BOLA Pegun kembali menemui pembaca dengan mengalihkan tumpuan ke aksi Piala Asia 2023 di Qatar. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka pasukan-pasukan mengatasi pelbagai rintangan dalam memburu kejayaan.
AKRAM Afif melutut sejurus wisel penamat ditiupkan disusuli sujud syukurnya. Belum pun lama, penyerang itu diangkat dan dilambung oleh rakan-rakan sepasukan selepas hatrik sepakan penaltinya memberikan Qatar kejuaraan berturut-turut dalam final Piala Asia 2023 di Stadium Lusail pada awal Ahad.
Afif, pemain paling bernilai (MVP) kejohanan dan penjaring terbanyak dengan lapan gol, tiada langsung kegemuruhan ketika menyempurnakan tiga sepakan penalti yang ditugaskan kepadanya dalam kemenangan 3-1 ke atas Jordan bersaksikan 86,492 penonton, termasuk Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani, dan Presiden FIFA, Gianni Infantino.
Lebih sedikit daripada setahun lalu, Lionel Messi dan Kylian Mbappe yang menerangi venue gemilang itu dalam final Piala Dunia yang rata-rata dianggap sebagai yang terbaik sepanjang zaman.
Namun, penghormatan itu kali ini menjadi milik Afif yang tampil selaku pemain pertama melengkapkan hatrik dalam final Piala Asia.
Tidak syak lagi, dia adalah bintang pasukan kebangsaan negaranya dari permulaan kejohanan ini lagi dan Afif tidak mengecewakan ketika ia terserah kepadanya untuk menghadirkan momen-momen penentuan sambil Qatar dinobatkan sebagai juara beturut-turut yang pertama sejak kejayaan Jepun pada 2000 dan 2004.
Antara momen ketika Afif menyempurnakan sepakan penalti buat Qatar. — Facebook/QFA
Di hadapan penyokong tuan rumah dengan sorakan bersemangat mereka – sekadar meningkatkan lagi tekanan dalam suasana perlawanan kemuncak – Afif langsung tidak kelihatan akan menghampakan mereka dari titik sepakan penalti dan dia menyemarakkan kegembiraan dengan setiap jaringan.
“Saya sempurnakan ketiga-tiga sepakan penalti di atas keyakinan rakan-rakan sepasukan ke atas saya. Ia bukan sangat teknik, ia lebih kepada perasaan bahawa seluruh pasukan dan penyokong berada di belakang saya,” katanya.
Afif memenangi dan menyudahkan sepakan penalti pertamanya pada minit ke-22. Selepas Yazan Al Naimat mengimbangi kedudukan pada minit ke-67, dia memenuhi harapan sekali lagi pada minit ke-73 dan melengkapkan kemenangan Qatar lima minit dalam masa pemberhentian.
Di peringkat awal kejohanan ini, Afif berkongsi hasratnya untuk kembali ke bola sepak Eropah selepas tempoh awalnya di Sepanyol dan Belgium pada permulaan kerjayanya.
Prestasi cemerlangnya dalam final harus berkemungkinan turut mendapat perhatian daripada kelab-kelab jauh dan dekat.
Sambil kejuaraan kali ini adalah kejayaan peribadi untuknya, ia hadir sebagai suatu penebusan buat Qatar yang menderitai pengalaman Piala Dunia 2022 di tanah air sendiri selepas tiga kekalahan berturut-turut di peringkat kumpulan – 0-2 kepada Ecuador, 1-3 kepada Senegal dan 0-2 kepada Belanda.
Selaku tuan rumah dan juara bertahan sekalipun, Qatar tidak dijangka mara sejauh final, apatah lagi untuk tampil juara.
Al Naimat (kanan) menjadi menjadi penjaring tunggal buat Jordan dalam aksi menentang Qatar itu. — Facebook/JFA
Ketua pasukan, Hassan Al-Haydos, mendedahkan sehari sebelum final berkenaan bagaimana pengkritik tidak mempunyai banyak jangkaan terhadap pasukan menjelang sepak mula kejohanan kali ini.
Harus ia amat memuaskan untuknya dibaluti jubah istiadat Qatar seperti yang dipakaikan kepada Messi ketika menjulang trofi Piala Dunia di venue sama lebih sedikit daripada sestahun lalu pada 18 Disember 2022.
Selepas kekecewaan daripada kempen berkenaan, kini adalah satu momen untuk satu sambutan kebangsaan ketika Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani menyerahkan trofi Piala Asia kepada Al-Haydos, yang disusuli pesta bunga api.
Terdahulu, jurulatih Qatar dari Sepanyol, Marquez ‘Tintin’ Lopez, dilihat tersepuk di tempat duduknya seakan-akan kepenatan sambil menantikan penamat kepada masa pemberhentian yang berlanjutan selama 17 minit.
Tekanan yang dipikulnya sepanjang sebulan lalu benar-benar menuntut sehabis dayanya – Tintin baru dilantik menggantikan Carlos Queiroz selaku ketua jurulatih Disember lalu dan Qatar ditewaskan 2-1 oleh Jordan dalam satu aksi persahabatan pada Januari.
Al-Haydos juga merupakan salah satu nadi utama bahagian serangan dengan dia bertugas sebagai penyerang sayap kanan. — Facebook/QFA
“Ia satu perlawanan yang amat sukar dan tekanannya terlalu tinggi,” katanya. “Mungkin ia bukan bola sepak cantik yang diharap-harapkan ramai tapi semua orang mengingati siapa pemenangnya.”
Seperti Afif, Lopez turut dijulang dan dilambung sebagai sebahagian daripada pesta keraian.
Di sebalik persiapan sukar selepas mewarisi kerusi panas daripada Queiroz, Lopez dengan cemerlang mengemudi Qatar mempertahankan kejuaraan yang ia menangi pada 2019 – menundukkan Jepun 3-1 hasil gol-gol Almoez Ali, Abdulaziz Hatem dan Akram Afif (p) di Stadium Sheikh Zayed Sports City. Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Kejayaan pada awal Ahad mengangkat Qatar selaku negara tuan rumah kelapan ditabalkan juara selepas permulaan cemerlang dengan rekod 100% di peringkat kumpulan hasil kejayaan menundukkan China 1-0, Tajikistan 1-0 dan Lebanon 3-0.
Bertitik tolak dari pertunjukan meyakinkan di peringkat awal, Afif melanjutkan ‘form’ sedemikian dalam final, mula-mula dengan memaksa penjaga gol Jordan, Yazeed Abulaila, dua kali menyelamatkan percubaannya dan seterusnya dia dijatuhkan Abdallah Nasib dalam petak penalti.
Afif tidak melakukan kesilapan dengan menghalakan sepakan penalti rendahnya ke penjuru kiri pintu gol dan kemudian berlari ke kamera televisyen untuk menunjukkan satu kad magis sebagai meraikan gol pendahuluan tuan rumah.
Tintin dilantik menggantikan Carlos Queiroz selaku ketua jurulatih pada Disember lalu. — Facebook/QFA
Jordan, yang beraksi dalam final Piala Asia buat julung-julung kali, mengikat kedudukan 1-1 menerusi Al Naimat tapi kembali ketinggalan apabila Ismaeel Mohammad dijatuhkan oleh Mahmoud Al Mardi dalam situasi ketiadaan bola.
Ia memerlukan semakan VAR sebelum pengadil, Ma Ning, menunjukkan ke titik sepakan penalti untuk Afif sekali lagi menyasarkan penjuru kiri pintu gol lawan.
Afif melengkapkan hatriknya selepas dia dikasari Abulaila dalam masa pemberhentian. Sekali lagi ia memerlukan semakan VAR tapi kali ini penyerang berambut mengerbang itu memilih sudut kanan pintu gol sebagai sasarannya.
“Detik berlakunya sepakan-sepakan penalti itu adalah penting. Kami berusaha bangkit dalam perlawanan tapi penalti berkenaan tiba pada waktu yang tidak membenarkan kami berbuat demikian,” kata jurulatih Jordan, Hussein Ammouta.
“Kami ucapkan tahniah kepada pemain-pemain. Kami telah beraksi baik dalam kejohanan ini dan meraih rasa hormat dan keyakinan daripada semua orang.” — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram