[VIDEO] 'Selangor sudah lama cari saya', Nooa Laine buat keputusan pilih Gergasi Merah


  • Podium
  • Jumaat, 09 Feb 2024

Nooa Laine akan menyarung jersi nombor enam di Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC

SETELAH sekian lama berstatus spekulasi, pemain muda kebangsaan, Nooa Laine akhirnya pulang ke Malaysia untuk menyertai Selangor FC.

Pemain skuad bawah 23 tahun (B-23) Malaysia itu memilih untuk menyertai Selangor selepas mendedahkan yang dia sudah lama diburu oleh Gergasi Merah.

"Selangor FC telah lama menghubungi saya untuk menjelaskan peranan dan kepentingan khidmat saya buat pasukan. Sejak dari itu, saya juga telah banyak mendengar perkara-perkara positif berkenaan budaya dan hala tuju kelab dari rakan-rakan sepasukan skuad kebangsaan Malaysia.

"Sejujurnya, saya gembira dengan keputusan untuk bersama mereka kerana saya yakin Selangor FC akan menjadi kelab yang membantu saya mencapai kejayaan bersama," kata Nooa menerusi laman rasmi Selangor FC.

Pemain itu memilih untuk menyertai Selangor secara pinjaman dengan Gergasi Merah boleh mendapatkannya secara tetap selepas musim 2024/2025 berakhir.

Nooa memilih untuk meninggalkan kelab lamanya di Finland iaitu SJK Seinäjoki dimana pemain tengah itu menghasilkan 64 penampilan sambil menjaringkan empat gol merentasi tiga musim daripada tahun 2021 hingga 2023.

BACA LAGI: Sudah jalan-jalan di Gong Badak, 'tanker' baka Belanda tunggu masa diumum pengganti import lama TFC

BACA LAGI: Sabah FC jelas sebab mengapa Rozaimi Abdul Rahman tak main skuad Liga Super

Dalam masa yang sama, Nooa itu berharap dapat belajar banyak daripada jurulatih Tan Cheng Hoe dalam usaha meningkatkan prestasinya sebagai pemain tengah

Menurutnya, Cheng Hoe dianggap sebagai pengendali yang hebat dimiliki Malaysia di era moden.

"Bagi saya, bermain di bawah jagaan Tan Cheng Hoe bermaksud saya akan belajar banyak perkara untuk mengembangkan lagi bakat saya sebagai seorang pemain dan ia juga akan membantu pasukan di masa akan datang, kerana saya yakin dia merupakan seorang jurulatih yang hebat.

"Saya pernah melihat beberapa video dimana Selangor FC mempunyai ramai penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan-perlawanan sebelum ini, ia buat saya teruja untuk beraksi di hadapan anda semua. Semoga kita berjumpa tidak lama lagi," kata Nooa lagi.

Nooa bakal menyarung jersi nombor enam dan dia dijangka akan memainkan peranan besar dalam usaha Selangor memburu kejuaraan domestik selain memberikan cabaran di peringkat Asia.

Ketibaan Nooa merupakan rekrut keempat Selangor untuk musim baharu selepas berjaya mendapatkan Umar Eshmurodov, Ronnie Fernandez dan penjaga gol iaitu Azim Al-Amin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram