Bola Pegun kembali menemui pembaca dengan mengalihkan tumpuan ke aksi Piala Asia 2023 di Qatar. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka pasukan-pasukan mengatasi pelbagai rintangan dalam memburu kejayaan.
QATAR membuat perjudian besar menggantikan ketua jurulatih, Carlos Queiroz dengan Tintin Marquez hanya sebulan sebelum perlawanan pembukaan Piala Asia 2023 yang ia sendiri anjurkan tapi kini cuma satu perlawanan daripada mengekalkan kejuaraan.
Skuad tuan rumah itu mengesahkan tempatnya dalam final menentang Jordan, Sabtu ini, selepas menewaskan Iran 3-2 dalam aksi separuh akhir yang mendebarkan di Stadium Al Thumama, Doha pada awal pagi Khamis.
Penyerang, Almoez Ali menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-82 sambil Iran kehilangan Shojae Khalilzadeh gara-gara layangan kad merah yang lewat dalam masa kecederaan dan jurulatih Iran, Amir Ghalenoei tewas buat kali pertama sejak mengambil alih tahun lalu.
Terdahulu, Iran tidak berlengah untuk berada di depan. Kegagalan Qatar menangani satu lontaran jauh menyaksikan Sardar Azmoun membuat jaringan hasil satu sepakan libas pada minit ketiga.
Bertentangan dengan arus perlawanan, Qatar menyamakan kedudukan apabila percubaan jauh Jassem Gaber (minit ke-17) terbias daripada seorang pemain pertahanan dan menewaskan penjaga gol, Alireza Beiranvand.
BACA LAGI: Piala Asia: Korea yang tiada haluan, ditunjuk pintu keluar dengan keaiban
Qatar dan Iran menampilkan persembahan cukup baik dalam aksi separuh akhir Piala Asia. — Agensi
Akram Afif (m-43) kemudian melebarkan pendahuluan Qatar dengan jaringan kelimanya sepanjang kejohanan, yang diimbangi oleh sepakan penalti Alireza Jahanbakhsh (m-51) untuk kedudukan terikat 2-2 sehinggalah gol Almoez itu menjadi pemisah kesudahannya.
Marquez, jurulatih berasal dari Sepanyol, mula mengendalikan pasukan pada lewat Disember lalu tapi jalinan selama satu dekad dengan bola sepak Qatar bermakna dia dapat memulakan tugasnya tanpa sebarang kesangsian.
Kini, mereka di ambang kejuaraan Piala Asia kedua berturut-turut selepas menanggung kekecewaan tersingkir seawal pusingan pertama Piala Dunia 2022 selaku tuan rumah.
Liku-liku yang dilalui mereka, seperti diakui Marquez, tidak mudah dan dia memuji pemain-pemainnya kerana membantunya sepanjang perjalanan itu.
“Pemain-pemain telah melaksanakan arahan, falsafah dan idea-idea saya di atas padang dan mereka berhak kepada rasa terima kasih saya,” kata jurulatih berusia 62 tahun itu. “Kami hanya ada satu langkah terakhir dalam merealisasikan matlamat kami.”
BACA LAGI: Piala Asia: Korea lebih berpengalaman tapi Jordan tidak rela dikerdilkan
Keputusan menggugurkan Quieroz pada awalnya sukar diterima pelbagai pihak. — Agensi
Qatar menjuarai Piala Asia buat julung-julung kalinya pada 2019 di bawah pengendalian seorang lagi jurulatih berbangsa Sepanyol, Felix Sanchez, yang kekal untuk mengemudi pasukan dalam Piala Dunia di tanah air sendiri.
Mereka tewas ketiga-tiga perlawanan – rekod terburuk buat mana-mana negara tuan rumah dalam sejarah kejohanan itu.
Queiroz tampil selepas Sanchez meninggalkan pasukan dan keputusan yang diraih bercampur-baur, dengan Qatar tewas 0-4 kepada Iran dalam final satu kejohanan persahabatan di Jordan pada Oktober lalu.
Bekas pengurus Real Madrid, Queiroz, meninggalkan pasukan dua bulan selepas itu dan pemimpin bola sepak Qatar berpaling kepada Marquez selaku pengganti.
Ketua pasukan, Hassan Al-Haydos, dilaporkan sebagai berkata selepas kejayaan menundukkan Iran awal hari ini bahawa semua orang bersatu-padu apabila Marquez mengambil alih pasukan.
Hassan sememangnya yakin dengan kehadiran dan kebolehan dimiliki Marquez ketika dia diberikan kepercayaan. — Agensi
Marquez adalah pemain dan jurulatih bersama kelab Espanyol di samping pernah menjaja kemahirannya di Belgium.
Dia pernah turut berkhidmat di Akademi Aspire di Qatar sebelum kembali ke negara itu pada 2018 untuk menghabiskan hampir enam tahun mengendalikan sebuah kelab tempatan, Al-Wakrah.
Gaya rambut yang memberikannya julukan "Tintin" mengikut satu karakter buku komik telah lama tiada tapi pengetahuannya terhadap bola sepak Qatar semakin lama semakin mendalam.
“Saya cuba laksanakan idea dan falsafah saya sendiri tapi tak bolehlah nak katakan yang saya menukar segala-galanya.
"Setiap pengurus mempunyai gayanya sendiri dan apa yang saya cuba lakukan ialah menyampaikan idea-idea saya kepada pemain-pemain.
Tintin pastinya berpuas hati dengan usaha anak buahnya sepanjang kempen Piala Asia kali ini. — Agensi
"Pada penghujungnya, saya tetap memiliki rasa hormat terhadap setiap orang yang tiba terdahulu daripada saya,” katanya.
Marquez menggunakan kesemua 26 pemain di peringkat kumpulan yang menyaksikan Qatar menang semua tiga perlawanan tanpa bolos sebarang jaringan.
Mereka kemudian menyingkirkan Palestin 2-1 dalam pusingan 16 terakhir dan seterusnya memenangi penentuan sepakan penalti ke atas Uzbekistan dalam suku akhir.
Penyerang Akram Afif, adalah pemain bintang Qatar yang sudah menjaringkan lima gol, termasuk sepakan lencong cantik dalam kemenangan separuh akhir ke atas Iran itu.
Marquez telah bekerjasama dengan Afif awal dalam kerjayanya dan pemain itu mengakui berasa selesa dengan kaedah-kaedah jurulatih itu.
Jordan merupakan cabaran terakhir yang perlu ditempuhi Qatar dalam Piala Asia kali ini. — Agensi
“Saya cuba yang terbaik untuk membantu dia agar menolong saya,” kata Afif. “Sebagai pemain, kami harus menghormati keputusan-keputusan jurulatih. Kami adalah sebuah keluarga dan kami saling membantu.”
Qatar tidak dianggap sebagai antara pilihan selaku juara menjelang kempen Piala Asia kali ini – ramalan lebih memihak kepada Jepun dan Korea Selatan selain Arab Saudi yang bagaimanapun pulang lebih awal.
Pertukaran jurulatih pada saat-sat akhir pula menjadikan mereka sebagai kuantiti yang tidak diketahui. Tapi kini mereka adalah pasukan pilihan menentang Jordan yang akan beraksi dalam final pertama mereka.
“Pemain-pemain saya telah berhabis-habisan malam ini,” kata Marquez selepas Iran dikecewakan mereka. “Kini kami hanya punya satu langkah lagi untuk kami mempertahankan kejuaraan kami.” — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram