JOHOR Darul Takzim (JDT) yang kini sedang dalam proses mengurangkan bajet sebanyak 40 peratus pastinya sudah menyusun perbelanjaan pembelian pemain dengan cermat namun kekal berkualiti bagi saingan musim 2024/2025.
Setakat ini, kem Harimau Selatan sudah mengumumkan ketibaan empat pemain import antaranya pemain tengah Syria, Jalil Elias, Francisco Geraldes, Murilo Henrique dan bekas pemain Napoli, Nicolao Dumitru Cardoso baru-baru ini.
Namun, usaha JDT boleh dianggap masih belum terhenti di situ apabila pemilik mereka, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris pernah mengatakan skuad Harimau Selatan akan menerima khidmat seorang lagi pemain import tetapi masih tidak mendedahkan sebarang nama yang bersesuaian.
Sejajar dengan klu yang diberi Tunku Ismail berkenaan, khabar angin mengenai pemain baharu Harimau Selatan juga masih rancak dibicarakan dengan ada desas-desus mengatakan bahawa juara bertahan Liga Super berkenaan akan mencuba membawa masuk import untuk mengisi kuota Asian.
Kunimoto difahamkan sudah berhijrah ke pasukan China. — Instagram/TakahiroKunimoto
Pemain dari Asia dirasakan calon sesuai selepas import kelahiran Jepun mereka Takahiro Kunimoto dilaporkan sudah melengkapkan perpindahan ke kelab divisyen dua China dengan sah menyertai kelab Lioning Iron Man.
Oleh itu, tidak peliklah jika JDT dikhabarkan akan membawa masuk pemain asing dari Asia Barat bagi menggantikan Kunimoto dan sekali gus mengisi satu lagi slot bintang import.
Walaupun jarang sekali menyaksikan juara Piala Malaysia berkenaan mengambil khidmat pemain Asia Barat namun Piala Asia baru-baru ini menampilkan persembahan berkelas dunia dari bintang rantau berkenaan.
Berdasarkan ura-ura yang sedang tersebar di media sosial, Majoriti menyenaraikan dua calon pemain dikhabarkan sedang berada dalam radar JDT pada musim baharu ini;
BACA LAGI: [VIDEO] Seperti kena hint TMJ, hero Jordan di Piala Asia tidak mustahil ke JDT
1) Yazan Al-Naimat
Al-Naimat merupakan penjaring terbanyak Jordan dalam kempen Piala Asia 2023. — Instagram/YazanAl-Naimat
Naib juara Piala Asia 2023 Jordan boleh dianggap mempunyai skuad emas mereka pada tahun ini apabila mampu membantu mengubah nasib pasukan dari underdog sehingga kini sebaris dengan kuasa besar Asia bersama Qatar, Korea Selatan dan Jepun.
Skuad The Chivalrous tidaklah mempunyai banyak bintang yang beraksi di Eropah namun jika ingin menyebut nama tonggak utama mereka, nama Yazan Al Naimat pasti akan terlintas dalam fikiran penyokong.
Masakan tidak, penyerang sayap kanan itu berjaya membawa pulang gol sagu hati buat Jordan walaupun skuad kendalian Hussein Ammouta tewas 1-3 di tangan Qatar pada aksi final Piala Asia menentang Qatar pada Sabtu.
Selepas cemerlang tampil mencetak empat gol dan tiga hantaran bantuan untuk Jordan dalam kempen Piala Asia, saham pemain berusia 24 tahun semakin melonjak naik dan menarik minat salah satu pasukan Liga Malaysia (Liga M).
"Saham Yazan Al Naimat melonjak tinggi. Difahamkan, ada usaha membawa penyerang Jordan ini ke Liga Malaysia namun tampak sukar jadi kenyataan ketika kontraknya bersama Al Ahli berakhir Jun 2024," kongsi pemerhati sukan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam di laman X.
Dengan kontrak Al-Naimat akan tamat pada Jun depan, ia seolah-olah klu tepat dengan petunjuk Tunku Ismail yang menyatakan seorang pemain bakal tiba pada Jun nanti.
Jika pemain berkaki kanan berkenaan bakal menyarung jersi JDT, Al-Naimat akan mengikut jejak langkah empat lagi rakannyaa iaitu Noor Al-Rawabdeh (Selangor), Yazan Al-Arab (bekas Selangor), Mahmoud Al Mardi (bekas Kedah Darul Aman) dan Fadi Mahmoud Awad Saleh (PDRM).
BACA LAGI: Kad magis Akram bukan hint ke Selangor tapi dedikasi buat insan tercinta
2) Shahab Zahedi
Zahedi kini bermain bersama Persepolis secara pinjaman. — Instagram/Shahab Zahedi
Jaguh Asia Barat, Iran juga mempunyai seorang lagi permata yang kurang mendapat perhatian iaitu Shahab Zahedi iaitu seorang pemain utama bagi pasukan gergasi Iran Pro League, Persepolis.
Nama Zahedi mungkin kurang dikenali oleh penyokong global kerana namanya tidak tersenarai dalam skuad Amir Ghaleneoi pada saingan Piala Asia baru-baru ini namun rekodnya di peringkat kelab gempak diperkatakan.
Pemain berusia 28 tahun berkenaan merupakan taruhan utama Persepolis untuk saingan domestik mahupun Liga Juara-Juara Asia (ACL) sejak ia dipinjamkan dari kelab divisyen satu Ukraine, Zorya Lugansk.
Penyerang yang selesa dengan dua kakinya itu sudah menyumbang tujuh gol dan dua hantaran bantuan dalam 20 aksi Zahedi diturunkan bersama Persepolis sejak dipinjamkan pada Julai lepas.
Malah, khidmat pemain berketinggian 1.87 meter itu juga mendapat kepercayaan Yahya Golmohammadi untuk diturunkan dalam perlawanan penting ketika menentang kelab Cristiano Ronaldo, Al-Nassr FC dalam aksi ACL musim lepas.
Walaupun tewas 0-2 pada pusingan pertama dan seri 0-0 di aksi kedua Kumpulan E namun pengalaman beraksi bersama bintang Portugal itu tidak boleh dibeli di merata tempat dan pastinya membantu meningkatkan mutu permainan Zahedi.
Berdasarkan khabar angin yang tersebar di media sosial, bekas pemain kelab Hungary, Puskas Akademia FC itu dikhabarkan antara calon pemain import JDT untuk diumumkan pada Jun nanti.
Tidak pasti sama ada secara pinjaman dari Zorya Lugansk ataupun dibeli sebagai pemain tetapi Zahedi pasti memberi input berbeza di bahagian serangan sekiranya dia adalah pemain import keempat JDT. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram