PELUANG Kelantan FC beraksi dalam Liga Super musim depan sudah tertutup berikutan kegagalan kelab Pantai Timur itu melengkapkan proses penghantaran dokumen diperlukan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Situasi berkenaan menyaksikan sebahagian besar pemain senior memilih untuk meninggalkan pasukan tersebut bagi membolehkan mereka meneruskan karier dalam divisyen teratas bola sepak tanah air.
Antara yang dilihat mengambil peluang terbabit ialah tonggak pertahanan, Arip Amiruddin yang menjadi tunjang utama kelab itu sepanjang musim lalu.
Berdasarkan satu wawancara bersama Astro Arena, pemain berusia 31 tahun berkenaan dilaporkan sudah menerima dua tawaran dari Negeri Sembilan FC dan Kelantan United setakat ini.
"Saya terima dua tawaran dan sudah pun memuktamadkan keputusan. Saya mengharapkan kejayaan manis dalam musim baru. Saya mahukan tingkatkan persembahan dalam setiap perlawanan dan meraih tiga mata," katanya.
Arip bagaimanapun dilaporkan lebih berminat untuk kekal di Pantai Timur, sekali gus memberi bayangan bahawa dia sudah memilih skuad Kijang Hijau sebagai pasukan baharunya.
BACA LAGI: Lepas lama menyepi, TRW buat 'comeback' adakan acara tahunan
Arip memainkan peranan penting buat skuad TRW dalam Liga Super 2023. — Instagram/Arip Amiruddin
BACA LAGI: [VIDEO] Pernah tembusi gawang JDT, Terengganu dikhabar selamatkan nasib ubi muda TRW
Untuk rekod, pemain kelahiran Keningau, Sabah tersebut mencatatkan 19 penampilan secara keseluruhan buat skuad The Red Warriors (TRW) dalam kesemua kejohanan dengan 15 daripadanya hadir dalam saingan Liga Super.
Bagaimanapun, kehadirannya masih belum cukup untuk membantu pasukan tersebut dari segi pertahanan apabila mereka dibolosi lebih daripada 100 kali sepanjang musim.
Dalam pada itu, pemain berkenaan mahu meningkatkan persembahannya kerana dia komited untuk terus membawa kelab baharunya ke tahap tertinggi selepas ini.
"Saya harap dapat bawa pasukan ke peringkat lebih tinggi. Standard permainan semakin tinggi, perebutan tempat utama dalam sangat sengit. Jadi pemain sendiri perlu lebih berusaha," kata Arip lagi.
Dia sebelum ini menjadi watak utama ketika membantu skuad TRW kembali ke divisyen teratas setelah membantu pasukan tersebut ke kedudukan kedua Liga Perdana 2022.
Sumbangan itu sedikit sebanyak menaikkan lagi reputasinya dengan ia boleh dikatakan faktor utama buatnya mencuri perhatian pencabar Liga Super yang lain sepanjang jendela perpindahan kali ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram