Hanya satu sebab boleh halang Nooa Laine sarung jersi Selangor tak lama lagi


  • Podium
  • Khamis, 08 Feb 2024

Nooa ketika melakukan penampilan pertama bersama skuad senior. — Facebook/FAM

MENJELANG musim 2024/2025 ini, Selangor FC kelihatan sudah memulakan persiapan rapi untuk memberi saingan sengit kepada pasukan lain apabila antara kelab yang terawal mengumumkan ketibaan pemain baharu mereka.

Setakat ini, Gergasi Merah sudah mengumumkan kehadiran pertahanan Uzbekistan, Umarbek Eshmurodov, Ronnie Fernandez dan Alvin Fortes di bahagian serangan serta penjaga gol tempatan yang berhijrah dari Kuala Lumpur City FC, Azim Al-Amin.

Rekrut Selangor nampaknya tidak berakhir di situ apabila Gergasi Merah dikhabarkan akan membawa seorang pemain warisan yang sedang berpangkalan di luar negara, Nooa Laine.

Walaupun belum ada kesahihan khabar angin berkenaan, namun perasaan penyokong Merah Kuning sudah berbunga-bunga membayangkan jika kelab Lembah Klang berkenaan sah membawa masuk pemain kelab Finland, SJK Seinajoki itu.

“Pemain kebangsaan yang bakal ke Liga Malaysia kini bermain di luar negara, Nooa Hamzah Laine difahamkan dalam radar Selangor FC untuk musim ini. Jika tiada apa apa halangan, Nooa akan diumumkan oleh Selangor dalam masa terdekat,” hantaran dari laman X, Onefootball.my yang membuatkan penyokong Selangor teruja dengan khabar angin berkenaan.

BACA LAGI: Belum masa dapatkan Nooa Laine, tapi saya akan terus bunuh bola sepak negara — TMJ

noaa laine 2

Pengalaman Nooa di Eropah merupakan salah satu aset penting pemain muda itu. — Instagram/Nooalaine

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan ikut jejak JDT, Selangor wajar pertimbangkan rakan Nooa Laine ganti Ayron del Valle

Sekiranya perpindahan mengejutkan itu berlaku, Selangor FC mungkin akan menggunakan khidmat Nooa di posisi pemain tengah bagi menggantikan Brendan Gan yang sudah memutuskan untuk meninggalkan Selangor selepas empat musim bersama.

Penyokong Selangor bagaimanapun masih belum boleh bergembira sepenuhnya dengan desas-desus tersebut apabila khidmat pemain berusia 21 tahun itu juga difahamkan menjadi sasaran kelab gergasi tanah air, Johor Darul Takzim (JDT).

Pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini pernah memberi bayangan pemain skuad kebangsaan berkenaan akan menyertai skuad kendalian Hector Bidoglio.

Dalam masa sama, Tunku Ismail juga menegaskan berkemungkinan Nooa akan digunakan pada musim berikutnya namun segalanya boleh berlaku jika JDT bertukar fikiran pada minit akhir dan akan memutuskan untuk membawa masuk pemain muda itu dengan kadar segera. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram