TERENGGANU FC (TFC) mengumumkan bahawa tidak akan berbelanja besar pada musim 2024/2025 bagi mengelak pasukan terjerumus dalam kemelut tunggakan gaji seperti yang berlaku kepada beberapa kelab Liga Super sebelum ini.
Dalam memastikan kelab sentiasa di landasan yang tepat, pihak pengurusan memaklumkan hanya menggunakan enam pemain import walaupun pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membenarkan 10 kuota import boleh didaftarkan.
Selain itu, Terengganu juga sudah melepaskan lima pemain tempatan pada Disember lepas iaitu Adib Zainuddin, Azarul Nazarith Azhar, Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali, Rahmat Makasuf dan Shafawi Mohamad.
Usaha berkenaan tidak berhenti di situ apabila ada khabar angin skuad Sang Penyu juga difahamkan akan menggugurkan pemain tengah, Zuasyraf Zulkiefle, yang mana kini dia dikatakan berada dalam radar Penang FC.
Desas-desus berkenaan bermula selepas laman penyokong bola sepak tanah air, Palatao Bola memuat naik khabar angin Zuasyraf akan menyarung jersi Harimau Kumbang pada musim baharu ini.
BACA LAGI: Dilabel good signing 2024, kehadiran Akram Mahinan buat fans TFC teringat bekas import 5 tahun sudah
Penampilan Zuasyraf pada musim lepas diberi kritikan hebat oleh penyokong TFC. — Facebook/Terengganu FC
BACA LAGI: Selain KL City FC, Zhafri Yahya dedah dapat tawaran lain kelab Liga Super
Namun, tiada kenyataan rasmi sama ada Zuasyraf akan berhijrah ke Penang sebagai pemain pinjaman ataupun sebagai tonggak tetap tetapi khabar angin berkenaan mendapat respons positif daripada penyokong kelab Pantai Timur itu.
Aksi pemain berusia 27 tahun berkenaan kurang diminati penyokong TFC dan Zuasyraf lebih banyak dikecam apabila terlalu kerap melakukan kesilapan mudah seperti gagal membuat hantaran tepat.
Graduan akademi kelab berkenaan merekodkan 15 penampilan dan tiga daripadanya diturunkan semasa kejohanan Piala AFC peringkat kumpulan pada musim lepas.
Sekalipun Zuasyraf mengambil keputusan untuk berhijrah ke Harimau Kumbang, Terengganu juga sudah menemui pemain tengah bertahan yang boleh menggantikan dia dan ketua pasukan, Habib Haroon iaitu Akram Mahinan.
Untuk rekod, Akram merupakan arkitek yang membantu pasukan Warga Kota menjulang trofi Piala Malaysia 2021, mara ke pusingan akhir saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada 2022 serta pemain utama ketika KL City dinobatkan sebagai naib juara Piala FA 2023.
Dalam pada itu, sekiranya perpindahan Zuasyraf ke Penang berlaku, ramai penyokong berharap ia akan menjadi medan untuk pemain berkenaan mencari potensi sebenar dengan meraih banyak minit permainan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram