Penang, kelab Pantai Timur antara kelab bakal berwajah baharu musim depan


  • Podium
  • Khamis, 08 Feb 2024

Skuad Harimau Kumbang perlu melakukan rombakan bagi membaiki reputasi semasa pasukan. — Facebook/Penang FC

PELBAGAI usaha kini sedang dilakukan pasukan Liga Super untuk memastikan perubahan dibuat mampu mengangkat pasukan masing-masing ke tahap lebih tinggi.

Langkah yang pastinya giat diambil adalah dengan membawa masuk pemain baharu memandangkan jendela perpindahan hanya akan ditutup pada penghujung April nanti.

Bagaimanapun, perubahan berkenaan masih belum cukup untuk memastikan anjakan diambil pihak pengurusan mampu menambah baik pretasi pasukan musim depan.

Selain itu, rombakan sebegitu dikhuatiri hanya akan memberi tekanan terhadap struktur kewangan kelab, lebih-lebih lagi jika mereka mahu mendapatkan khidmat import baharu.

BACA LAGI: 'Belasungkawa FAP', cemerlang musim lalu seakan tak bermakna, futsal Penang akhirnya terkubur

420039124_920546692919319_611969247351658725_n-819x1024

Skuad Harimau Kumbang merupakan antara yang melakukan perubahan segera ketika ini. Facebook/Penang FC

Jadi, dalam memastikan langkah tersebut tidak mendatangkan kerugian, beberapa pasukan kini dilihat sedang melakukan perubahan di tahap lebih mendalam.

Di samping merangka perancangan berbeza di tahap pengurusan, ada juga yang mengambil kesempatan membuat percaturan terhadap barisan kejurulatihan dan pemain secara mendalam.

Rombakan yang dibuat diharapkan mampu membawa satu nafas baharu buat kelab selepas mengalami satu musim mengecewakan dengan hal itu turut diakui penyokong.

Meskipun langkah itu juga tidak menjanjikan kejayaan, ia boleh dianggap sebagai satu pelaburan jangka masa panjang untuk memastikan sesebuah pasukan dapat bersaing kelak.

Berdasarkan perkembangan Liga Super ketika ini, terdapat tiga pasukan yang bakal berwajah baharu musim depan setelah mengalami siri kekecewaan sepanjang 2023.

1. Penang FC

Harapan skuad Harimau Kumbang untuk memberi saingan lebih baik tahun lalu tidak kesampaian akibat terdapatnya kesukaran dalam mewujudkan hubungan akrab antara pasukan dan pihak pengurusan.

Walaupun tidak mengalami sebarang isu tunggakan gaji, kegagalan untuk menyuntik semangat dalam pasukan menyaksikan Penang FC menamatkan saingan di kedudukan ke-10 Liga Super.

Kegagalan berkenaan kemudiannya menyaksikan langkah awal diambil pihak pengurusan untuk meletakkan kelab Utara tanah air itu kembali ke landasan.

BACA LAGI: Muat naik 3 foto bendera, Akmal Rizal beri hint import baharu Penang FC?

2299736

Penang FC memerlukan anjakan segera untuk meraih kecemerlangan musim depan. Facebook/Penang FC

Perubahan pertama diambil menyaksikan legenda kelab, Merzagua Abderrazak dilantik sebagai pengarah pasukan dengan langkah terbabit cukup disenangi penyokong.

Selepas itu, bagi menambah baik prestasi pasukan, skuad Harimau Kumbang turut memberi kepercayaan buat bekas pemain negara, Akmal Rizal Ahmad Rakhli untuk menjadi ketua jurulatih.

Kehadiran dua individu itu sudah cukup untuk menceritakan bahawa Penang FC bakal berwajah baharu dengan rombakan tersebut dijangka mampu mengembalikan zaman kegemilangan pasukan.

Tidak cukup dengan itu, perubahan mungkin dilakukan terhadap skuad apabila laporan awal mengatakan mereka tidak akan memberi kepercayaan besar terhadap pemain import.

2. Kelantan United

Berdasarkan pendedahan di media sosial, Kelantan United FC dilaporkan turut terpalit dengan isu tunggakan gaji sehingga menyaksikan musim debut mereka dalam Liga Super boleh dikatakan mengecewakan.

Jadi, dalam usaha menutup episod gelap itu, kelab Pantai Timur itu dilaporkan bersedia melakukan rombakan, terutamanya dari segi pengurusan pasukan.

Antara perubahan yang dikatakan bakal diambil adalah dengan mengubah nama kelab kepada Kelantan Darul Naim FC yang pastinya lebih tertarik buat penyokong.

392796178_756232569849733_1715251903684598631_n

Skuad Kijang Hijau dijangka bakal berdepan rombakan besar-besaran selepas ini. Facebook/Kelantan United FC

Meskipun langkah itu masih belum dimuktamadkan, ia seakan-akan bakal direalisasikan kerana terdapatnya hantaran di media sosial yang meminta cadangan orang ramai mengenai hal berkenaan.

Sekiranya Kelantan United memilih untuk mengubah identiti, mereka pastinya akan membawa masuk beberapa individu baharu bagi menyelesaikan isu dialami pasukan musim lalu.

Bagaimanapun, dengan skuad Kijang Hijau difahamkan masih belum membayar tunggakan gaji, mereka pastinya mahu memberi tumpuan akan hal berkenaan terlebih dahulu sebelum memikirkan perancangan buat saingan akan datang.

3. Kuching City FC

Walaupun hadir dengan status kelab kerdil Liga Super musim lalu, penyokong Kuching City FC boleh dikatakan masih kecewa dengan prestasi kelab itu.

Mereka yang hanya mengumpul 12 mata daripada 26 perlawanan menamatkan musim debut mereka dalam divisyen teratas bola sepak tanah air di tangga ke-13.

Bagaimanapun, pencapaian tidak semegah itu sedikit diubati apabila skuad The Cats melangkah ke perlawanan akhir MFL Challenge Cup meskipun tewas kepada PDRM FC.

2445856

Kuching City FC dilaporkan bakal menerima suntikan dana bagi saingan akan datang. Facebook/Kuching City FC

Jadi, kebolehan berkenaan sedikit sebanyak menjadi punca buat pihak pengurusan kelab Borneo tersebut untuk membuat pelaburan secara besar-besaran sepanjang jendela perpindahan.

Meskipun masih belum mengumumkan rekrut baharu, Kuching City FC dilaporkan bersedia mendapatkan pemain berkualiti Liga Super, seperti Stuart Wilkin dari Sabah FC serta Danial Amier Norhisham dari Johor Darul Ta'zim (JDT).

Usaha itu boleh dikatakan sebagai usaha pihak pengurusan dalam memberi sokongan buat pengendali pasukan, Aidil Sharin Sahak yang menyuntik nafas baharu buat mereka pada penghujung musim lalu.

Tetapi, dengan skuad The Cats masih baharu buat penyokong di Sarawak, harapan untuk membuat rombakan boleh dianggap masih tipis kerana mereka pastinya mengharapkan pulangan berbaloi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram