Ejekan monyet cetus kemarahan , pemain Real Madrid kritik La Liga Sepanyol


  • Podium
  • Isnin, 22 Mei 2023

Vinicius Jr tidak berpuas hati dengan ejekan monyet yang dilaungkan kepadanya di Stadium Mestalla.

PENYERANG berbisa Real Madrid, Vinicius Junior mengkritik La Liga Sepanyol sebagai liga paling rasis yang memberikan imej buruk kepada negara Sepanyol di mata dunia terutamanya di Brazil.

Hal ini kerana, Vinicius Jr dikenakan laungan perkauman semasa kekalahan menentang skuad Valencia dalam La Liga Sepanyol di Stadium Mestalla.

Pemain kelahiran Brazil itu diejek dengan perkataan monyet oleh salah seorang penyokong yang hadir dan pemain muda itu dilayangkan kad merah lalu dikeluarkan dari padang pada minit-minit terakhir kerana terlibat dalam pertengkaran dengan pemain Valencia, Hugo Duro.

Walaupun telah memaklumkan perkara itu kepada pengadil perlawanan mengenai ejekan rasis tersebut namun dia hanya ditenangkan oleh pengadil dan pemain lain.

WhatsApp Image 2023-05-22 at 12.43.14

Tangkap layar hantaran di Instagram miliknya. — Instagram/ Vinicius Jr.

Menerusi satu hantaran daripada Instagram miliknya, Vinicius Jr meluahkan ketidakpuasaan hatinya mengenai isu perkauman tersebut.

“Kejuaraan yang pernah dimiliki Ronaldinho, Ronaldo, Cristiano, Messi kini menjadi milik mereka yang rasis.

“Bukan pertama kali, bukan kedua kalinya dan bukan ketiga kalinya, La Liga seolah olah menganggap perkauman adalah normal,” kata Vinicius Jr.

Walaupun begitu, pemain berusia 22 tahun itu tidak mahu meninggalkan kelabnya berikutan isu perkauman tersebut malah bertekad ingin melawan isu rasis di negara itu.

Pemain berketinggian 1.76 meter itu merupakan antara pemain sayap terbaik di Eropah dalam beberapa musim ini dan menjadi tonggak utama Real Madrid. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram