DESTINASI pemain tengah berpengalaman kebangsaan, Brendan Gan selepas meninggalkan Selangor FC masih menjadi tanda tanya susulan belum ada sebarang pengumuman rasmi dari bintang warisan negara berkenaan.
Brendan memberi lambaian terakhir kepada Gergasi Merah selepas menabur bakti selama empat musim bersama kelab Lembah Klang berkenaan sejak menyertainya pada Disember 2019.
Sebelum bekas kapten Selangor itu berpisah dengan Gergasi Merah, terdapat beberapa kelab Liga Malaysia (Liga M) dikhabarkan ingin mendapatkan khidmatnya.
Sabah FC, Sri Pahang dan Johor Darul Takzim (JDT) sendiri dikhabarkan masih mencuba nasib untuk merekrut pemain campuran Australia-Malaysia berkenaan untuk saingan musim baharu ini.
Sekiranya desas-desus tersebut benar, ia adalah kali kedua JDT menunjukkan minat untuk menggunakan pemain yang dilabel sebagai Kapten Marvel dalam kalangan penyokong Gergasi Merah berkenaan.
Mengimbau semula saingan Liga M 2014, Brendan yang ketika itu baru setahun jagung bersama Kelantan menarik minat pengendali Harimau Selatan ketika itu, Bojan Hodak untuk membawanya masuk ke kem JDT.
Brendan beraksi bersama Kelantan dari musim 2014 hingga 2016. — Agensi
Pemain berusia 35 tahun itu bagaimanapun menolak tawaran berkenaan kerana dia merasakan bukan masa sesuai untuk dia meninggalkan Kota Bharu.
“Saya sangat berbesar hati apabila JDT menghubungi saya pada 2014. Tetapi ketika itu saya merasakan masa yang kurang sesuai untuk menukar pasukan dan bandar (Kota Bharu).
“Pada masa yang sama saya masih ada baki kontrak setahun dengan Kelantan sebagai pemain tempatan.
“Jadi saya memutuskan untuk kekal bersama The Red Warriors sehingga kontrak saya tamat dan cuba berjuang untuk trofi,” katanya memetik laporan media ketika itu.
Isu berkenaan bagaimanapun berlarutan sehingga ke 2017 apabila Alistair Edwards yang kini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT menafikan kenyataan kelab tersebut mahu menggunakan khidmat Brendan.
Alistair tidak menafikan Bojan pernah menginginkan khidmat Gan namun pemilik kelab JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris.
“Sehingga hari ini (2017) dia (Brendan) memang tiada dalam perancangan kami. Tiga tahun telah berlalu dan saya boleh mengesahkan bahawa kenyataan yang mengatakan JDT berminat untuk mengambil Brendan Gan (ketika itu) adalah tidak benar sama sekali,” kata Alistair yang ketika itu memegang jawatan sebagai Pengarah Sukan JDT. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram