SATU kejadian mengejutkan tercetus dalam aksi La Liga di Sepanyol apabila pemain Sevilla, Lucas Ocampos mengalami serangan seksual ketika berdepan Rayo Vallecano di tempat lawan pada Selasa.
Ketika perlawanan memasuki minit ke-33 permainan, bekas pemain antarabangsa Argentina itu sedang bersedia untuk mengambil lontaran ke dalam.
Namun, dia yang ketika itu sedang berada di kawasan tepi padang secara tiba-tiba berdepan gangguan apabila seorang penyokong menyucuk punggungnya.
Kejadian tersebut kemudiannya menyebabkan Ocampos terpaksa mengadu kepada pengadil dengan tindakan itu menyebabkan penyokong tuan rumah berang dengan niatnya untuk melengahkan permainan.
Insiden berkenaan menyaksikan aksi di Estadio de Vallecas terhenti untuk beberapa minit dengan pemain Rayo Vallecano terpaksa meminta supaya penonton bertenang ketika aduan dibuat.
Bagaimanapun, nasib menyebelahi Sevilla yang mengumpul tiga mata penuh daripada perlawanan tersebut dengan skor terakhir 2-1 berpihak kepada mereka.
BACA LAGI: Xavi ke Liverpool lepas tinggalkan Barcelona?
BACA LAGI: Ejekan monyet cetus kemarahan , pemain Real Madrid kritik La Liga Sepanyol
Selepas tamat permainan, Ocampos yang diberi peluang beraksi kepada media berharap pihak pengurusan bola sepak Sepanyol agar mengambil isu tersebut secara serius.
"Saya tidak berasakan penduduk di kawasan ini sering melakukan isu sebegitu, tetapi pasti ada seseorang yang sering membuat isu sehingga mencalarkan imej mereka.
"Harapan saya adalah untuk tindakan diambil dan saya juga berharap supaya penyokong sebegini tidak akan membuatkan orang ramai terpalit dengan kontroversi sebegitu," katanya.
Berdasarkan kenyataan dikeluarkan Sevilla, mereka mengharapkan serangan seksual itu tidak berulang meskipun ada beberapa pihak beranggapan masalah berkenaan tidak serius seperti mana dikatakan.
Rayo Vallecano turut mengatakan pihaknya akan memberi kerjasama untuk mendapatkan individu bertanggungjawab terbabit supaya tindakan selanjutnya boleh diambil.
Kemenangan itu menyaksikan Sevilla mendaki ke kedudukan ke-15 La Liga sementara tuan rumah yang mengalami kekalahan kesembilan mereka musim ini tergelincir ke tangga ke-13. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram