Bola Pegun kembali menemui pembaca dengan mengalihkan tumpuan ke aksi Piala Asia 2023 di Qatar. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka pasukan-pasukan mengatasi pelbagai rintangan dalam memburu kejayaan.
BOLA sepak ‘zombie’ Korea Selatan berakhir jua. Diberi julukan itu kerana kekerapan bangkit dari rahang maut dalam kempen Piala Asia Qatar 2023 ini apabila hayat mereka dilihat sudah di penghujung, keadaan itu bagaimanapun tidak berulang lagi awal hari ini.
Zombie berkenaan disemadikan di Stadium Ahmad bin Ali di Al-Rayyan sambil Korea, pasukan di tangga ke-23 dunia, disingkirkan dalam separuh akhir dengan kekalahan 0-2 kepada pasukan di tangga ke-87 dunia, Jordan.
Skuad Pahlawan Taeguk itu yang dilatih oleh Jurgen Klinsmann berikhtiar untuk memenangi semula kejuaraan Piala Asia buat kali pertama selepas 1960. Sebagai antara kuasa besar bola sepak Asia, kemarau kejuaraan mereka agak membingungkan di sebalik empat kali mara ke final sepanjang 64 tahun lalu, kali terakhir di Australia pada 2015.
Namun, berbanding tahun-tahun sebelumnya, kata satu ulasan agensi berita Yonhap, kegagalan kali ini akan lebih menghantui mereka untuk bertahun-tahun mendatang jika diambil kira tahap bakat yang dimiliki dalam pasukan – kapten, Son Heung-min, dari Tottenham Hotspur, Hwang Hee-chan dari Wolverhampton Wanderers, Lee Kang-in dari Paris Saint-Germain dan Kim Min-jae dari Bayern Munich. Tapi, tiada seorang pun yang meninggalkan impak besar.
Son Heung-min kecewa gagal bawa Korea Selatan ke perlawanan akhir Piala Asia. — Agensi
Korea bolos lapan kali dalam lima perlawanan pertama. Mereka berganjak daripada tidak melepaskan sebarang gol dalam tujuh perlawanan berturut-turut sebelum Piala Asia kepada bolos tiga gol dalam satu perlawanan menentang Malaysia, pasukan kerdil di tangga ke-130 dunia.
Korea juga ketinggalan dalam lima daripada enam perlawanan, dengan kemenangan 3-1 ke atas Bahrain satu-satunya pengcualian. Bangkit daripada ketinggalan lazimnya bukan satu resipi kejayaan – tidak kiralah sebesar mana keghairahan yang ditimbulkannya.
Beraksi selama 240 minit dalam tekanan tinggi dalam tempoh empat hari ternyata terlalu berat buat Korea. Mereka tidak pun banyak melawan ketika berdepan Jordan, dengan hanya tandukan pemain tengah Lee Jae-sung terkena tiang dalam separuh masa pertama.
Sambil pemain utama gagal menyerlah manakala selebihnya pula kerap melakukan kesilapan, Klinsmann turut dihujani kritikan atas kegagalannya mengerah lebih lagi daripada skuad berbakat besar seperti ini. Apa yang dipersalahkan ialah kekurangan taktikal jurulatih dari Jerman itu dan kegagalannya membuat pengubahsuaian dalam perlawanan.
Mengisi kerusi panas jurulatih yang bermula dengan prestasi kurang meyakinkan pada Mac 2023, Klinsmann bagaimanapun berupaya menutup mulut pengkritiknya dengan kemenangan ke atas Singapura, China dan Vietnam tapi kekalahan awal hari ini hanya mengundang lebih banyak kecaman.
BACA LAGI: [VIDEO] Saya terkejut Terengganu juga mohon dana tukar rumput stadium — Hannah Yeoh
Kemarau Korea Selatan untuk menjulang Piala Asia berterusan. — Agensi
Buat sebuah pasukan yang diperkuatkan Son dan Hwang – dengan jumlah 22 gol dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) – serta mendapat perkhidmatan daripada Lee Kang-in, Korea seharusnya tidak terlalu bermasalah mendapatkan gol.
Sebaliknya, Korea tidak memiliki banyak kelancaran gerakan dalam serangan mereka. Pergantungan besar kepada Son dan Lee untuk mencipta peluang-peluang dengan skil individu mereka, membuat permainan mereka terlalu mudah dibaca lawan.
Sudah banyak juga diperkatakan bahawa Klinsmann tidak memiliki taktik, sebaliknya membiarkan saja pemain-pemain melaksanakan kemahuan mereka.
Jika pasukan sedang beraksi cemerlang, Klinsmann mungkin disanjung kerana mengupayakan pemain-pemainnya. Tapi seusai kekalahan kepada Jordan, dia digambarkan sebagai jurulatih tenggelam punca yang tidak tahu mengurus bakat-bakat dalam pasukannya.
Kekalahan kepada Jordan itu lebih dirasakan bukan kerana jurang skornya tapi betapa tidak bermayanya Korea di sebalik ia pertemuan kedua di antara kedua-dua pasukan dalam kejohanan ini selepas terikat 2-2 di peringkat kumpulan 20 Jan lalu.
Sepatutnya Korea mengambil pengajaran daripada perlawanan itu dan ketiadaan Kim Min-jae kerana penggantungan satu perlawanan seharusnya membuat mereka lebih berwaspada ketika bertahan.
Penganalisis bola sepak Korea, Park Chan-ha, menyimpulkan kegagalan mereka kali ini sebagai mendedahkan kurangnya ketersediaan skuad Pahlawan Taeguk itu.
“Jordan harus meraih banyak keyakinan daripada perlawanan pertama itu. Mereka harus berasa dapat mengalahkan Korea asalkan tidak mengulangi kesilapan yang sama,” kata Park.
“Sebaliknya, Korea tidak kelihatan seperti mereka bersiap-sedia sepenuhnya, lebih-lebih lagi dengan ketiadaan Kim Min-jae dalam pertemuan kedua di antara kedua-dua pasukan,” tambahnya.
Klinsmann pula berkata dia berang dengan kekalahan itu kerana berasakan pesanannya tidak didengar oleh pemain-pemain.
“Saya sangat kecewa. Saya juga marah kerana kami seharusnya melakukan lebih baik malam ini. Sebelum perlawanan, pemain-pemain diingatkan bagaimana untuk menghadapi pertempuran dalam situasi satu lawan satu dan melaksanakan taktik kami dari mula.
“Sebaliknya, kami seolah-olah tidak wujud untuk 20-30 minit pertama. Jordan berhak kepada kemenangan ini. Mereka bermain lebih agresif daripada kami. Mereka yang lebih laparkan kemenangan,” katanya.
Dalam pada mengakui bahawa seorang jurulatih sentiasa bertanggungjawab ke atas jaya atau gagal misi pasukannya, Klinsmann berkata dia tidak akan ke mana-mana.
“Saya bercadang untuk menganalisis kejohanan ini, pulang ke Korea dan berbincang dengan persatuan mengenai apa yang baik dan apa yang kurang baik dalam kempen Piala Asia kali ini.
“Saya fikir ada banyak benda baik yang kita lihat. Ini adalah sebuah pasukan yang sedang berkembang – sebuah pasukan yang disasarkan untuk Piala Dunia berikutnya di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada dalam tempoh dua setengah tahun lagi.
"Sudah tentu kempen kelayakannya sukar, jadi masih ada banyak kerja yang perlu dilakukan. Selain itu, saya tidak memikirkan apa-apa,” katanya, seolah-olah membayangkan pemecatan tidak langsung terlintas di kotak mindanya ketika ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram