PERBELANJAAN besar dibuat Kedah Darul Aman (KDA) FC pada awal musim lalu tidak diterjemahkan kepada kejayaan di atas padang selepas pasukan itu hanya menduduki kedudukan keempat Liga Super.
Selain itu, penyingkiran awal daripada Piala FA, Piala Malaysia serta MFL Challenge Cup membuktikan bahawa terdapat pelbagai penamabahbaikan perlu dilakukan kelab Utara tanah air tersebut.
Antara langkah pertama perlu dilakukan skuad Sang Kenari adalah dengan memastikan terdapatnya sumber kewangan kukuh bagi mengelakkan isu tunggakan gaji dialami seperti tahun lalu.
Pemain dan staf pasukan dilaporkan tidak menerima bayaran sehingga empat bulan dengan masalah tersebut turut diakui pemilik kelab, Tan Sri Mohd Daud Bakar yang tampil mengadakan satu sesi sidang media untuk menceritakan hal itu.
Bagaimanapun, usaha membawa masuk seorang pelabur dengan sumber kewangan kukuh bukanlah sesuatu yang mudah meskipun KDA FC mempunyai sejarah cukup hebat dalam arena bola sepak tanah air.
BACA LAGI: Pangku tugas CEO KDA FC, peluang orang lama Kedah buktikan kemampuan
RMK (kiri) dilihat mampu mengubah nasib skuad Sang Kenari pada tahun-tahun mendatang. — Facebook/Kedah Royal Family
Namun, bagi seorang penyokong setia Hijau Kuning, Azwan Rohim berkata, suntikan dana besar boleh dilakukan Raja Mudah Kedah (RMK) Tengku Sarafudin Badlishah sekiranya pihak pengurusan dapat membentangkan idea dan misi pasukan terhadapnya.
"KDA FC perlu melakukan sesuatu yang drastik demi kelangsungan kelab untuk bersaing dengan lawan 'Big Boy' seperti Selangor FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT).
"Tan Sri telah melakukan yang terbaik, namun kita hanya merancang, tetapi perancangan ALLAH lebih baik. Cadangan yang mampu diutarakan dan dibentang adalah dengan memujuk RMK untuk mengambil alih kelab ini," katanya menerusi kiriman mesej kepada Majoriti.
Daud Bakar diumumkan sebagai pemegang saham majoriti skuad Sang Kenari pada penghujung 2022 dengan pemilikan itu menjadikan KDA FC tidak lagi terlibat secara langsung dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).
Meskipun berjaya memberikan sinar harapan pada awal kehadirannya, masalah dihadapai pasukan berkenaan membuatkan rata-rata penyokong terus mendesaknya agar melakukan perubahan segera.
BACA LAGI: Anak murid Nafuzi, bekas pemain antara dalam senarai 'bocor' KDA FC untuk 2024
Usaha Daud Bakar musim lalu masih belum mencukupi untuk mengangkat skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC
Tambah Azwan lagi, kebolehan kelab tersebut tidak perlu dipersoalkan apabila mereka berjaya meraih keputusan seri dengan JDT musim lalu selepas dijanjikan insentif berbaloi.
"Kedah sebuah pasukan yang hebat. Ketika tiada pasukan lain yang mampu mengikat skuad Harimau Selatan, Kedah muncul satu-satunya pasukan yang melakukannya. Itu pun setelah dijanjikan bonus.
"Bayangkan jika gaji dan bonus lancar, saya percaya JDT mampu ditumbangkan Kedah. JDT ketika ini berada di kelasnya yang tersendri dan setiap pasukan sangat-sangat mengidamkan untuk menumbangkan mereka dan itu fakta.
"Saya berharap Tan Sri berjaya memujuk RMK untuk memiliki KDA FC dan merevolusikan pasukan supaya mampu bersaing dengan JDT dan Selangor FC," katanya.
Selepas menamatkan saingan Liga Super 2023, skuad kendalian Nafuzi Zain dilaporkan berpeluang beraksi di pentas Asia dalam Asean Club Championship (ACC) selepas ini.
Bagaimanapun, penyertaan mereka masih menimbulkan keraguan dalam kalangan penyokong yang khuatir jika perkara itu hanya akan memberi tekanan hebat terhadap struktur kewangan pasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram