BEKAS penyerang import Johor Darul Takzim (JDT), Diogo Luis Santo memberikan pujian tertinggi kepada pencabar pasukannya, Terengganu FC.
Menerusi satu temu bual bersama media Thailand, Think Curve, Diogo menganggap terdapat beberapa cabaran hebat yang perlu ditempuhi untuk beraksi di Liga Malaysia (Liga M).
Antara perkara utama yang dikritik oleh import JDT itu adalah keadaan padang yang kurang memuaskan sekali gus merencatkan permainan sebenar yang perlu ditampilkan.
“Keadaan stadium adalah perkara lain. Johor mempunyai stadium yang baik. Tetapi, kadangkala bermain di tempat lawan agak sukar untuk menampilkan bola sepak sebenar.
“Para pemain tidak dapat melakukannya kerana keadaan padang tidak baik. Semasa saya bermain untuk Johor, kami banyak bercakap tentang perkara ini. Sekurang-kurangnya mereka harus mempunyai stadium yang bagus. Biarkan pemain bola sepak bermain bersama," katanya.
BACA LAGI: Pernah dikecam hebat hanya kerana seri lawan Sabah, zaman Kelantan FC sudah jauh berubah
Diogo beraksi bersama JDT dalam dua tempoh berbeza. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
BACA LAGI: Khidmat Darren Lok antara 4 tonggak Sabah FC ditagih benam Macarthur FC
Dia juga sempat memberikan pujian kepada pasukan Terengganu FC yang memiliki fasiliti dan keadaan padang yang amat baik.
“Sekarang ini hanya ada Johor dan Terengganu, dua pasukan yang mempunyai stadium yang bagus. Ini adalah kelemahan Liga Super Malaysia.
"Kalau bercakap tentang stadium di Thailand, mungkin ada dua atau tiga stadium yang tidak berapa bagus. Tetapi anda masih boleh bermain. Akan tetapi, dalam liga Malaysia di sesetengah stadium adalah mustahil untuk bermain bola sepak,” ujarnya.
Sebelum mengambil keputusan untuk bersara, pemain kelahiran Brazil itu berkelana hampir beberapa musim di Malaysia bersama skuad Harimau Selatan dan berjaya merekodkan jumlah jaringan yang memberangsangkan.
Bersama-sama JDT, Diogo melakukan 51 penampilan sambil menghasilkan 25 gol serta 17 bantuan jaringan dalam dua tempoh berbeza dengan kelab.
Di Malaysia, Diogo berjaya memenangi tiga gelaran Liga Super, satu Piala FA, satu Piala Malaysia dan satu Piala Sultan Haji Ahmad Shah (Sumbangsih).
Selain daripada JDT, kelab Thailand, Buriram United dan BG Pathum United di Thailand merupakan kelab yang pernah diwakili oleh Diogo. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram