PENYERANG baharu Selangor FC, Ronnie Hernandez tidak mahu bercakap lebih mengenai dirinya dan membalas semula cemuhan daripada pihak lawan.
Sebaliknya, dia mahu menjadikan permainannya di atas padang sebagai wakil kepada suaranya yang sekali gus akan membuatkan pihak lawan terdiam.
Dalam temu ramah bersama media rasmi kelab, Fernandez mengakui dirinya adalah seorang yang pendiam dan tidak suka 'sembang kencang'.
Ia menunjukkan yang dirinya tidak mudah untuk terjerat dengan perang saraf yang dihalakan kepadanya terutamanya dari pihak lawan.
BACA LAGI: Terengganu FC enggan 'gelojoh', ambil pendirian realistik
BACA LAGI: Bukan takat pemain, pegawai juga sangkut gaji 2 bulan — Jurulatih
"Para penyokong (Selangor) akan memperoleh seorang pemain yang yang tidak suka sangat cakap banyak. Saya memang tak suka nak sembang lebih-lebih.
"Sebaliknya, saya lebih suka untuk tonjolkan diri saya yang sebenar dengan memberikan persembahan terbaik ketika berada di padang. Dengan itu, mereka akan mengenali saya dari cara tersebut," kata Fernandez.
Dalam masa yang sama, Fernandez juga memasang azam untuk menghadiahkan penyokong Selangor dengan piala yang amat diidamkan oleh mereka.
Dia cuba membuktikan yang kehadirannya ke Malaysia bukanlah untuk bersantai, sebaliknya, Fernandez ada misi untuk diselesaikan bersama Gergasi Merah.
"Saya rasa, bola sepak memerlukan pemain itu mempunyai sasaran peribadi. Tetapi, sudah semestinya sasaran pasukan adalah yang paling penting.
"Jika anda tanyakan mengenai sasaran peribadi saya, saya datang ke sini untuk kuatkan pasukan dan ingin menjadi juara bersama pasukan," ujar Fernandez.
Fernandez hadir sebagai pengganti kepada Ayron del Valle yang merupakan penjaring terbanyak Selangor dan Liga Super musim lalu.
Walaupun dikatakan sebagai pengganti Ayron, tetapi dia memilih untuk menyarung jersi nombor sembilan yang sebelum ini disarung oleh Richmond Boakye.
Fernandez mempunyai pengalaman beraksi di Asia terutamanya Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi tetapi Malaysia merupakan destinasi pertamanya dekat Asia Tenggara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram