'Tiada apa perlu terkejut, mungkin ingat padang top top', Exco Terengganu jawab reaksi Hannah Yeoh


  • Podium
  • Khamis, 08 Feb 2024

Hishamuddin menegaskan dana diberikan dapat disalurkan kerajaan negeri untuk menaik taraf fasiliti sekitar negeri itu. — Facebook/Hishamuddin Abdul Karim

EXCO Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim tampil menjelaskan keputusan negeri itu untuk menerima cadangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang menawarkan dana sebanyak RM500,000 baru-baru ini.

Dalam satu hantaran di Facebook peribadinya, Adun Tepoh berkenaan menjelaskan jawapan yang diberikan adalah dibuat berdasarkan penilaian bahawa wang diberikan mampu digunakan untuk menaik taraf fasiliti lain sekitar Terengganu.

"Sebenarnya tiada apa yang perlu terkejut. Sewaktu Mesyuarat Pengelolaan Liga Malaysia dan Taklimat Pengurusan Stadium dan Venue Liga Malaysia Musim 2024/2025 di Sunway Big Box Hotel, Iskandar Puteri pada 9 Januari 2024 yang lalu, saya turut mengambil peluang bertanyakan soalan dalam sidang mesyuarat ini.

"Antara yang saya timbulkan adalah padang untuk Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin tidak perlu untuk ditukar dengan rumput Zeon Zoysia. Rumput Princess Bermuda 77 yang ada sekarang ini sudah cukup memadai untuk dikekalkan dan ia juga sumbangan daripada pihak Malaysian Football League (MFL) dan Tunku Mahkota Johor.

"Walaupun begitu, jika geran KBS ini boleh dimanfaatkan untuk kami upgrade padang ini, ia satu peluang yang cukup baik untuk objektif yang sama. Saya dimaklumkan dalam mesyuarat itu untuk cuba dahulu memohon atas semangat objektif yang sama," tulisnya.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengakui dia terkejut bahawa Terengganu tampil sebagai salah satu daripada tiga negeri yang mahu menerima dana ditawarkan bagi menaik taraf padang dan sistem saliran stadium.

BACA LAGI: Terengganu FC enggan 'gelojoh', ambil pendirian realistik

A885CCA4-179A-4E43-BAB2-09A174EF90E4

Hannah seakan-akan pelik dengan keputusan Terengganu untuk menerima dana ditawarkan KBS.

BACA LAGI: Safawi dicanang bakal warisi No 7 di Terengganu lepas Ivan Mamut pilih buat perubahan

Respons itu diberikan kerana orang ramai sering mengatakan padang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu merupakan antara yang terbaik seperti mana dapat disaksikan pada tahun-tahun kebelakangan ini.

Jelas Hishamuddin lagi, penerimaan dana itu boleh membantu kerajaan negeri menambah baik sistem pengaliran stadium yang masih belum ditukar ketika kerja-kerja penukaran rumput kira-kira enam tahun lalu.

"Oleh itu, walaupun padang ini antara yang terbaik, ia masih lagi berdepan dengan beberapa kelemahan yang perlu diatasi secara konsisten. Tawaran geran KBS ini kami sambut kerana objektif utama adalah untuk melihat perjalanan Liga Malaysia lebih berkualiti dan lebih kompetatif.

Pihak MFL juga bersetuju, antara penyumbang dalam membangunkan bola sepak negara adalah faktor padang bola sepak. Komitmen kami untuk memastikan penjagaan padang ini sentiasa diberikan perhatian, satu kawasan nursery dan pembenihan rumput Bermuda Princess 77 akan diwujudkan bersebelahan stadium untuk dijadikan sebagai gantian rumput rosak dalam kawasan padang," tulisnya lagi.

Setakat ini, hanya Terengganu, Perak dan Negeri Sembilan yang bersedia menerima tawaran KBS untuk menukar jenis rumput di stadium utama.

Keengganan beberapa negeri lain boleh dikatakan berpunca daripada kesukaran untuk melakukan penjagaan rumput jenis Zeon Zoysia yang mampu menelan kos jutaan ringgit setiap tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram