KEHILANGAN Brendan Gan pastinya ditangisi penyokong Selangor FC memandangkan sumbangan pemain terbabit sepanjang empat musim bersama pasukan itu sukar dilupakan.
Meskipun catatan 14 gol dan 12 bantuan jaringan dalam 80 bantuan penampilannya tidaklah begitu megah, personalitinya di atas padang merupakan perkara yang cukup sinonim dengannya.
Kesungguhannya untuk bangkit selepas mengalami kecederaan 'anterior cruciate ligament' serta kanser testis menjadi bukti akan sikapnya yang enggan berputus asa.
Selain itu, nilai kepimpinannya juga tidak boleh dipandang enteng apabila pihak kejurulatihan beberapa kali memberikan kepercayaan untuknya memakai lilitan kapten.
BACA LAGI: Ketibaan Umar Eshmurodov jadi rekrut pertama Selangor FC
Brendan Gan diumumkan tidak akan lagi bersama skuad Gergasi Merah untuk saingan akan datang.
Jadi, dengan Brendan Gan kini sudah tidak lagi bersama skuad Gergasi Merah, persoalan pastinya timbul mengenai pengganti buatnya pada musim depan yang lebih mencabar.
Kebolehannya untuk beraksi dengan bersungguh-sungguh sepanjang 90 minit permainan sememangnya sukar diganti, lebih-lebih lagi melihat kepada usianya yang sudah mencecah 36 tahun.
Bagaimanapun, persoalan mengenai siapakah calon terbaik untuk dilantik sebagai kapten pasukan merupakan teka-teki yang perlu dijawab segera pengendali pasukan, Tan Cheng Hoe.
Imej Selangor FC yang cukup digeruni serta dihormati dalam arena bola sepak tanah air memerlukan seseorang dengan pengaruh tersendiri untuk menjadi teladan di atas mahupun di luar padang.
Meskipun keputusan hanya boleh dibuat pihak kejurulatihan pasukan, Majoriti melihat terdapat tiga pemain terbaik untuk mewarisi peranan itu daripada Brendan Gan musim depan.
1. Safuwan Baharudin
Ketika ini, calon terbaik untuk memikul tanggungjawab itu pastinya bek tengah import, Safuwan Baharudin yang beberapa kali memikul peranan tersebut musim lalu.
Dia yang cukup sinonim dengan peranan tersebut setiap kali ketiadaan Brendan Gan boleh dikatakan sesuai untuk mewarisinya atas beberapa faktor utama.
Pengalamannya di peringkat antarabangsa bersama Singapura boleh dikatakan sebagai faktor terbaik untuk mendesak Cheng Hoe memberikannya kepercayaan itu.
BACA LAGI: Cheng Hoe optimis tanker Uzbek boleh tambah kualiti pertahanan Selangor
Safuwan merupakan calon utama untuk memakai lilitan kapten skuad Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC
Selain itu, Safuwan yang sudah hampir lima musim bersama skuad Gergasi Merah pastinya cukup sinonim dengan reputasi kelab tersebut dalam kalangan penyokong.
Jadi, sekiranya Selangor FC mahu memberikannya tanggungjawab berat itu, Safuwan dilihat mampu memikulnya dengan cemerlang baik di pentas domestik mahupun Asia.
Keputusan itu juga pastinya akan disokong orang ramai memandangkan bek tengah berkenaan mempunyai hubungan cukup baik bersama Brendan memandangkan masing-masing boleh diangkat sebagai tulang belakang pasukan.
2. Faisal Halim
Meskipun baru sahaja semusim bersama pasukan Lembah Klang itu, penyerang sayap, Faisal Halim tidak mempunyai sebarang isu untuk menyesuaikan diri.
12 gol dan lapan bantuan jaringan yang direkodkannya dalam 23 penampilan Liga Super cukup penting dalam merealisasikan misi Selangor FC untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2 musim depan.
Sumbangan tersebut sudah meletakkannya sebagai antara watak cukup penting dalam kalangan penyokong naib juara Liga Super 2023 berkenaan.
Faisal pernah dilantik kapten dalam skuad kebangsaan sebelum ini. — Facebook/FAM
Jadi, sekiranya skuad Gergasi Merah mahu terus mengakui kepentingannya dalam pasukan, pemberian peranan kapten pasti akan menjadi bukti bahawa kehadirannya amat dihargai.
Faisal yang beberapa kali diberikan kepercayaan itu bersama Harimau Malaya pastinya tidak akan berasa kekok untuk memikul peranan itu jika ditugaskan.
Malah, hubungannya yang cukup baik dalam kalangan rakan sepasukan sememangnya akan menjadikannya kapten terbaik dalam misi Selangor FC meneruskan prestasi cemerlang pada saingan akan datang.
Bagaimanapun, dengan pemain berusia 26 tahun berkenaan sudah diberikan tugasan penting dalam jentera serangan pasukan, terdapat kemungkinan Faisal tidak akan terus dibebani dengan peranan kapten pasukan.
3. Umar Esmurodov
Setakat ini, skuad Gergasi Merah menjadi antara pasukan tersibuk sepanjang jendela perpindahan dengan beberapa pemain baharu dibawa masuk.
Antara rekrut baharu yang sememangnya mencuri perhatian penyokong ialah bek tengah kebangsaan Uzbekistan, Umar Esmurodov yang diharapkan dapat mengukuhkan lagi benteng pertahanan pasukan.
Di samping mempunyai kualiti permainan cukup baik, keputusan mendapatkan pemain tersebut disokong ramai pihak melihat kepada pengalamannya sebagai pemimpin di atas padang.
Umar mempunyai pengalaman beraksi sebagai kapten sepanjang kariernya. — Agensi
Berdasarkan rekod, bek tersebut sudah beberapa kali dilantik sebagai kapten pasukan, termasuk FC Nasaf Qarshi yang merupakan kelab terakhirnya sebelum menyertai Selangor FC.
Jadi, sekiranya Cheng Hoe mahu mendapatkan seorang kapten dengan pengalaman di pentas Asia, kepercayaan tersebut boleh diberikan kepada Umar musim depan.
Namun, dengan pemain itu baru sahaja menyertai skuad Gergasi Merah, kemungkinan untuknya diberikan tanggungjawab itu adalah tipis kerana terdapat calon lain lebih baik.
Tetapi, sekiranya beberapa tonggak utama lain mengalami kecederaan, Cheng Hoe pastinya akan tertarik dalam memberikan Umar kepercayaan itu meskipun untuk satu aksi sahaja. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram