'Belasungkawa FAP', cemerlang musim lalu seakan tak bermakna, futsal Penang akhirnya terkubur


  • Podium
  • Selasa, 06 Feb 2024

Skuad futsal Penang berjaya layak ke pusingan kalah mati MPFL musim lalu. — FA Penang

BELUM lagi saingan bermula, tapi kehangatan Malaysian Premier Futsal League (MPFL) sudah mula terasa walaupun ada yang terpaksa menelan hakikat pahit.

Hal ini kerana, pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengeluarkan senarai bagi lapan pasukan utama untuk saingan MPFL 2024.

Dengan saingan yang bakal bermula pada 17 Februari, FAM telah mengumumkan lapan pasukan yang bakal bertanding dalam divisyen satu yang terdiri daripada juara Pahang Rangers, Johor Darul Ta'zim, Gombak TOT United, KL City, Sabah, Selangor, Shah Alam City dan Terengganu.

Namun begitu, didapati hilang satu nama dalam senarai pasukan bertanding untuk MPFL iaitu Penang. Pasukan Utara yang berpangkalan di Balik Pulau, Pulau Pinang dilaporkan tidak akan beraksi dalam saingan MPFL kali ini.

Keputusan tersebut nyata mengecewakan para penyokong kerana Penang antara salah sebuah pasukan yang beraksi baik dalam MPFL musim lalu. Sebagai rekod, Penang merupakan juara kumpulan A dan berjaya layak ke pusingan seterusnya dalam perebutan kejuaraan.

BACA LAGI: Bintang import JDT dalam radar Tok Gajah, cuma baik loan saja bukan beli terus

BACA LAGI: Kelibat Rizal Ghazali, Daniel Ting di sesi latihan tutup peluang Selangor dan Kedah sambar duo bek Sabah

Menurut laman Penang Brotherhood, keputusan Penang untuk menarik diri daripada saingan MPFL berkait rapat dengan perbelanjaan operasi pasukan yang semakin tinggi.

Walaupun berjaya menghasilkan persembahan baik pada musim lalu, namun masih sukar untuk mereka memperoleh dana diperlukan bagi terus bersaing.

“Setelah beberapa tahun menunjukkan prestasi yang membanggakan hingga layak ke divisyen satu, kini kegemilangan itu terpaksa dilupakan dengan kos operasi yang semakin menggila.

“Amat malang sekali dengan kejayaan demi kejayaan yang dibawa tetapi tetap dipandang sepi,” kata laman tersebut.

Dengan terkuburnya pasukan futsal Penang, ia juga menarik kesedihan dalam kalangan penyokong mereka yang berharapkan ia hanyalah sebuah mimpi.

"Balik Pulau, home of Penang futsal tingga kenangan,” kata penyokong bernama Mohd Aidil Zidane.

“Habis dah modal kita, ada (pasukan) sepak takraw saja,” ujar Fikri Hafiz.

“Sekarang ni semuanya mahal. Liga Super, Piala MFL dan Liga M3 (lagi), aduhai,” komen Mohd Fitri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram