DESAKAN demi desakan ketika ini dibuat penyokong terhadap pihak pengurusan Kedah Darul Aman (KDA) FC yang dikatakan tidak memberi sebarang jawapan mengenai isu dalaman kelab.
Mereka dikatakan berdepan isu tunggakan gaji sehingga tiga bulan berdasarkan perkongsian pemain serta kelab penyokong di laman media sosial.
Tidak cukup dengan itu, tindakan pihak atasan untuk berdiam diri mengenai perkara berkenaan sudah tentu menimbulkan lebih banyak persoalan mengenainya.
Isu tersebut diburukkan lagi dengan khabar angin mengatakan bek tengah pasukan, Rodney Calvin bakal meninggalkan KDA FC meskipun tiada sebarang penjelasan mengenainya.
Satu sesi sidang media khas bakal diadakan KDA FC pada Sabtu. — Facebook/KDA FC
Jadi, perkara-perkara berkenaan semestinya memerlukan jawapan, lebih-lebih lagi dengan skuad Sang Kenari boleh dianggap sebagai antara pasukan terbaik Liga Super ketika ini.
Bagaimanapun, pada Jumaat, kelab Utara tanah air itu memberi berita gembira buat peminatnya apabila mereka bersedia untuk mengadakan satu sesi sidang media.
Sesi yang diadakan pada Sabtu itu memberi ruang buat penyokong mereka untuk mengikuti perkembangan lanjut memandangkan ia akan disiarkan secara langsung di Facebook dan YouTube.
Namun, berdasarkan poster yang dikongsikan di laman media sosial KDA FC, tiada informasi mengenai individu yang bakal menghadirinya selain topik-topik bakal dibincangkan.
Tetapi, melihat kepada situasi yang dialami kelab, terdapat kemungkinan empat isu penting akan ditekankan dengan hal-hal itu kini sering menjadi teka-teki dalam kalangan penyokong.
1. Status kewangan kelab
Seperti dinyatakan di atas, KDA FC dikatakan sedang bergelut dengan isu kewangan sehingga menyaksikan beberapa pendedahan dibuat mengenainya.
Berdasarkan laporan, sebahagian daripada mereka difahamkan tidak menerima bayaran mencecah empat bulan yang mana sedikit menjejaskan prestasi pasukan di atas padang.
Persoalan semestinya akan diajukan memandangkan skuad Sang Kenari merupakan salah sebuah kelab Liga Super paling mewah ketika jendela perpindahan yang lalu.
KDA FC memilih mengadakan sesi latihan pramusim di Turkiye awal tahun lalu. — Facebook/KDA FC
Selain membawa masuk pemain import baharu, KDA FC turut mengadakan latihan dan siri perlawanan pramusim di luar negara bagi mempersiapkan pasukan.
Jadi, dengan mereka difahamkan sedang bergelut ketika ini, isu tersebut pastinya menjadi fokus utama dalam sesi sidang media terbabit.
Penyokong Hijau Kuning juga pastinya tertarik dengan hal itu memadangkan isu berkenaan terus membelenggu skuad Sang Kenari beberapa bulan kebelakangan ini.
2. Status penajaan
Awal musim lalu, KDA FC mengumumkan mereka berjaya membawa masuk penaja baharu untuk musim 2023, Bin Zayed International yang menggantikan perbadanan tempatan, DXN.
Kejayaan berkenaan sudah tentu diraikan penyokong pasukan memandangkan Bin Zayed International merupakan sebuah syarikat berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Ia turut dituruti dengan perbelanjaan besar-besaran kelab yang memasang cita-cita besar untuk mencabar kejuaraan Liga Super atau menamatkan penantian kejuaraan.
Bin Zayed diumumkan sebagai penaja baharu skuad Sang Kenari awal musim lalu. — Facebook/KDA FC
Namun, baru-baru ini, terdapat khabar angin mengatakan syarikat tersebut memilih untuk menarik diri sehingga memberi tamparan terhadap struktur kewangan kelab.
Isu tersebut bagaimanapun tidak diperjelaskan mana-mana pihak meskipun desakan terus dibuat mengenai kebenaran di sebalik status penajaan Bin Zayed International.
Antara perkara yang pastinya perlu pencerahan adalah mengenai status syarikat milik Sheikh Khaled Zayed Saquer Zayed Al Nahyan dengan KDA FC.
Selain itu, persoalan juga pastinya diajukan mengenai alternatif bakal diambil pihak pengurusan sekiranya syarikat itu memutuskan untuk menamatkan kontrak pada penghujung musim.
3. Status pemain
Kebenaran di sebalik pemergian Rodney Calvin sudah tentu menjadi salah satu tumpuan ketika sesi sidang media berkenaan memandangkan keputusan itu dibuat di luar jendela perpindahan.
Penghijrahan bek tengah berkenaan sudah tentu dimahukan penjelasan memandangkan ia dilihat berkait dengan kemungkinan terdapatnya isu tunggakan gaji.
Tetapi, sekiranya pihak pengurusan bertegas mengatakan pemain itu masih milik KDA FC, soalan sudah tentu diajukan akan hubungannya dengan kelab setelah kenyataan sedemikian dikeluarkan.
Beberapa pemain KDA FC dikhabarkan bakal meninggalkan skuad Sang Kenari pada jendela perpindahan akan datang. — Facebook/KDA FC
Selain itu, status mengenai beberapa pemain lain juga sudah tentu akan dipersoalkan memandangkan jendela perpindahan Liga Super sudah semakin hampir.
Kontrak mengenai pemain sayap lincah, Manuel Hidalgo yang dikhabarkan akan mencari kelab baharu pastinya akan ditanya dengan kehilangan penyerang itu akan melumpuhkan skuad Sang Kenari musim depan.
Masa depan pemain kelahiran Nigeria, Ifedayo Olusegun juga pastinya akan dikupas apabila dia dikhabarkan hanya menyertai KDA FC untuk jangka masa pendek.
Status bakat-bakat muda juga dilihat akan mencuri tumpuan memandangkan isu kewangan berpanjangan akan menyebabkan mereka bertindak mencari pasukan baharu dalam masa terdekat.
4. Status Tan Sri Mohd Daud Bakar
Pada penghujung musim 2022, penyokong skuad Sang Kenari menyaksikan momen bersejarah apabila usahawan tempatan, Tan Sri Mohd Daud Bakar diumumkan sebagai pemilik baharu kelab.
Ia menyaksikan KDA FC berada dalam landasan terbaik untuk bergelar sebuah kelab swasta tanpa meletakkan harapan dan sandaran besar terhadap kerajaan negeri.
Kehadirannya itu dilihat cukup beruntung apabila KDA FC berjaya menaikkan reputasi dan kualiti pasukan menerusi kehadiran pemain dan staf kejurulatihan baharu.
Selain itu, beliau juga dikatakan amat rajin untuk turun menyaksikan pasukannya setiap kali beraksi di Stadium Darul Aman, Kedah dengan perkara itu membuktikan hubungan antara mereka cukup baik.
Daud Bakar (kiri) mendiamkan diri beberapa bulan kebelakangan ini. — Facebook/KDA FC
Tetapi, sejak timbulnya khabar angin mengenai isu kewangan, Daud Bakar memilih untuk berdiam diri dengan tidak memberi sebarang kenyataan mengenai nasib pasukan.
Kehilangannya sudah tentu menimbulkan pelbagai tanda tanya memandangkan usahawan tersebut sebelum ini kerap berkongsi mengenai hala tuju serta sasaran kelab di laman Facebook peribadinya.
Kali terakhir Daud Bakar dilihat di khalayak adalah ketika KDA FC meraih keputusan seri ketika berdepan Johor Darul Takzim (JDT) di laman sendiri 26 Ogos lalu.
Sekiranya dia tidak kelihatan di sesi sidang media itu, persoalan mengenai statusnya dengan kelab sudah tentu akan menjadi topik utama dalam kalangan pengamal media. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram