Bola Pegun kembali menemui pembaca dengan mengalihkan tumpuan ke aksi Piala Asia 2023 di Qatar. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka pasukan-pasukan mengatasi pelbagai rintangan dalam memburu kejayaan.
SATU pesanan ringkas daripada jurulatih Jordan, Hussein Ammouta – “pergilah berseronok” – membantu terciptanya salah satu kemenangan tersohor buat pasukan negara itu ketika mereka mengirim pulang Korea Selatan dalam laluan untuk ke final Piala Asia Qatar 2023.
Satu gol masing-masing daripada Yazan Al Naimat dan Musa Al Tamari membolehkan Jordan menyingkirkan Korea 2-0 dalam separuh akhir di Stadium Ahmad bin Ali pada malam Selasa untuk memulakan keraian penyokong dari Doha hingga ke Amman.
“Jurulatih memberikan keyakinan dan disiplin taktikal yang kami perlukan untuk kami mengatasi lawan,” kata Tamari, yang dinamakan pemain terbaik perlawanan itu, sambil berterima kasih kepada penyokong.
“Seluruh Arab berada di belakang kami dan ia memberi perbezaan besar,” tambahnya merujuk kepada lebih dua pertiga penonton di stadium yang bersorak untuk barisan An-Nashama itu yang berupaya bangkit daripada permulaan goyah untuk menenggelami cabaran Pahlawan Taeguk di penghujung aksi 90 minit.
Di sebalik julukan buat Jordan itu bermaksud kepada kesantunan, pemain-pemainnya langsung tidak mengendahkan reputasi Korea dan perbezaan besar dalam ranking FIFA mereka – Korea ke-23 dunia manakala Jordan ke-87.
“Saya memberitahu pemain-pemain bahawa mereka tidak harus terlalu menghormati Korea lebih daripada sepatutnya,” kata Ammouta seusai separuh akhir itu. “Sejurus kami sedar yang Korea juga ada kelemahan, kami segera mencari jalan bagaimana untuk menembusi pintu gol mereka.”
BACA LAGI: Khidmat Darren Lok antara 4 tonggak Sabah FC ditagih benam Macarthur FC
Jordan berjaya mara ke peringkat akhir Piala Asia selepas menewaskan Korea Selatan. — Facebook/AFC
Kedua-dua gol Jordan tiba dalam separuh masa kedua -- Al Naimat (53) dan Al Tamari (66) -- setelah mereka menggandakan asakan hinggakan Pahlawan Taeguk langsung tiada jawapan untuk mengulangi kebangkitan dramatik mereka seperti dua perlawanan terdahulu.
Ammouta, jurulatih berbangsa Maghribi, bagaimanapun berkata sebarang pesta keraian hendaklah ditangguhkan sehingga selesai final menentang tuan rumah, Qatar, di Stadium Lusail, malam esok.
“Kami bercita-cita lebih besar selepas setiap kemenangan dan perlu memanfaatkan peluang ini untuk keluar sebagai pemenang dalam final,” kata Ammouta yang berlari ke dalam padang dengan bendera Maghribi dan Jordan untuk meraikan kemenangan.
Hakikat bahawa bola sepak ada kalanya kejam tidak mampu ditolak. Son Heung-min diuar-uarkan akan menjadi bintang dalam separuh akhir, sebaliknya Al Tamari yang mencuri tumpuan dengan prestasi cemerlang yang mendekatkan Jordan dengan kegemilangan yang dihajati.
Penyerang lincah berusia 26 tahun itu yang mencipta satu gol dan menyudahkan satu yang lain ketika menyingkirkan Korea, mempunyai sebab untuk menantikan final menentang Qatar dengan amat bersemangat.
Jordan mungkin pasukan ‘underdog’ tapi dengan Al Tamari dan rakan penyerang, Al-Naimat, sedang berprestasi membara, tiada siapa yang berani menidakkan barisan pelawat itu mencipta satu lagi keputusan mengejut.
Sebahagian aksi ketika pemain Korea Selatan (kiri) dikawal ketat oleh pertahanan Jordan. — Facebook/AFC
Al Tamari, yang meledakkan dua gol ketika membelasah Malaysia 4-0 dalam perlawanan pertama di peringkat kumpulan, adalah satu-satunya pemain Jordan yang beraksi di Eropah – mulanya dengan Oud-Heverlee Leuven di Belgium dan sejak musim panas lalu bersama Montpellier.
Selaku pemain Jordan pertama beraksi dalam Ligue 1 Perancis, Al Tamari tidak mengecewakan dalam 16 penampilannya bersama barisan Montpellier yang sedang berhempas-pulas, dengan menyumbang lima gol.
“Dia seorang pemain yang kuat, dia terus berjuang dan turut membantu pertahanan,” kata pengurus Montpellier, Michel Der Zakarian, yang teruja dengan kecepatan Tamari menyesuaikan diri dengan hidup di Perancis.
"Dia seorang yang tenang dan bekerja kuat,” tambahnya.
Mempamerkan kepantasan dan kemahiran menggelecek, Al Tamari tidak terhindar daripada digelar “Messi Jordan” yang tidak begitu digemarinya.
Al Tamari dilahirkan di Amman, ibu kota Jordan, dalam sebuah keluarga yang gilakan bola sepak. Ibunya mahu dia menumpukan kepada persekolahan tapi dia memasang Impian besar untuk bermain dalam salah satu daripada liga utama Eropah.
Kapten Korea Selatan, Son Heung-min (kanan) mengawal bola dengan baik daripada dirampas pemain Jordan. — Facebook/AFC
BACA LAGI: Marlon Alex James antara 3 pencetak gol berbisa di bawah telunjuk Allahyarham Azraai Khor
Ketika usia belasan tahun, dia bermain bola sepak kelab di Jordan dan mula menarik perhatian selepas beberapa perlawanan untuk mendapat panggilan dalam pasukan kebangsaan hanya dua bulan selepas hari jadinya yang ke-19.
Dalam tempoh dua tahun, dia mendapat perhatian di luar negara dan disambar oleh kelab gergasi Cyprus, APOEL, di mana perbandingan Messi mula dibuat.
Tidak sekadar itu, dia turut mengecapi pengalaman beraksi dalam kelayakan Liga Juara-Juara UEFA (UCL), termasuk perlawanan timbal balik menentang Ajax Amsterdam di samping dinamakan sebagai pemain paling bernilai (MVP) Liga Cyprus.
Ini disusuli perpindahannya ke Belgium dengan yuran lebih sedikit daripada satu juta Euro yang dibalasnya dengan 10 gol sebelum peralihannya ke Montpellier musim panas lalu.
Ternyata Al Tamari menjadi duri dalam daging buat pertahanan Korea yang hilang punca bagaimana hendak menangani kepantasan dan kelasakannya hingga Son sekadar menjadi pemerhati ketika penyerang itu mengutip bola dari kawasannya sendiri dan melepasi pertahanan lawan dalam laluannya menyempurnakan gol kedua gemilang buat Jordan.
Ammouta berkata, Jordan memerlukan lebih ramai pemain menyusuli jejak langkah Al Tamari andai bola sepak negara itu mahu terus meneroka kemajuan.
Jordan belum pernah layak ke Piala Dunia dan mereka memerlukan lebih daripada sekadar bakat hebat di tanah air sendiri.
“Komitmen, mentaliti dan disiplin adalah elemen-elemen penting dan menjadi asas profesionalisme,” kata Al Tamari kepada AFP di Qatar.
“Jika anda kekurangannya, anda tidak akan berjaya.” — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram