KEJAYAAN menamatkan saingan di tangga keempat Liga Super musim lalu boleh dianggap sebagai satu pencapaian cukup hebat buat Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Meskipun kedudukan akhir itu tidak menjanjikan slot buat skuad Sang Kenari di pentas Asia, ia boleh dianggap menakjubkan kerana mereka dilaporkan mengalami masalah tunggakan gaji.
Isu berkenaan difahamkan timbul berikutan kegagalan pihak pengurusan untuk melakukan perancangan rapi pada awal musim apabila membawa masuk beberapa pemain berprofil tinggi, seperti Lee Tuck dan Manuel Hidalgo.
Permintaan gaji tinggi di samping kekurangan pulangan daripada setiap perlawanan membawa kesan buruk pada akhirnya apabila skuad Sang Kenari gagal menguruskan kewangan mereka.
BACA LAGI: [VIDEO] Nafuzi tabik semangat kental pemain KDA walaupun terhimpit masalah dalaman
Skuad Sang Kenari berada di tangga keempat Liga Super musim lalu. — Facebook/KDA FC
Jadi, dalam memastikan hal tersebut tidak berulang bagi saingan akan datang, KDA FC pastinya akan cuba melakukan perubahan terhadap cara perbelanjaan pasukan.
Antara kelainan yang mungkin bakal diterapkan kelab Utara tanah air itu adalah dengan tidak membawa masuk seorang pemain berprofil tinggi dengan permintaan gaji tinggi.
Meskipun kehadiran pemain dengan latar belakang sebegitu kurang diyakini penyokong, ia merupakan langkah terbaik dalam memastikan struktur kewangan tidak terkesan.
Di samping itu, KDA FC juga semestinya cenderung untuk mengambil pemain secara pinjaman kerana pendekatan terbabit akan mengelakkan kelab tersebut daripada membayar gaji pemain secara penuh sepanjang bersama pasukan itu.
Berdasarkan pasaran semasa, terdapat tiga pemain terbaik yang boleh disambar bersesuaian dengan bajet dan gaya permainan skuad Sang Kenari bagi musim akan datang.
1. Syafiq Ahmad
Sepanjang beberapa bulan kebelakangan ini, KDA FC terus dikaitkan dengan bekas pemain mereka, Syafiq Ahmad yang kini kerap memanaskan bangku simpanan Johor Darul Ta'zim (JDT).
Dia yang difahamkan bakal meninggalkan juara Liga Super terbabit sememangnya cukup cocok dengan kelab Utara tanah air itu kerana ia merupakan kelab lamanya.
Selain itu, perpindahan berkenaan amat dinanti-nantikan penyokong Hijau Kuning memandangkan bekas penyerang kebangsaan terbabit pernah membantu mereka ketika dipinjamkan dua musim lalu.
Jika pemain berusia 28 tahun terbabit sah menyertai skuad kendalian Nafuzi Zain itu, mereka pastinya tidak perlu membuat pelaburan besar dalam memburu peledak import.
BACA LAGI: 'Kehilangan' Tan Sri antara 4 isu utama harap terjawab dalam sidang media khas KDA FC
Syafiq Ahmad merupakan calon terbaik untuk mengisi kekosongan slot penyerang skuad Sang Kenari. — Facebook/Arena HijauKuning
Bagaimanapun, masih terdapat beberapa kekangan untuk memeterai perjanjian antara kedua-dua kelab meskipun khabar angin mengatakan perpindahan tersebut hanya akan dibuat dengan status pinjaman.
Kekurangan minit permainan kompetetif Syafiq dalam saingan Liga Super 2023 dengan hanya tujuh penampilan direkodkannya pasti akan membawa kegusaran terhadap barisan kejurulatihan KDA FC.
Di samping itu, usaha tersebut boleh dianggap sukar buat skuad Sang Kenari kerana beberapa kelab lain, seperti Perak FC dan Terengganu FC dilaporkan berminat dengan penyerang berusia 28 tahun berkenaan.
Namun, dengan hubungannya cukup baik dengan penyokong KDA FC, Syafiq pasti akan lebih tertarik untuk kembali menabur jasa di negeri kelahirannya musim depan.
2. Sony Norde
Pelbagai persoalan pada awalnya diajukan setelah Terengganu FC membawa masuk bekas pemain sayap Melaka United FC, Sony Norde yang sudah berusia pada jendela perpindahan pertama musim lalu.
Walaupun memiliki kepantasan cukup mengagumkan bagi seorang penyerang import, usianya yang sudah mencecah 34 tahun memberi bayangan kehadirannya hanyalah satu penyelesaian jangka masa pendek daripada kelab Pantai Timur itu.
Tetapi, setelah memainkan peranan penting dalam Piala AFC dan saingan domestik musim lalu, penyokong skuad Sang Penyu mula mendesak supaya khidmatnya dikekalkan.
Sony tidak lagi bersama skuad Sang Penyu setelah kontraknya tidak disambung. — Facebook/Terengganu FC
Bagaimanapun, dengan Terengganu FC sudah mempunyai perancangan baharu, pemain kelahiran Haiti itu kemudiannya dilepaskan dengan dia kini tidak terikat dengan mana-mana kelab.
Meskipun terdapat ura-ura bahawa dia akan kembali menyertai Liga India, KDA FC boleh dikatakan destinasi cukup baik buat Sony musim depan.
Kekurangan pemain sayap berkualiti untuk digandingkan dengan Hidalgo membuka ruang buat penyerang sayap itu menembusi kesebelasan utama skuad Sang Kenari.
Selain itu, kepantasan dan kelebihannya dari segi fizikal akan memberi kelebihan dari segi serangan buat Kedah yang pasti mahu menebus kekecewaan gagal ke pentas Asia musim depan.
3. Muhaimin Izuddin Asri
Antara pilihan terbaik buat kelab-kelab Liga Super mendapatkan bintang muda ketika ini pastinya Kelantan FC yang sudah tidak lagi berpeluang beraksi dalam divisyen teratas bola sepak tanah air musim depan.
Salah seorang pemain yang sememangnya menjadi bahan bualan ialah bintang serba boleh, Muhaimin Izzudin kerana dia memiliki reputasi cukup baik sepanjang bersama skuad The Red Warriors (TRW).
Meskipun tidak mempunyai sebarang sumbangan di hadapan pintu gol, pemain tersebut memiliki kebolehan untuk membawa kelainan buat jentera serangan.
Muhaimin boleh diangkat prospek jangka masa panjang buat skuad Sang Kenari. — Facebook/TRW Kelantan FC
Jadi, sekiranya KDA FC mahu suntikan tambahan buat mereka musim depan, Muhaimin merupakan calon paling ideal, baik dari segi persembahan mahupun kewangan.
Berdasarkan skuad semasa, pasukan Utara tanah air itu hanya memiliki Hidalgo dan Fayadh Zulkifli Amin sebagai pemain sayap senior selepas tempoh pinjaman J Partiban tamat.
Kehadiran Muhaimin dapat menyelesaikan isu kekurangan pilihan itu dengan usianya yang muda memberi jaminan jangka masa panjang buat skuad Sang Kenari.
Namun, seperti Syafiq Ahmad, kebolehan serta reputasinya yang dikenali ramai pasti akan membuatkan usaha itu sukar kerana beberapa pasukan dilaporkan turut berminat dengannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram