Lepas bantu TFC II juarai Piala MFL, bek tengah lasak disebut-sebut 'kemas beg' ke Penang


  • Podium
  • Isnin, 12 Feb 2024

Kualiti 'ubi muda' skuad Piala MFL Sang Penyu sememangnya tidak boleh dipandang rendah. — Facebook/Terengganu FC II

PERSEMBAHAN cukup baik dipamerkan Terengganu FC II dalam saingan Piala MFL musim lalu kerana mereka hanya mengalami satu kekalahan sepanjang pertandingan berlangsung.

Prestasi menakjubkan terbabit disempurnakan dengan kejayaan mengatasi Johor Darul Ta'zim (JDT) II dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Cheras, Kuala Lumpur (KL).

Jadi, tidak hairanlah apabila khabar angin mengatakan beberapa pasukan Liga Super kini cukup berminat untuk mendapatkan bintang dalam pasukan tersebut.

Antara nama yang dikatakan mula dipantau pada jendela perpindahan semasa ialah ubi muda mereka, Muslihuddin 'Atiq Mat Zaid serta Ubaidullah Shamsul Fazili.

Selain itu, terdapat ura-ura mengatakan pengendali pasukan, Hairuddin Omar yang berminat dengan kebolehan kedua-dua prospek itu menyerap gaya permainan moden buat Terengganu FC II.

BACA LAGI: Hanya sebab cedera semasa latihan, Terengganu pernah tamatkan kontrak bintang import lebih awal

WhatsApp Image 2024-02-12 at 21.04.57

Aqil dilaporkan bakal menyertai Penang FC pada jendela perpindahan kali ini. Facebook/Malayantigerfans

Namun, baru-baru ini, seorang lagi tonggak skuad muda Sang Penyu dikatakan bakal meninggalkan kelab Pantai Timur terbabit dalam masa terdekat.

Berdasarkan hantaran di laman Facebook Malayantigerfans, Aqil Irfanuddin Mohd Sabri dikatakan berada dalam radar pasukan Utara tanah air, Penang FC.

Meskipun kurang dikenali penyokong kedua-dua pasukan, sumbangan pemain berusia 26 tahun itu tidak boleh dipandang remeh ketika membantu Terengganu FC II menjuarai Piala MFL.

Dia yang beraksi untuk 90 minit ketika berdepan JDT II dalam aksi final mempunyai mutu dan kebolehan diperlukan seorang bek tengah dalam Liga Super.

Malah, dalam perlawanan akhir tersebut, Aqil diberikan kepercayaan untuk memakai lilitan tangan kapten yang membuktikan nilainya buat skuad kendalian Hairuddin.

BACA LAGI: Selain puji Harimau Selatan, bekas import JDT diam-diam 'tabik' stadium Terengganu FC

401739853_325485713451873_8100113236870799908_n

Aqil (tengah) diberikan peranan kapten ketika berdepan JDT II dalam perlawanan akhir. Facebook/Terengganu FC II

Ketika ini, skuad Harimau Kumbang dilaporkan sedang dalam usaha melakukan rombakan terhadap pasukan selepas kehadiran ketua jurulatih baharu, Akmal Rizal Ahmad Rakhli.

Kemasukan Aqil Irfanuddin mampu menjadi satu langkah bijak buat mereka kerana hanya Rafael Vitor dan Zaw Min Tun merupakan pemain di posisi terbabit.

Bagaimanapun, masa depan kedua-dua mereka masih belum dijelaskan pihak pengurusan Penang FC yang difahamkan mahu membuat perubahan besar terhadap import pasukan.

Aqil juga dilihat akan diberikan lampu hijau untuk meninggalkan kelab Pantai Timur berkenaan yang sudah memiliki pelbagai pilihan di posisi terbabit.

Untuk rekod, bek tengah itu merekodkan 16 penampilan bersama Terengganu FC II dalam Piala MFL dengan kali terakhir dia diberikan peluang dalam skuad utama pasukan adalah ketika saingan Piala Malaysia 2021. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram