Piala Asia: Qatar, Jordan sasar cipta sejarah dalam final sebagai dorongan


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Sabtu, 10 Feb 2024

Perlawanan kemuncak Piala Asia 2023 di antara tuan rumah, Qatar dan Jordan pastinya menjanjikan pertembungan mendebarkan. — Facebook/AFC

Bola Pegun kembali menemui pembaca dengan mengalihkan tumpuan ke aksi Piala Asia 2023 di Qatar. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka pasukan-pasukan mengatasi pelbagai rintangan dalam memburu kejayaan.

PERLAWANAN kemuncak Piala Asia 2023 di antara tuan rumah, Qatar, dan Jordan di Stadium Lusail, 15km di utara Doha, malam ini (11 malam tempatan) menjanjikan pertembungan mendebarkan, dengan kedua-dua pasukan merenung peluang untuk mencipta sejarah.

Jordan menyasarkan untuk tampil juara buat julung-julung kalinya sambil Qatar mengintai kesempatan untuk menjadi hanya pasukan kelima menjulang trofi secara berturut-turut.

Jordan mendapati diri mereka di wilayah yang belum diteroka sebelumnya dengan kemaraan ke final satu kejohanan utama buat kali pertama tapi perjalanan mereka ke peringkat ini ditandai oleh semangat melawan mengagumkan.

Sebagai satu pakej mengejutkan, Jordan sekadar menduduki tangga ketiga kumpulannya tapi masih meloloskan diri ke peringkat kalah mati di mana mereka tiba-tiba mengangkat tahap permainan mereka untuk menyingkirkan lawan ‘heavyweight’, Iraq dan Korea Selatan.

BACA LAGI: Piala Asia: Jordan berseronok awal, kini mahu terus bergembira sepanjang malam

WhatsApp Image 2024-02-10 at 08.22.30 (1)

Sebahagian sesi latihan skuad Qatar yang sudah bersedia meraih keputusan positif aksi final nanti. — Facebook/AFC

Ia satu kejayaan peribadi buat jurulatih mereka dari Maghribi, Hussein Ammouta, yang sebelumnya teruk dikritik gara-gara Jordan menamatkan 2023 tanpa sebarang kemenangan dalam tujuh perlawanan – enam daripadanya kekalahan.

Skuad bimbingan Ammouta itu menyerlahkan kekentalan untuk menyingkirkan Iraq dalam pusingan 16 dan Tajikistan dalam suku akhir sebelum memperagakan prestasi memukau ketika mengirim pulang antara pasukan pilihan awal kejohanan, Korea Selatan, untuk sampai ke final.

“Kami tidak perlu menjelaskan betapa pentingnya final ini kepada kami ketika kedua-dua pasukan mahu meraih gelaran bersejarah.

“Kami membuat persiapan untuk final ini seperti biasa tanpa mengenakan tekanan tambahan ke atas pemain dan kami berharap untuk menunjukkan satu prestasi yang mencerminkan tahap pasukan kami dan apa yang telah kami serlahkan untuk ke final.

“Perlawanan ini sangat penting dan mungkin menyaksikan gelaran utama sulung buat Jordan,” katanya.

“Saya sangat berpuas hati dengan pencapaian kami. Ia satu cabaran peribadi untuk saya membawa Jordan ke final dan saya telah mencapai apa yang saya sasarkan. Kami memiliki skuad penuh di sebalik beberapa kecederaan ringan tapi pemain-pemain akan bersedia sepenuhnya,” tambahnya.

Berlatarbelakangkan kemenangan 2-1 ke atas Qatar dalam aksi persahabatan sebelum kejohanan ini, Ammouta menganggap juara bertahan itu sebagai cabaran menggunung, apatah lagi dengan gerombolan penyokongnya yang akan memenuhi stadium dengan kapasiti 90,000 orang itu.

“Qatar adalah juara bertahan dan bermain di tempat sendiri dan ini membuatkan mereka sebagai rintangan sukar. Tidak mudah untuk bermain menentang mereka dan ia tidak mudah untuk mencapai apa yang sudah mereka laksanakan.

“Kami menghadapi mereka dalam satu aksi persahabatan dan ia amat mencabar untuk meraih kemenangan. Di sebalik menjangkakan kesukaran, kami bersatu hati dalam melepasi garis penamat dengan jaya. Kami mahu melepasi jangkaan.”

WhatsApp Image 2024-02-10 at 08.22.29

Jordan berjaya mara ke peringkat akhir Piala Asia selepas menewaskan Korea Selatan. Facebook/AFC

Jelas mengecewakan penyokong dengan kalah semua tiga perlawanan dalam Piala Dunia 2022 yang mereka anjurkan, Qatar, dalam mengesahkan kemaraan ke final Piala Asia buat kali kedua berturut-turut, menyerlahkan prestasi menakjubkan.

Mereka mencatat jaringan dalam setiap perlawanan dalam perjalanan ke final, termasuk kemenangan dramatik 3-2 ke atas Iran, pasukan di ranking lebih tinggi, dalam separuh akhir.

Ketua jurulatihnya, Marquez Lopez, kuat berkeyakinan bahawa pasukannya akan mempertonton permainan terbaik mereka dalam final.

“Ini satu tempoh peralihan yang sangat singkat, dengan pemain-pemain hanya mempunyai dua hari untuk pulih selepas separuh akhir. Rehat dan pemulihan tersangat penting, tambahan dengan mengambil kira kami akan berdepan sebuah pasukan yang kami sangat hormati,” katanya.

“Saya yakin semua pemain saya lebih daripada berupaya dan berhak beraksi dalam kejohanan ini. Saya sentiasa menekankan kekuatan setiap pemain dan bagaimana mereka boleh menyumbang.

“Setiap pemain telah memainkan peranan masing-masing dalam membawa ke mana kami berada sekarang. Ini adalah sebahagian penting daripada falsafah kami.”

Akram Afif, Almoez Ali dan Hasan Al Haydos adalah dorongan terbesar buat Qatar dan Lopez meluahkan rasa terima kasihnya kepada trio berkenaan.

WhatsApp Image 2024-02-10 at 08.23.29

Skuad Qatar dilihat sudah bersedia untuk menewaskan Jordan aksi final nanti.Facebook/AFC

BACA LAGI: Kehadiran bintang Piala Asia bersama JDT, Selangor lonjak saham Liga M di mata dunia

“Pemain-pemain bukan mesin, mereka berlari dan bermain dengan keras. Adalah biasa untuk prestasi mereka turun naik. Iran menunjukkan kebangkitan dan hampir mendapatkan jaringan tapi kami juga berpeluang menambah gol.

“Tiada pemain yang mampu mengekalkan prestasi kemuncak sepanjang 90 minit tapi kami telah memberikan yang terbaik untuk mengesahkan kemenangan.

“Akan sentiasa ada tekanan dalam final, terutama menentang sebuah pasukan yang telah beraksi cemerlang sepanjang kejohanan. Apa pun, kami berada di sini dengan keberanian dan kesungguhan yang sama dengan niat hanya untuk menang. Itu saja yang penting buat kami.

“Pada penghujungnya, persaingan menjadi dorongan terbesar buat kami dan setiap seorang daripada kami berazam untuk keluar sebagai pemenang.

“Ammouta adalah seorang yang luar biasa dengan berpengalaman melatih di Qatar. Tapi kami berazam untuk bersaing sengit dan bermain habis-habisan bagi memenangi perlawanan ini.

“Kami menghadapi banyak rintangan sebelum ini dan ia bukanlah perjalanan yang mudah. Kini kami berada sejauh ini tapi kami belum mencapai apa-apa.

"Di Sepanyol, ada satu ungkapan yang menyebut tempat kedua adalah yang pertama dalam kalangan yang kalah. Kami tidak akan berpuas hati dengan tempat kedua, sebaliknya kami akan berhabis-habisan untuk mendakap piala. Kami mahu jadi yang terbaik di benua Asia,” kata Lopez lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram