Muat naik 3 foto bendera, Akmal Rizal beri hint import baharu Penang FC?


  • Podium
  • Sabtu, 03 Feb 2024

Akmal Rizal dilantik dengan harapan dapat membawa semula skuad Harimau Kumbang ke landasan sebenar. — Facebook/Penang FC

PENANG FC pastinya mempunyai sasaran tersendiri di musim 2024/2025 apabila mengambil keputusan untuk melakukan rombakan di bahagian tertinggi mereka dengan melantik pengarah teknikal baharu dan memberi kepercayaan kepada Akmal Rizal Ahmad Rakhli mengemudi pasukan senior.

Legenda kelab, Merzagua Abderrazzak dipilih menjadi pengarah teknikal baharu Harimau Kumbang dengan bekas pemain itu akan bergandingan bersama Akmal Rizal yang sebelumnya membawa satu keputusan positif ketika memegang jawatan berkenaan secara sementara pada musim lalu.

Gerak-geri bekas pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC menjadi ketua jurulatih Penang pasti akan diperhatikan oleh penyokong Harimau Kumbang dengan rata-rata mereka berhasrat untuk menyaksikan magisnya dapat memberi posisi enam teratas pada kedudukan Liga Super musim ini.

Namun sebelum berusaha untuk menghuni kedudukan enam terbaik berkenaan, pemilihan pemain pengendali berusia 42 tahun itu mestilah sesuai dengan corak pemainan yang akan menjadi identiti Akmal Rizal nanti.

BACA LAGI: ‘See you soon’, bekas penyerang Penang hint kembali ke Stadium Bandaraya?

WhatsApp Image 2024-02-03 at 10.47.41

Dua gambar bendera yang dimuat naik Akmal Rizal di platform X.

BACA LAGI: Bakal sertai Sri Pahang FC, tonggak tengah Penang FC ucap selamat tinggal

Sejak mengemudi skuad Bawah 23 tahun (B-23) Harimau Kumbang, Akmal Rizal memberi nafas baharu apabila tampil dengan gaya permainannya yang moden dan ia cukup diminati rata-rata penyokong Penang FC.

Sejajar dengan jendela perpindahan yang sedang berlangsung, Akmal Rizal sepertinya sudah memberi bayangan bintang import baharu untuk membantu memperkuatkan Harimau Kumbang pada musim baharu ini.

Menerusi laman X peribadinya, pengendali kelahiran Jitra, Kedah berkenaan memuat naik tiga gambar bendera dari benua Amerika Selatan (Brazil dan Chile) dan Rwanda yang terletak di Afrika Timur.

Meskipun foto berkenaan tidak mengandungi sebarang konteks namun penyokong kelab Utara tanah air berkenaan membuat spekulasi bahawa ia adalah negara kelahiran pemain import baharu Penang FC yang sudah berada dalam senarai Akmal Rizal.

Setakat ini, bekas juara Liga Perdana 2020 itu masih belum mengumumkan sebarang berita mengenai kemasukan wajah baharu meskipun khabar angin perpindahan sudah mula dibicarakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram