BARU-BARU ini, penyokong Kuala Lumpur (KL) City FC menerima satu berita mengecewakan apabila penyerang mereka, Romel Morales sudah meninggalkan pasukan selepas tiga musim menabur khidmat.
Meskipun khabar angin mengaitkannya dengan perpindahan ke kelab lain sudah diketahui lebih awal, perkhabaran itu masih sukar untuk ditelan apabila pemain berusia 27 tahun itu merupakan tonggak utama pasukan.
Kini, penyokong skuad Warga Kota sekali lagi menerima tamparan selepas pemain tengah mereka, Akram Mahinan turut mengumumkan bahawa dia akan meninggalkan kelab berkenaan.
Dalam satu hantaran di Instagram peribadinya, tonggak KL City FC tersebut memberi kata-kata penghargaan kepada kesemua pihak yang membantunya sepanjang berada di Lembah Klang.
"Alhamdulilah empat tahun yangg terindah bersama pasukan KL City FC. Sejujurnya, 2023 menjadi satu tahun yang mencabar buat saya dan mereka yang lain juga.
Akram beraksi dalam posisi sama seperti Habib Haroon. — Facebook/Terengganu FC
"Tetapi, sayangnya, saya rasa inilah masanya untuk mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan dan penyokong. Terima kasih kepada semua jurulatih, kakitangan kelab dan semua penyokong yang sentiasa berada di belakang kami," katanya.
Akram sebelum ini menyertai skuad Warga Kota dari PKNS FC pada 2020 selepas juga pernah mewakili beberapa pasukan Liga Super yang lain, termasuk Johor Darul Ta'zim (JDT).
BACA LAGI: Kecewa 'dibuang' Terengganu, Sony Norde kongsi dapat 3 tawaran kelab lain
Kemuncak kariernya boleh dianggap sepanjang berada bersama KL City FC apabila dia menjadi watak penting ketika kejayaan pasukan dalam Piala Malaysia 2021 serta kemaraan ke pentas akhir Piala AFC 2022.
Sebelum ini, pemain berusia 30 tahun tersebut dikaitkan dengan perpindahan ke Terengganu FC yang sudah menunjukkan minat sejak dua tahun lalu.
Kehilangan Habib Haroon yang juga beraksi sebagai pemain tengah bertahan membolehkan Akram dibawa masuk dalam misi skuad Sang Penyu menambah baik prestasi mereka musim depan.
Bagaimanapun, dengan pihak pengurusan Terengganu dan Akram tidak memberikan sebarang kenyataan, masih terdapat ruang buat pemain itu memilih destinasinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram