Piala Asia: Korea lebih berpengalaman tapi Jordan tidak rela dikerdilkan


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Selasa, 06 Feb 2024

Pertembungan pertama Jordan dan Korea Selatan di peringkat Kumpulan E menyaksikan keputusan beraksi seri 2-2. — Agensi

BOLA Pegun kembali menemui pembaca dengan mengalihkan tumpuan ke aksi Piala Asia 2023 di Qatar. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka pasukan-pasukan mengatasi pelbagai rintangan dalam memburu kejayaan.

FAKTOR pengalaman ternyata memihak Korea Selatan tetapi Jordan percaya perjalanannya hanya akan terhenti apabila mereka menjulang piala – elemen-elemen yang menjanjikan pertembungan separuh akhir Piala Asia di Stadium Ahmad bin Ali, Al-Rayyan malam ini (11 malam tempatan) lebih mendebarkan.

Ini akan menjadi penampilan kali kelima buat Korea dalam separuh akhir daripada tujuh edisi, yang mendorong ketua jurulatihnya, Jurgen Klinsmann percaya pemain-pemainnya memiliki secukup ramuan untuk meraih hak ke final.

Rakan sejawatannya di pihak Jordan, Hussein Ammouta, pula menyandarkan peluang kepada penggunaan strategi tepat untuk menggagalkan lawan daripada meneruskan siri kebangkitan lewatnya.

“Kami sangat teruja menghadapi aksi separuh akhir ini dan pujian harus diberikan kepada Jordan. Kami layak dari kumpulan yang sama (Kumpulan E yang turut mengandungi Bahrain dan Malaysia) sebagai menyerlahkan dinamika kedua-dua pasukan,” kata Klinsmann.

“Begitupun, keadaan kami yang lebih laparkan kejayaan akan mendorong kami untuk mara lebih jauh. Kami dalam keadaan cergas, berkeyakinan dan tidak sabar untuk mengesahkan tempat dalam final. Perasaan dalam pasukan juga sangat positif,” tambahnya.

WhatsApp Image 2024-02-06 at 10.18.44

Klinsmann percaya Korea Selatan berhasil mara ke final Piala Asia Qatar. — Facebook/KFA

BACA LAGI: Piala Asia: Son pastikan tiada ulangan kekecewaan buat Korea Selatan

Kuncinya, kepada Klinsmann, ialah pasukannya harus kekal tenang dan fokus terhadap cabaran yang akan ditempuhi di samping mengetepikan apa juga gangguan yang tidak penting pada waktu ini.

“Saya percaya kumpulan pemain yang saya miliki ini cukup berpengalaman. Sasaran kami ialah untuk ke final tapi kami perlu lebih dahulu menghadapi barisan Jordan yang kuat dan bersedia mengheret permainan selama 120 minit, malah hingga penentuan sepakan penalti,” katanya lagi.

Suku akhir: Australia 1 - 2 Korea

Korea dikerah bangkit daripada ketinggalan untuk memenangi empat daripada lima perlawanan sepanjang aksi Qatar 2023 tapi Klinsmann percaya kepayahan itu telah banyak mematangkan pemain-pemainnya.

“Jangkaan tinggi dan tekanan di peringkat permulaan sentiasa mencabar buat mana-mana negara tapi semakin lama saingan berjalan, anda membina keyakinan, tambahan pula setelah sampai ke peringkat empat terakhir.

“Sama seperti Argentina yang mengatasi kekalahan kepada Arab Saudi dalam perlawanan sulung Piala Dunia 2022, mereka menghadapi tekanan dalam perlawanan berikut menentang Mexico.

WhatsApp Image 2024-02-06 at 10.18.45

Barisan pemain The Taeguk Warrios menjelang perlawanan menentang Jordan pada Selasa. — Facebook/KFA

“Selepas mengharungi beberapa perlawanan dan keyakinan pula meningkat dengan cabaran yang dihadapi, sokongan seluruh negara menjadi faktor positif.

“Sebuah pasukan memerlukan banyak kekuatan mental untuk beraksi dalam sesuatu kejohanan dan anda peru bersedia untuk aksi maraton. Kami hanya perlu berkesudahan dengan kuat dan meraih habuannya.

“Jordan memiliki pemain-pemain hebat untuk mengubah keadaan dalam sesuatu perlawanan. Kami perlu menghalang mereka daripada mendapatkan jaringan selain mengangkat tahap permainan kami sendiri.

“Kami telah menghadapi mereka di peringkat kumpulan (seri 2-2 pada 20 Jan) dan apa yang dituntut ialah menjaringkan satu gol lebih daripada lawan,” katanya.

Ikhtiar Korea untuk sampai ke final keduanya daripada tiga edisi, bagaimanapun, perlu dicapai tanpa khidmat Kim Min-jae kerana bek tengah Bayern Munich itu akan menjalani penggantungan satu perlawanan.

Lain pula ceritanya dengan Jordan. Setelah melepasi pencapaian terbaik mereka sebelumnya dengan kemaraan ke separuh akhir, Ammouta menuntut pemain-pemainnya agar tidak gemuruh dengan cabaran menggunung yang akan dihadapi.

WhatsApp Image 2024-02-06 at 10.18.44-2

Ammouta menggesa agar anak buahnya tidak gemuruh menentang Korea Selatan. — Facebook/JordanFA

BACA LAGI: Piala Asia: Ulangan final 2015 Australia-Korea Selatan cetus debaran

“Ia akan menjadi perlawanan yang sangat mencabar buat kedua-dua pasukan. Ia akan tambah sukar buat kami kerana kehilagan dua pemain.

“Perlawanan ini akan lebih sukar daripada aksi-aksi yang kami tempuhi di peringkat kumpulan tapi kami memberi banyak penekanan kepada persiapan.

“Semua pemain dalam kejohanan ini telah bersiap-sedia daripada segi mental dan sebab itu juga kami perlu fokus untuk meningkatkan aspek taktikal permainan kami, tambahan di peringkat separuh akhir.

“Membuat keputusan taktikal termasuklah memberi tekanan kepada pasukan-pasukan kuat di samping memastikan setiap pemain mendapat apa yang selayaknya buat mereka. Setiap pasukan perlukan persiapan menyeluruh, baik daripada segi mental mahupun fizikal, untuk beraksi selama 120 minit,” kata Ammouta.

Jordan akan ketiadaan khidmat Ali Olwan dan Salem Al Ajalin tapi Ammouta yakin dia memiliki cukup kualiti dalam pasukannya untuk mengisi kekosongan dua pemain yang digantung itu

WhatsApp Image 2024-02-06 at 10.18.43-2

Al-Tamari sudah merekodkan dua jaringan untuk Jordan. — Facebook/JordanFA

“Tentunya kami akan terasa ketiadaan kedua-duanya dalam separuh akhir. Mereka adalah tonggak dalam pasukan Jordan tapi kami juga ada pemain-pemain yang sedia mengisi sebarang kekosongan.

“Kami terpaksa melakukan sedikit pengorbanan dan pemain-pemain tahu yang mereka diperlukan membuat keputusan besar apabila mereka melangkah masuk ke padang,” katanya lagi.

Suku akhir: Tajikistan 0 - 1 Jordan

“Mousa Al Tamari akan bersedia. Dia seorang pemain penting dan kami bergantung kepadanya. Tapi bukan saja sumbangan Mousa yang kami perlukan, kami harapkan sumbangan semua pemain. Mereka adalah pemain-pemain profesional dan mampu pulih daripada segi mental dalam 48 jam.

“Saya harap kami akan mengekalkan penumpuan yang tinggi terhadap perincian kecil yang boleh membawa kepada perubahan-perubahan penting. Kami juga harapkan sokongan penyokong untuk memenangi perlawanan dengan Korea ini,” katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram