PERMASALAHAN gaji tertunggak dalam kalangan kelab Liga Super kini dilihat seperti perkara normal. Tetapi, ia adalah perkara normal yang tidak perlu diraikan.
Beberapa kelab terpalit dengan isu membimbangkan ini dengan pemain serta pegawai terpalit dengan tunggakan gaji yang tersangkut selama hingga empat bulan.
Bagi kelab Lembah Klang, Kuala Lumpur City FC, mereka turut mengalami perkara yang sama kerana terdapat isu tunggakan gaji yang masih belum selesai.
Bahkan, terdapat pemain seperti Paulo Josue dan Giancarlo Gallifuoco secara terbuka mengakui kelab mereka mengalami tunggakan gaji sehingga empat bulan.
Namun begitu, cerita itu tidak berakhir di situ.
BACA LAGI: Terengganu FC enggan 'gelojoh', ambil pendirian realistik
Skuad Piala Presiden Kuala Lumpur beraksi sehingga ke separuh akhir. — KLFA
Dikhabarkan, KL City bukan saja mengalami permasalahan gaji tertunggak dalam kalangan para pemain Liga Super mereka saja, tetapi isu tersebut merebak melibatkan pasukan remaja kelab tersebut.
Menurut salah seorang barisan kejurulatihan kelab yang tidak mahu dinamakan, pemain dan pegawai barisan skuad Piala Belia dan Piala Presiden turut menerima nasib sama seperti skuad Liga Super Warga Kota.
Katanya, tunggakan tersebut bermula sejak November 2023 apabila mereka cuma memperoleh separuh gaji. Sejak itu, tiada lagi wang dikreditkan kepada mereka oleh pihak kelab.
Hingga kini masih tiada lagi tindakan lanjut diambil oleh Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) yang merupakan sebahagian daripada entiti pemilikan KL City. Malah, terdapat usaha untuk menyelesaikan perkara tersebut sebelum 31 Januari 2024 tetapi menemui jalan buntu.
Dalam masa yang sama, KLFA dikatakan telah menjual pemilikan kelab Liga M3, KL Rovers yang dikuasai mereka kepada sebuah entiti baharu.
Jualan kelab amatur yang mencecah nilai tujuh angka itu menyaksikan KLFA akan menggunakan wang tersebut bagi menyelesaikan tunggakan gaji melibatkan skuad Piala Belia, Piala Presiden serta KL Rovers yang turut mengalami situasi serupa.
Selain itu, pasukan bawah 23 tahun (B-23) KL City turut terkesan dengan perkara ini. Mereka mengambil langkah proaktif apabila melaporkan perkara tersebut kepada Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) untuk tindakan lanjut.
Pihak Majoriti ada cuba mendapatkan maklum balas daripada pihak PFAM berkenaan perkara tersebut namun mereka masih belum memberikan sebarang komen. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram