KEJAYAAN Selangor FC mendapatkan pemain tengah baharu, Nooa Laine sememangnya cukup mengejutkan meskipun kedua-dua mereka sudah dikhabarkan bakal bergabung pada jendela perpindahan kali ini.
Dia yang hadir secara pinjaman dari kelab Finland, SJK Seinajoki memberi satu suntikan baharu buat naib juara Liga Super 2023 itu dengan dia dikatakan bakal mengisi kekosongan ditinggalkan Brendan Gan.
Kemasukannya pasti memberi keterujaan buat penyokong skuad Gergasi Merah kerana ia merupakan kali pertama kelab berkenaan berjaya membawa masuk seorang pemain kebangsaan dengan pengalaman beraksi di luar negara.
Meskipun sukar untuk menyaksikan persembahannya, usianya yang masih muda memberi satu gambaran bahawa Selangor FC membuat keputusan tepat.
Bagaimanapun, ia bukanlah kali pertama kelab berkenaan pernah berbuat demikian apabila pendedahan baru-baru ini memberi bayangan bahawa mereka berminat dengan seorang lagi pemain tempatan di luar negara.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Selangor sudah lama cari saya', Nooa Laine buat keputusan pilih Gergasi Merah
Richard Chin kini masih beraksi di England bersama Charlton Athletic. — Agensi
Dalam satu perkongsian di laman X Palatao Bola, pasukan Lembah Klang itu dilaporkan mahu mendapatkan bek tengah muda, Richard Chin yang beraksi di England bersama Charlton Athletic.
Namun, pemain skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara itu bertindak menolak tawaran tersebut seperti mana dikongsikan menerusi satu perbincangan menggunakan aplikasi Instagram.
"Selangor pernah WhatsApp, nak Richard Chin. Saya hubungi lah dia, tetapi dia taknak. Selepas itu, saya pun seperti sudah tidak berminat dengan Selangor. Bukan dapat duit pun kerana sudah dibuang," kata individu misteri tersebut.
Richard Chin sebelum ini sudah berkali-kali dikaitkan dengan Liga Malaysia, namun dia kelihatan lebih cenderung untuk mengumpul lebih banyak pengalaman di Eropah.
BACA LAGI: Selain calon terbaik ganti Brendan Gan, Nooa Laine ada 2 lagi kriteria diperlukan Gergasi Merah
Pendedahan daripada Palatao Bola mengenai khabar angin antara Richard Chin dan Selangor FC.
Meskipun kurang diberikan peluang, pemain pertahanan terbabit masih diberikan peluang berlatih dalam skuad muda negara yang bakal beraksi dalam saingan Piala Asia B-23 pertengahan tahun nanti.
Bek tersebut dikatakan sebagai calon terbaik untuk mewarisi posisi terbabit dalam Harimau Malaya pada masa akan datang sebagai pelapis Corbin Ong.
Dengan usia Corbin Ong semakin lanjut, ramai berasakan Richard Chin merupakan pengganti terbaik, lebih-lebih lagi jika pemain itu boleh mempamerkan bakatnya dalam Liga Super.
Untuk rekod, Richard hanya meraih lapan penampilan bersama skuad senior Charlton Athletic musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram