'Jika pasukan jadi 12, penambahan kejohanan boleh jadi alternatif terbaik Liga Super'


  • Podium
  • Ahad, 11 Feb 2024

KDA FC dan KL City FC dikatakan masih belum menyelesaikan isu tunggakan gaji. — Facebook/KDA FC

KEMELUT tunggakan gaji yang menimpa beberapa pasukan nampaknya masih belum selesai sehingga ada ura-ura ia akan memberi kesan terhadap jumlah penyertaan pasukan untuk saingan Liga Super 2024/25.

Setakat ini, terdapat 13 pasukan yang sudah diberikan Lesen Kebangsaan untuk beraksi selepas pasukan tercorot, Kelantan FC dihalang daripada menyertai berikutan isu penghantaran dokumen.

Namun, jumlah berkenaan dilaporkan bakal berkurang lagi selepas Kedah Darul Aman (KDA) FC serta Kuala Lumpur (KL) City FC difahamkan masih bergelut untuk menemui titik nokhtah bagi episod hitam tersebut.

Bimbang jumlah pasukan yang sedikit akan menurunkan kualiti liga, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) melontarkan idea untuk menambah jumlah perlawanan sebagai solusi menyelesaikan masalah berkenaan.

Senada dengan pandangan dengan Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John itu, pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli juga bersetuju bahawa idea menambah jumlah perlawanan boleh dipraktikkan di saingan Liga Malaysia (Liga M).

BACA LAGI: [VIDEO] Seperti kena hint TMJ, hero Jordan di Piala Asia tidak mustahil ke JDT

afc

Windsor mencadangkan agar MFL menambah jumlah perlawanan.

Pekan berkata, penambahan jumlah perlawanan itu juga boleh mengelak daripada wujudnya kelab yang hanya akan merosakkan imej liga dengan masalah tunggakan gaji.

“Ia satu pilihan yang baik dari AFC. Jika ada kelab di negara ada masalah untuk dapatkan pasukan, itu antara kaedah untuk menjadikan liga kompetitif dengan menambah jumlah perlawanan.

“Satu langkah paling praktikal untuk keadaan tak cukup pasukan. Daripada banyak pasukan tapi akhirnya bawa masalah kepada liga dan boleh merosakkan imej dengan isu tak habis-habis seperti gaji.

“Pelaksanaannya pun tidak akan buat pasukan terburu-buru sebab liga mula lewat iaitu pada Mei. Jika jumlah pasukan tak banyak, misalnya kita tambah tiga perlawanan untuk satu pasukan,” katanya kepada Majoriti.

Tambahnya, penambahan jumlah perlawanan tersebut bagaimanapun bakal meningkatkan kos perjalanan dek perlu beraksi lebih daripada dua kali daripada kebiasaan.

Beliau juga menasihatkan agar pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memikirkan satu format yang sesuai dengan keadaan liga agar tidak berlaku ketidakadilan.

BACA LAGI: Kad magis Akram bukan hint ke Selangor tapi dedikasi buat insan tercinta

pekan

Pekan berharap agar MFL mencari solusi untuk menyelesaikan masalah jika jumlah pasukan Liga Super berkurang. — Facebook

Namun perlu diingat bahawa jumlah perlawanan boleh beri pulangan kepada penajaan, yang mana ia merupakan keuntungan ataupun perkara positif untuk kelab Liga Super.

“Penambahan jumlah akan tingkatkan kos dalam 20 peratus sebab jika perlu lawan main lawan Sabah. Sama ada main dua kali di Sabah dan kena travel.

“MFL kena fikir format yang adil kepada setiap pasukan. Mungkin boleh buat dua perlawanan format home dan away. Satu lagi pula diadakan di stadium berkecuali. Kena fikirkan,” jelasnya.

Selain cadangan penambahan jumlah perlawanan dari pihak AFC berkenaan, Pekan juga memberi alternatif lain iaitu mengadakan kejohanan lain untuk meningkatkan tahap kompetitif liga.

Setakat ini, pasukan yang bertanding di divisyen tertinggi Malaysia menghadapi tiga kejohanan bagi saingan Liga M iaitu Piala FA, perebutan Piala Malaysia dan Liga Super itu sendiri.

“Saya nampak jika 12 pasukan dan ikut format biasa, boleh tambah satu lagi perebutan piala khas untuk kompetitif. Boleh fikirkan satu piala bagi menambah jumlah perlawanan,” jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram