BOLA Pegun kembali menemui pembaca dengan mengalihkan tumpuan ke aksi Piala Negara-Negara Afrka dan Piala Asia. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka pasukan-pasukan mengatasi pelbagai rintangan dalam memburu kejayaan.
STADIUM Alassane Ouattara di Abidjan, Cote d'Ivoire ‘meledak’ apabila Sebastian Haller menyudahkan jaringan dari satu hantaran untuk memberikan Cote d'Ivoire pendahuluan dalam final Piala Negra-Negara Afrika (AFCON) 2023 pada Ahad.
Kamera televisyen tertumpu kepada legenda Cote d'Ivoire, Didier Drogba yang meraikannya seolah-olah bekas penyerang Chelsea itu yang menjaringkan gol kemenangan.
Gol Haller menghadiahkan Cote d'Ivoire kemenangan 2-1 ke atas Nigeria untuk mereka menjulang trofi buat kali ketiga, cuma kali ini ia dilakukan di halaman sendiri.
Sehari sebelum itu di Qatar, lebih 85,000 penonton menyaksikan Akram Afif menyempurnakan hatrik sepakan penalti untuk pasukan negara tuan rumah itu meraih kemenangan 3-1 ke atas Jordan dan mengesahkan kejuaraan kali berdua berturut-turut dalam Piala Asia 2023.
Ia adalah kali pertama sejak 1980 apabila Nigeria dan Kuwait masing-masing tampil juara AFCON dan Piala Asia yang dianjurkan di negara mereka sendiri.
BACA LAGI: [VIDEO] Pernah lawan CR7 antara klu duo serangan Asia Barat bakal pecah tradisi JDT
Akram (11) menjadi wira buat Qatar dengan jaringan hatrik ketika berdepan Jordan. — Agensi
Seperti dirumuskan laman sesawang forbes.com, bukan Qatar dan bukan juga Cote d'Ivoire dilihat sebagai pilihan hangat untuk bergelar juara sebelum sepak mula kejohanan tetapi kedua-duanya memanfaatkan kelebihan gelanggang sendiri untuk unggul kesudahannya.
Kejayaan Cote d'Ivoire adalah yang ke-12 oleh negara tuan rumah sepanjang 34 kali AFCON dilangsungkan. Mereka menamatkan kemarau kejuaraan tuan rumah, dengan tiada yang mampu mara ke final sejak kejayaan Mesir tampil juara pada 2006.
Cote d'Ivoire juga memenangi kejohanan kali ini dengan cara sukar apabila sekadar mengelak tersingkir di peringkat kumpulan selepas kekalahan 0-4 kepada Equatorial Guinea – mendorong mereka memecat ketua jurulatih, Jean-Louis Gasset dan digantikan oleh penolongnya, Emerse Fae.
Begitupun, mereka masih perlu menghadapi pasukan pilihan, Senegal, di pusingan 16 terakhir yang dimenangi tuan rumah itu dalam penentuan sepakan penalti dan kemudian memerlukan gol minit terakhir untuk menyingkirkan Mali dalam suku akhir.
Bintang dalam kebangkitan mereka ialah Haller, yang baru kembali bermain pada waktu ini tahun lalu selepas menjalani rawatan kanser dan hampir terlepas kejohanan ini kerana kecederaan pergelangan kaki.
BACA LAGI: Piala Asia: Kad magis Afif, hatrik penalti beri Qatar gelaran juara berturutan
Haller memainkan peranan penting ketika membantu Cote d'Ivoire muncul juara AFCON kali ini. — Agensi
Haller, penyerang Borussia Dortmund, menjaringkan gol tunggal dalam separuh akhir menentang DR Congo sebelum mendapatkan gol kemenangan dalam final semalam.
Sebaliknya, di Asia, tuan rumah lazimnya lebih berjaya dengan menjuarai lapan daripada 18 kejohanan Piala Asia setakat ini.
Dengan faktor iklim, musim dan perbezaan waktu memiliki impak lebih besar di Asia dan Afrika berbanding di Eropah, tuan rumah boleh meraih kelebihan di samping stadium yang sesak dengan penyokong mereka.
Di Afrika, boleh dilihat kurangnya kejayaan pasukan-pasukan Arika Utara dalam kejohanan AFCON yang dilangsungkan di selatan Sahara.
Qatar dikira beruntung kerana ada banyak kejohanan dianjurkan di negara itu dan negara berjiran termasuk Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala Dunia 2022 di samping banyak pasukan menggunakan wilayah berkenaan untuk kem latihan atau gelanggang sendiri bagi negara-negara yang menghadapi konflik.
Qatar meraih manfaat dengan menjadi tuan rumah Piala Asia dalam edisi kali ini. — Agensi
Selain itu, Qatar juga memiliki kelebihan selaku pasukan tuan rumah yang mendapat undian lebih mudah dengan mengelakkan pasukan-pasukan terkuat di peringkat kumpulan.
Kemudian, Qatar berdepan Palestin, pasukan di tangga ketiga kumpulannya. Ini disusuli pertemuan dengan Uzbekistan yang menduduki tangga kedua kumpulannya. Satu-satunya juara kumpulan yang dihadapi Qatar ialah Iran dalam separuh akhir.
Dengan format 24 pasukan, adalah mustahil untuk mendapatkan pusingan kalah mati yang seimbang. Dua juara kumpulan dijamin akan berdepan pasukan tangga ketiga kumpulan dalam pusingan 16 dan mengelak pertemuan dengan juara kumpulan yang lain sehingga suku akhir. Dua juara kumpulan yang lain menghadapi pasukan di tangga kedua kumpulan.
Sebagai perbandingan, banyak yang sudah dibualkan mengenai kekalahan mengejut Korea Selatan kepada Jordan dalam separuh akhir tetapi skuad Pahlawan Taeguk itu langsung tidak berkelebihan apabila dua kali diheret bermain 120 minit menentang pasukan juara kumpulan sebelum itu.
Kejayaan Cote d'Ivoire dalam AFCON 2024 boleh dianggap cukup membanggakan. — Agensi
Namun, tiada apa-apa yang boleh menafikan hak Qatar mahupun prestasi Jordan yang mengagumkan ketika menyingkirkan Korea.
Cote d'Ivoire turut memiliki kelebihan yang sama daripada tuah undian walaupun prestasi hambar di peringkat kumpulan bermakna mereka mengharungi bahagian undian lebih sukar di peringkat kalah mati.
Bagi tahun ini, negara tuan rumah tidak dijangka tampil juara sebelum tirai kejohanan disingkap. Tapi itu akan berubah apabila AFCON 2025 berlangsung di Maghribi manakala Piala Asia 2027 dianjurkan Arab Saudi – kedua-duanya dilihat sebagai antara pasukan terkuat di benua masing-masing.
Ketika itu, sebarang pertaruhan ke atas negara tuan rumah harus bukan sesuatu yang tak masuk akal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram