MESKIPUN menamatkan saingan Liga Super musim lalu sebagai penjaring terbanyak, Ayron del Valle masih tidak memilih untuk kekal bersama skuad Gergasi Merah.
Penyerang kelahiran Colombia yang hadir dengan reputasi kurang meyakinkan itu pada awalnya seakan-akan berdepan kesukaran dalam menyesuaikan diri.
Bagaimanapun, selepas beberapa minggu, dia cukup mudah menjaringkan gol buat Selangor FC sehingga membolehkan mereka menamatkan saingan di tangga kedua.
Kedudukan akhir berkenaan menyaksikan penantian lapan tahun mereka untuk layak ke pentas Asia berakhir apabila pasukan Lembah Klang tersebut bakal beraksi dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2 musim depan.
Namun, dengan del Valle seakan-akan lebih berminat untuk beraksi di benua Amerika Selatan, penyerang itu kemudiannya mengambil keputusan tidak menyambung kontraknya dengan skuad Gergasi Merah.
BACA LAGI: Selangor kekalkan 2 import projek naturalisasi, tapi fans masih tagih khidmat Ayron del Valle
Del Valle menduduki tangga teratas dalam carta penjaring terbanyak Liga Super 2023. — Facebook/MFL
Keputusan terbabit pastinya sukar diterima sebahagian penyokong pasukan kelab Lembah Klang itu kerana persefahamannya dengan pemain serangan lain cukup baik memasuki penghujung musim lalu.
Meskipun khabar angin mengumumkan del Valle akan pulang ke negara kelahirannya, media antarabangsa seakan-akan tidak dapat memberi kata putus mengenai destinasinya selepas ini.
Tetapi, dalam satu perkhabaran baru-baru ini, peledak berusia 35 tahun tersebut difahamkan bakal dimiliki kelab Bolivia, Always Ready yang beraksi di divisyen pertama negara terbabit.
Berdasarkan laporan, pemain berkenaan dikatakan bersedia untuk membantu pasukan itu selepas memiliki reputasi cukup baik di hadapan pintu gawang lawan sepanjang kariernya.
"Di negara saya, saya muncul sebagai penjaring terbanyak sebanyak tiga kali. Di Selangor FC pula, saya juga menduduki kedudukan teratas carta gol liga.
BACA LAGI: Dari benci jadi sayang, fans Selangor mahu Ayron del Valle kekal beraksi musim depan
Del Valle sudah kelihatan menyertai sesi latihan kelab Bolivia itu. — Instagram/Always Ready
"Bagi persiapan pula, saya hanya mahu melakukan yang terbaik, bekerja keras dan bersiap-sedia bagi membolehkan saya dapat memberikan persembahan terbaik," katanya berdasarkan laporan Late.com.
Del Valle dibawa masuk bersama rakan senegaranya, Larry Angulo yang merupakan perancang tengah dengan masing-masing dijangka bakal memikul tanggungjawab besar dalam saingan Liga Bolivia buat Always Ready.
Selain pernah beraksi buat Selangor FC, pemain berketinggian 1.75 meter itu juga pernmah mewakili beberapa pasukan di Colombia, seperti Millonarios serta Once Caldas.
Untuk rekod, dalam saingan Liga Super 2023, pemain berkenaan merekodkan 23 gol dalam 26 penampilan dengan dua gol juga berjaya disumbangkan ketika aksi Piala Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram