[VIDEO] Angkara gol lewat Hafiz Kamal, fans JDT-Pahang pernah buat Darul Makmur 'panas'


  • Podium
  • Rabu, 07 Feb 2024

Hafiz Kamal (kanan) pernah membuatkan rata-rata penyokong skuad Harimau Selatan kecewa di Stadium Darul Makmur, Pahang.

SEJAK mengumumkan diri sebagai salah sebuah pasukan terbaik dalam sejarah bola sepak tanah air pada 2013, Johor Darul Ta'zim (JDT) terus mencipta persaingan cukup hebat dengan kelab Liga Super yang lain.

Sekiranya ditanya hari ini, orang ramai pasti melabel Selangor FC atau Kedah Darul Aman (KDA) FC sebagai 'musuh utama' skuad Harimau Selatan berdasarkan rekod perlawanan sebelum ini.

Terengganu FC juga boleh dikatakan pencabar hebat buat kelab Selatan tanah air berkenaan kerana pertembungan kedua-dua mereka sering menyajikan aksi cukup berkualiti.

Bagaimanapun, jika ditanya peminat tegar bola sepak tanah air, mereka pasti meletakkan Sri Pahang FC sebagai musuh tradisi buat juara Liga Super 10 kali berturut-turut itu.

Persaingan yang sering disaksikan di atas padang menyebabkan penyokong kedua-dua pasukan sering menantikan perlawanan mereka meskipun skuad Tok Gajah kini jauh ditinggalkan JDT.

BACA LAGI: Sedia 'on loan', jangan biarkan Selangor, Pahang atau Kuching penuhi demand Haqimi Azim

405302445_919699606192683_764051141291719677_n

JDT boleh dikatakan pasukan lebih baik berbanding Sri Pahang FC ketika ini. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Namun, ketika tahun-tahun awal kebangkitan skuad Harimau Selatan, Sri Pahang sering memberi saingan buat mereka dalam kesemua aksi peringkat domestik.

Salah satu pertembungan yang sukar dilupakan adalah ketika JDT dan kelab Pantai Timur berkenaan bertembung dalam aksi minggu keempat Liga Super di Stadium Darul Makmur, Pahang pada 7 Februari 2014.

Jaringan awal daripada Mathias Conti yang sepatutnya meletakkan skuad Tok Gajah di hadapan pada separuh masa pertama tidak berkekalan selepas Pablo Aimar menyamakan kedudukan.

Tidak lama selepas itu, Fauzi Roslan tampil menjadi wira sementara buat tuan rumah apabila menjaringkan gol pada minit ke-48 yang membuatkan ribuan penyokong cukup bergembira.

Namun, sikap tidak mudah mengalah ditampilkan pasukan kendalian Bojan Hodak setelah penyerang berbisa, Safee Sali memastikan kedudukan 2-2 kira-kira 20 minit sebelum wisel penamat ditiupkan.

BACA LAGI: Sri Pahang dipuji bijak kekalkan bek JDT, buka mata KPG pilih pemain

Bagaimanapun, harapan skuad Harimau Selatan untuk meraih walaupun satu mata tidak kesampaian apabila Pahang meraih jaringan kemenangan menerusi Hafiz Kamal pada masa kecederaan yang meletakkan kedudukan 3-2 berpihak buat mereka.

Gol itu sememangnya membuatkan penyokong skuad Tok Gajah melompat keriangan sementara peminat tegar setia JDT kelihatan hampa atas kekalahan mengecewakan terbabit.

Tetapi, ia tidak terhenti di situ apabila berlakunya kekecohan antara kedua-dua penyokong di perkarangan Stadium Darul Makmur, Pahang selepas aksi tamat.

Isu terbabit pada awalnya berpunca daripada provokasi lisan antara satu sama lain di samping tindakan sesetengah pihak yang menunjukkan isyarat lucah.

Meskipun terdapat pihak keselamatan mengawal stadium, masih terdapat pergaduhan kecil tercetus sehingga mendesak anggota polis untuk masuk campur dan meleraikan keadaan.

Berdasarkan laporan, insiden itu menyaksikan hanya seorang penyokong ditahan walaupun video bertebaran di media sosial memaparkan beberapa individu bertanggungjawab atas perbalahan berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram