Hanya gambar poster, kehilangan Saddil Ramdani undang resah fans The Rhinos


  • Podium
  • Rabu, 07 Feb 2024

Ketiadaan Saddil di sesi latihan Sabah menjelang aksi separuh akhir zon Asean Piala AFC menentang Macarthur FC cetus tanda tanya.

WAKIL tunggal Malaysia di kejohanan Asia, Sabah FC kini giat melakukan persiapan menjelang aksi separuh akhir zon Asean Piala AFC menentang Macarthur FC pada 13 Februari.

Dengan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee kembali dikuatkan dengan bintang-bintang Harimau Malaya seperti Darren Lok, Stuart Wilkin dan Daniel Ting, Sabah pastinya mahu mencatatkan kemenangan di tempat lawan.

Aksi separuh akhir tunggal yang diadakan di tempat lawan itu pastinya mahu dimenangi oleh Sabah dengan sekali gus membawa mereka ke peringkat seterusnya.

Sudah pasti, selain bintang Harimau Malaya, Sabah pastinya akan bergantung harap kepada pemain sayap mereka daripada Indonesia iaitu Saddil Ramdani untuk mencapai kejayaan.

Sejak kehadirannya ke Sabah, Saddil memang menjadi pemain harapan Kim Swee dan pujaan ramai penyokong skuad Badak.

Dalam aksi Liga Super 2023, Saddil melakukan 18 penampilan dengan menjaringkan tujuh gol serta sembilan bantuan jaringan.

Di peringkat kumpulan Piala AFC, Saddil mencipta sensasi apabila melakukan enam bantuan jaringan buat Sabah sekali gus menjadi nadi kekuatan mereka ke pusingan kalah mati.

Oleh kerana pengaruh besarnya di padang, tidak hairanlah kenapa pasukan media sosial Sabah meletakkan wajahnya bersama-sama Ramon Machado dan Damien Lim dalam poster kira detik (countdown) perlawanan menentang kelab Australia tersebut.

BACA LAGI: Projek bina stadium baharu Selangor akhirnya bermula Selasa, proses roboh makan masa setahun

Akan tetapi, timbul kegusaran dalam kalangan penyokong Sabah apabila mereka mendapati ketiadaan Saddil dalam sesi latihan untuk mensiapkan diri bertemu Macarthur.

Dalam gambar-gambar terkini sesi latihan Sabah, penyokong mendapati ketiadaan Saddil pada sesi latihan yang diadakan.

Hal ini menimbulkan misteri, ke mana Saddil menghilang? Apa yang terjadi kepadanya?

BACA LAGI: 'Belasungkawa FAP', cemerlang musim lalu seakan tak bermakna, futsal Penang akhirnya terkubur

“Tidak nampak kelibat Saddil di sini,” kata penyokong bernama Muhammad Raziq Abdullah.

“Aik? Betul-betul dah tak nampak muka Saddil ni,” komen Anie Masluinah.

“Saddil dah tak main dengan Sabah FC ke?,” soal Fri Endly Fs yang musykil.

Situasi tersebut nyata membimbangkan kerana Saddil adalah bintang utama Sabah. Jika benar dia tidak lagi bersama mereka, pastinya sukar untuk skuad Badak memberikan saingan di Piala AFC kelak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram