Dilabel pengganti Habib Haroon, Akram Mahinan mahu bantu TFC muncul ‘Top 3’ Liga Super


  • Podium
  • Ahad, 04 Feb 2024

Akram pernah membantu The City Boys bergelar juara dalam saingan Piala Malaysia pada 2021. — Instagram

BEKAS perancang Kuala Lumpur (KL) City FC, Akram Mahinan mahu meneruskan persembahan bertenaga di bahagian tengah dengan memilih pasukan yang berpangkalan di Pantai Timur iaitu Terengganu FC (TFC) bagi musim 2024.

Bekas tonggak The City Boys itu diumumkan sebagai pemain baharu TFC kerana dilihat berpotensi untuk menggantikan Habib Haroon.

Akram sah menandatangani perjanjian dua tahun bersama Sang Penyu dan gembira untuk berpindah ke Pantai Timur buat kali pertama.

BACA LAGI: Piala Asia: Jepun pulang awal hitung kekurangan dalam banyak aspek

WhatsApp Image 2024-02-04 at 16.50.21 (1)

Akram Mahinan mahu membantu Sang Penyu menghuni tangga ketiga Liga Super. — Facebook

BACA LAGI: Bintang tercicir skuad Piala Asia Jepun pilih The Rhinos sebab Kim Swee

“Ia pasukan besar dalam Liga Malaysia (Liga M) dan saya sukakan cabaran, jadi saya mengambil keputusan untuk menyertai Terengganu. Ia tidak mudah tetapi keterujaan itu ada, jadi saya tidak sabar untuk memulakan latihan.

“Pengurusan Terengganu telah berbincang dengan saya sejak Jun (2023), jadi saya tahu ini serius dan saya memutuskan untuk menerima tawaran tersebut," katanya.

Beraksi bersama pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang, Akram membantu The City Boys memenangi Piala Malaysia pada 2021 dan membantu mereka layak ke final Piala AFC pada 2022 dan final Piala FA pada 2023.

Musim lalu, Akram gagal memberikan impak seperti biasa kepada pasukan akibat kecederaan.

Malah, KL City FC juga dikhabarkan antara pasukan yang terpalit dengan masalah tunggakan gaji.

“Saya ada berbincang dengan pengurusan kelab mengenai masalah tersebut, jadi saya harap bayaran saya akan diselesaikan tidak lama lagi," jelasnya.

Tambahnya lagi, dia berharap agar dapat membantu Sang Penyu mendapat keputusan positif dalam saingan Liga Super musim 2024.

“Saya berharap dapat membantu Terengganu mendapat penamat tiga teratas dalam saingan Liga Super," ujarnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram