[VIDEO] Duo SRxAR diumum pemain baharu TFC, beri amaran awal kekuatan jentera serangan Sang Penyu


  • Podium
  • Isnin, 12 Feb 2024

Berita penghijrahan dua pemain sayap itu ke Terengganu sudah mula heboh sejak hujung 2023. — Facebook/TFC

TIADA lagi teka-teki buat penyokong Terengganu FC (TFC) selepas duo sensasi, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid kini sah menyertai skuad Sang Penyu bagi membantu memperkuatkan jentera serangan pada musim depan.

Perkembangan itu dikongsikan menerusi pengumuman rasmi media sosial kelab pada Isnin yang menyaksikan video memaparkan wajah kegembiraan dan hubungan baik dua pemain berkenaan.

Sebelum ini, penghijrahan dua pemain sayap itu ke Terengganu sudah mula diperkatakan orang ramai selepas Johor Darul Takzim (JDT) merancang menstruktur kewangan bagi memastikan kelangsungan bagi jangka panjang.

Kehadiran Akhyar dan Safawi dilihat sebagai sesuatu keputusan yang tepat buat skuad kendalian Tomislav Steinbruckner, selepas ramai pemain ternama mereka digugurkan pada musim baharu ini.

BACA LAGI: Kerap buat silap mudah buat fans senang hati graduan TFC dikhabar ke Penang FC

BACA LAGI: Dilabel good signing 2024, kehadiran Akram Mahinan buat fans TFC teringat bekas import 5 tahun sudah

Walaupun dua pemain berkenaan kurang mendapat tempat bersama Harimau Selatan namun kualiti mereka masih belum pudar dan ia dibuktikan apabila kedua-duanya mendapat tempat dalam skuad kebangsaan dalam kempen Piala Asia 2023 baru-baru ini.

Menjengah ruangan komen penyokong, ramai berpuas hati dengan kehadiran duo tersebut dan yakin Terengganu mampu memberikan saingan sengit di bahagian serangan walaupun kurang menggunakan tenaga import.

Pihak pengurusan TFC memaklumkan hanya menggunakan enam pemain import walaupun pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membenarkan 10 kuota import boleh didaftarkan.

Dengan kehadiran Akhyar dan Safawi serta Ivan Mamut di tengah, Terengganu sudah memberi amaran awal ketajaman dan kreativiti di bahagian serangan.

Pasti ramai teruja untuk menyaksikan sama ada musim ini akan menjadi detik kebangkitan kembali buat dua pemain kebangsaan itu bersama Terengganu ataupun sebaliknya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram