkenaan kepada FAM namun dua pemain JDT yang didakwa mengeluarkan kata-kata penghinaan berunsur perkauman semasa menentang Pahang itu akhirnya dibebaskan daripada sebarang pertuduhan.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM ketika itu, Ednan Othman dilaporkan berkata, selepas meneliti bukti serta hujah yang dikemukakan, panel jawatankuasa sebulat suara memutuskan untuk menggugurkan pertuduhan ke atas Figueroa dan Aimar kerana tidak mempunyai bukti mencukupi.
Beliau berkata, kes berkenaan digugurkan akibat beberapa masalah teknikal termasuk mangsa iaitu Stewart membuat laporan tidak mengikut prosedur yang ditetapkan termasuk memaklumkan kepada pengadil bertugas semasa perlawanan berlangsung. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram