SELANGOR FC pada Jumaat sudah mengumumkan seorang lagi pemain baharu mereka untuk musim 2024/2025 apabila sah menandatangani pemain warisan, Nooa Hamzah Laine.
Pengumuman tersebut dikongsikan di laman rasmi Facebook, Selangor FC yang dilihat kehadiran Nooa berpotensi untuk membantu Gergasi Merah bersaing di pentas Asia iaitu Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) selepas menamatkan Liga Super 2023 sebagai naib johan.
Sebelum ini, Gergasi merah sudah mengumumkan kehadiran pertahanan Uzbekistan, Umarbek Eshmurodov, Ronnie Fernandez dan Alvin Fortes di bahagian serangan serta penjaga gol tempatan yang berhijrah dari Kuala Lumpur City FC, Azim Al-Amin.
Dalam pada itu, Nooa yang bakal menyarung jersi nombor enam dijangka mampu memainkan peranan penting dalam memburu kejuaraan domestik selain memberikan cabaran di peringkat Asia.
Berikut Majoriti menyenaraikan tiga kriteria Nooa Laine yang diperlukan oleh Gergasi Merah menjelang musim 2024/2025.
BACA LAGI: Selain puji Harimau Selatan, bekas import JDT diam-diam 'tabik' stadium Terengganu FC
Nooa ketika melakukan penampilan pertama bersama skuad senior. — Facebook/FAM
BACA LAGI: Pernah dikecam hebat hanya kerana seri lawan Sabah, zaman Kelantan FC sudah jauh berubah
1. Pengalaman luas
Nooa merupakan pemain tengah yang bermain bersama pasukan SJK Seinajoki sebelum ini telah rasmi bergabung dengan pasukan Selangor FC.
Pemain berketinggian 1.77 meter itu mempunyai pengalaman yang luas dalam bola sepak kerana bermain di liga yang lebih sengit iaitu Veikkausliiga di Eropah.
Memiliki pengalaman yang luas itu sudah pasti membuatkan pemain berusia 21 tahun itu lebih tenang untuk mengawal bahagian tengah The Red Giants agar lebih teratur dalam melakukan serangan terhadap pihak lawan.
Beraksi bersama kelab SJK Seinajoki, Nooa sudah menghasilkan 64 penampilan dan menjaringkan empat gol.
Pada usia yang semuda itu, pengalaman yang dimiliki Noaa pastinya dapat membantu Selangor FC merencanakan impian yang lebih besar pada musim depan termasuk merangkul sekurang-kurangnya satu trofi.
2. Isi kekosongan Brendan Gan
Kehilangan tonggak tengah Selangor FC sebelum ini iaitu Brendan Gan sudah pasti meninggalkan kesan kepada pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang itu.
Pastinya kehadiran Nooa dalam skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu dianggap mampu mengisi kekosongan yang tersebut.
Pemain kelahiran Finland itu cukup cemerlang bersama kelab sebelumnya iaitu SJK Seinajoki kerana diberi kepercayaan menjadi tonggak utama pasukan.
Untuk rekod, Nooa sudah beraksi sebanyak 19 kali dalam saingan Liga Veikkausliiga pada musim lepas sekali gus menunjukkan bahawa Nooa antara watak penting pasukan itu.
3. Taktikal bola sepak moden
Pastinya pengalaman Nooa beraksi di Liga Eropah akan membantu mengubah corak permainan Selangor FC menjadi lebih pantas.
Jika sebelum ini corak permainan Gergasi Merah banyak melakukan hantaran jauh, berkemungkinan selepas ini akan lebih kemas dengan hantaran-hantaran pendek namun tepat yang bakal dilakukan oleh Nooa.
Dengan ini, corak permainan Selangor boleh menjadi kreatif dan dijangka sukar untuk dibaca oleh pihak lawan.
Malah kelebihan fizikal yang dimilikinya pasti dapat dimanfaatkan Selangor FC untuk bersaing dengan lebih kompetitif memandangkan pasukan lain tidak kurang hebatnya mempersiapkan kelab masing-masing. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram