Akui kecewa prestasi musim lalu, Kalamullah janji mahu bangkit ke prestasi terbaik buat Kedah


  • Podium
  • Isnin, 12 Feb 2024

Prestasi Kalamullah boleh dikatakan tidak menentu sepanjang merekodkan 25 penampilan bersama skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC

MESKIPUN berdepan ketidaktentuan di luar padang pada 2023, Kedah Darul Aman (KDA) FC masih mampu menamatkan saingan Liga Super di tangga keempat.

Salah satu elemen utama di sebalik kejayaan itu ialah benteng pertahanan yang cukup ampuh dalam menyekat serangan bertali-arus daripada pihak lawan sepanjang musim, lapor Stadium Astro.

Berdasarkan statistik, skuad Sang Kenari hanya melepaskan 29 gol dalam 26 perlawanan dengan catatan tersebut menyaksikan mereka berada di kedudukan ketiga dalam rekod pertahanan terbaik.

Namun, perkara itu tidak menceritakan hal sebenar mengenai prestasi mereka kerana pasukan kendalian Nafuzi Zain berkenaan sering melakukan kesilapan dari segi pertahanan.

Hantaran tidak tepat, kecenderungan kehilangan bola berdekatan gawang gol dan isu komunikasi antara pemain sering tercetus sehingga membuatkan mereka beberapa kali dibolosi.

Tetapi, individu yang sering dipersalahkan atas masalah sebegitu ialah penjaga gol utama, Kalamullah al-Hafiz yang beberapa kali melakukan kesilapan sejak menyertai KDA FC.

BACA LAGI: 'Terima kasih keluarga KDA FC', khabarnya bek Sang Kenari sudah 'terbang' ke Bumi Kenyalang

KALAMULLAH-AL-AFIZ

Peluang Kalamullah bersama skuad Sang Kenari kian terjejas sejak menyertai skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC

BACA LAGI: 'KDA FC mampu bersaing dengan 'Big Boy' jika mampu pujuk RMK ambil alih'

Isu prestasi tersebut jelas memberi kesan terhadapnya kerana ia menjejaskan peluangnya dalam skuad kebangsaan meskipun dia sebelum ini beberapa kali dipanggil ketua jurulatih, Kim Pan-gon.

Bagaimanapun, bagi bekas pemain Petaling Jaya (PJ) City FC itu, kebangkitan bakal dipamerkannya dalam saingan akan datang bagi menaikkan semula reputasinya.

"Memang agak kecewa apabila tengok nama tiada dalam skuad kebangsaan untuk ke Piala Asia. Saya berharap boleh dapatkan prestasi yang terbaik dan sokongan dari penyokong Kedah untuk menaikkan semangat semua pemain di KDA FC.

""Saya akan buat yang terbaik untuk Kedah, dan naikkan prestasi saya balik untuk dapatkan tempat saya dalam skuad kebangsaan," katanya kepada Astro Arena.

Kalamullah menyertai skuad Sang Kenari pada 2023 dengan kehadirannya dibuat bagi mengukuhkan benteng pertahanan pasukan yang cukup goyah pada musim sebelumnya.

Meskipun beberapa kali melakukan aksi cukup penting, kesilapan kritikal dilakukannya membuatkan penyokong Hijau Kuning meminta supaya dia digugurkan.

Pemain berusia 28 tahun berkenaan merekodkan 25 penampilan secara keseluruhan buat KDA FC dengan 49 percubaan lawan berjaya diselamatkannya sepanjang tempoh terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram