PENYERANG prolifik Qatar, Akram Afif melalui pengalaman malam yang gilang-gemilang selepas membantu negaranya menewaskan Jordan 3-1 dalam aksi Final Piala Asia di Stadium Lusail, Doha pada Sabtu.
Afif yang mencetak tiga jaringan menerusi sepakan penalti dalam perlawanan berkenaan juga mencuri tumpuan penyokong global apabila meraikan jaringannya dengan menunjukkan kad dengan tulisan huruf ’S’.
Kad magis berkenaan membuatkan para penyokong termasuk peminat Liga Malaysia (Liga M) menimbulkan spekulasi berbeza apabila mereka rata-ratanya berpendapat bahawa ia merujuk kepada destinasi baharu pemain Liga Qatar, Al Sadd berkenaan.
Menjengah komen di media sosial, selintir penyokong bola domestik beranggapan bahawa Selangor yang bermula dengan huruf S merupakan majikan baharu Afif terutamanya apabila Gergasi Merah kini sedang rancak mengumumkan ketibaan pemain baharu.
Sangkaan berkenaan bagaimanapun meleset apabila pemain berusia 27 tahun itu mendedahkan kad berkenaan didedikasikan khas untuk isterinya yang mempunyai nama dengan permulaan huruf S.
BACA LAGI: Bobie enggan terjerat dicabar bawa pemain dari Qatar
Afif diberi Anugerah MVP dalam kempen Piala Asia 2023. — Facebook/QFA
BACA LAGI: Piala Asia: Kad magis Afif, hatrik penalti beri Qatar gelaran juara berturutan
“Ia (S) adalah permulaan huruf nama isteri saya, dia orang Kuwait dan hari ini hari pertama dia ke stadium, ini perlawanan pertamanya.
“Saya ucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua peminat Qatar dan saya juga nak beri semua anugerah yang diterima malam ini (Sabtu) kepada isteri saya,” katanya yang kekal mahu merahsiakan identiti isterinya, pada sidang media selepas perlawanan.
Walaupun jangkaan penyokong bola sepak tanah air khususnya Selangor meleset namun tidak salah untuk memasang impian untuk menyaksikan Pemain Paling Bernilai (MVP) Piala Asia 2023 itu akan menyarung jersi Merah Kuning pada suatu hari nanti.
Setakat ini, Gergasi Merah sudah mengumumkan kehadiran pertahanan Uzbekistan, Umarbek Eshmurodov, Ronnie Fernandez dan Alvin Fortes di bahagian serangan, penjaga gol tempatan Azim Al-Amin dan pemain warisan, Nooa Laine.
Persediaan awal Selangor dalam memburu pemain berkualiti itu menunjukkan bahawa Gergasi Merah bersiap-sedia untuk menjadi pencabar sengit liga dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram