PENYERANG naturalisasi baharu negara, Romel Morales menerima pelbagai respons sepanjang bersama kem skuad kebangsaan dalam kempen Piala Asia pada Januari lalu.
Dia yang dikatakan tidak memberi impak ketika dua perlawanan pertama menerima kecaman cukup hebat di media sosial sehingga orang ramai menyelar keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memberikannya status kewarganegaraan.
Bagaimanapun, selepas pemain tinggi lampai itu menjaringkan gol penyamaan ketika berdepan Korea Selatan, penyokong Harimau Malaya mula menyanjung namanya.
Selain mahu terus memberikannya peluang dalam pasukan negara, orang ramai juga mahu melabelnya sebagai tumpuan jentera serangan bagi skuad kendalian Kim Pan-gon sekiranya Darren Lok tidak lagi beraksi pada masa akan datang.
Malah, kebolehannya untuk menyesuaikan diri bukan sahaja mencuri perhatian penyokong apabila khabar angin ketika ini kencang mengaitkannya dengan juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT).
Walaupun masih memiliki kontrak dengan Kuala Lumpur (KL) City FC ketika ini, Romel dikatakan bersedia untuk meninggalkan kelab tersebut selepas tiga tahun menyumbang khidmatnya.
BACA LAGI: [VIDEO] Angkara gol lewat Hafiz Kamal, fans JDT-Pahang pernah buat Darul Makmur 'panas'
Romel merupakan tonggak utama skuad Warga Kota sepanjang tiga tahun.
BACA LAGI: Tak mungkir janji dengan kelab, Brendan ada sejarah pegang prinsip tolak tawaran JDT
Ura-ura terbabit turut dikuatkan dengan komen pemilik skuad Harimau Selatan, Tunku Mahkota Johor yang mengatakan pasukan Selatan tanah air itu bakal menyambar seorang pemain naturalisasi pada jendela perpindahan kali ini.
"JDT sudah dapatkan tiga pemain import baharu. Seorang hadir dengan status pinjaman, dua lagi akan hadir pada Jun. Seorang pemain lokal sudah dibawa masuk dan akan dipinjamkan untuk minit permainan. Juga akan ada seorang pemain naturalisasi," tulisnya.
Setakat ini, skuad kendalian Hector Bidoglio sudah membawa masuk Jalil Elias, Nicolao Dumitru, Francisco Geraldes dan Murilo Henrique dalam misi mereka memberi tentangan lebih hebat di pentas Asia musim depan.
Berdasarkan situasi semasa, hanya Romel merupakan pemain naturalisasi yang sesuai untuk menyertai JDT musim depan melihat kepada usia dan prestasinya beberapa tahun kebelakangan ini.
Bagi pemain tempatan pula, mereka dilaporkan bersedia untuk mendapatkan Azam Azmi Murad dengan ura-ura mengatakan bek kanan itu bakal dipinjamkan semula ke Terengganu FC.
Namun, dengan jendela perpindahan hanya akan ditutup pada penghujung April, juara 'double quadruple' itu pastinya tidak mahu terburu-buru dalam membuat keputusan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram