[VIDEO] Nafuzi tabik semangat kental pemain KDA walaupun terhimpit masalah dalaman


  • Podium
  • Sabtu, 28 Okt 2023

KDA merakamkan kemenangan 3-0 ke atas NSFC. — Zaff Pictures

PENGENDALI Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain memuji semangat kekitaan yang ditonjolkan oleh para pemainnya.

Sang Kenari ketika ini mengalami masalah dalam terutamanya melibatkan pembayaran gaji selepas diakui sendiri oleh pemegang saham majoriti KDA, Tan Sri Daud Bakar.

Walaupun mempunyai masalah dalaman, tetapi KDA tetap berusaha untuk memberikan kemenangan buat penyokong terutamanya ketika beraksi di laman sendiri.

KDA berjaya mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Negeri Sembilan FC dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Jaringan oleh Manuel Ott, Amirbek Juraboev serta Ifedayo Olusegun telah menghidupkan api cabaran KDA dalam misi menghambat Selangor FC di kedudukan kedua Liga Super.

395220327_7068003943239352_5866628436091391799_n

Ifedayo menjaringkan gol ketiga KDA. — Zaff Pictures

Bercakap selepas perlawanan, Nafuzi memuji semangat para pemain mereka yang masih memberikan persembahan profesional walaupun masalah dalaman sedang dihadapi Sang Kenari.

"Satu semangat yang baik apabila kita susah bersama, kita senang bersama, kalau kita berjaya pun bersama.

"Kita lalui semua ini kerana kami hari-hari bersama jadi kita saling memahami. Apabila ada masalah, kita akan kongsi dan cari (jalan) macam mana nak selesai," kata Nafuzi dalam video di Twitter (X).

Nafuzi sedar yang bukan mudah untuk memastikan pasukan berada dalam keadaan terbaik ketika isu dalaman sedang melanda.

Malah dia juga tahu adalah sukar untuk membuat semua orang gembira tambahan ketika masa sukar sebegini.

"Kalau boleh, kita nak bagi semua orang gembira. Tapi tak senang nak buat. Mana yang mampu, kita bagilah," ujar Nafuzi lagi.

KDA bakal berdepan Kelantan FC, Selangor dan Sabah FC dalam baki saingan Liga Super mereka musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram