DUNIA bola sepak hari ini pada Khamis kehilangan seorang lagi permata apabila jurulatih legenda, Azraai Khor Abdullah mengembuskan nafas terakhirnya selepas mengalami serangan strok.
Allahyarham yang berusia 71 tahun sememangnya meninggalkan begitu banyak legasi sepanjang kariernya, lebih-lebih lagi ketika mengangkat Kedah FA sebagai salah sebuah kelab terbaik tanah air.
Gelaran 'double treble' yang diraih pada 2007 sehingga 2008 sememangnya sukar disaingi sehingga Johor Darul Ta'zim (JDT) mengulangi rekod tersebut musim lalu.
Oleh itu, tidak hairanlah apabila beberapa figura dalam arena bola sepak tempatan sempat memberi penghargaan terakhir selepas berita mengenai pemergiannya tersebar.
Antara yang tampil memberikan ucapan takziah buat keluarga dan kenalan Allahyarham ialah bekas pemainnya, Baddrol Bakhtiar dan salah seorang anggota skuad 'double treble' Sang Kenari, Nelson San Martin.
Malah, beberapa individu yang pernah 'bertarung' ilmu dengan Azraai di tepi padang turut memperingati personaliti pengendali cukup ternama berkenaan.
BACA LAGI: Azraai Khor, Baddrol kembali bergabung demi Kedah
Foto yang dimuat naik Darby bagi memberi penghormatan buat Allahyarham Azraai. — X/Steve Darby
BACA LAGI: Azraai Khor meninggal dunia selepas diserang strok
Bekas jurulatih Perak FA, Steve Darby di laman X peribadinya hadir memberikan kata-kata penghormatan buat Azraai meskipun kedua-dua mereka sudah bertahun-tahun tidak berentap.
"Pertama sekali, anda sememangnya seorang individu cukup baik. Ia adalah satu berita cukup mendukacitakan apabila dia pergi terlalu awal, Al-Fatihah.
"Kami mempunyai beberapa pertarungan cukup hebat di atas padang (yang mana saya sering meraih kemenangan) tetapi kami adalah sahabat cukup baik di luar padang.
"Kami tidak pernah melabel masing-masing sebagai seorang berdarah tempatan mahupun import kerana semua daripada kami merupakan jurulatih. Tetapi, apa yang paling penting adalah anda merupakan seorang yang hebat," tulisnya.
Hantaran berkenaan dibuat berserta sekeping foto memaparkan kedua-dua pengendali itu memegang Piala Malaysia sebelum Kedah FA dan Perak FA berentap yang kemudiannya diungguli skuad Sang Kenari.
Untuk rekod, Darby yang merupakan jurulatih kelahiran England mengemudi skuad The Bos Gaurus selama tiga musim bermula 2005 dengan kehadirannya mengangkat status kelab Utara tanah air berkenaan.
Meskipun sukar untuk memecahkan monopoli Kedah FA dalam arena bola sepak tanah air, pertembungan mereka sering mencuri tumpuan memandangkan masing-masing cukup dihormati ketika itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram