Cheng Hoe optimis tanker Uzbek boleh tambah kualiti pertahanan Selangor


  • Podium
  • Jumaat, 02 Feb 2024

Eshmurodov (kanan) ketika menerajui benteng pertahanan Uzbekistan. — Instagram/Uzbekistan

SELANGOR FC akhirnya menemui pengganti Yazan Al-Arab apabila kelab Lembah Klang itu berjaya mendapatkan pertahanan kental dari Uzbekistan iaitu Umar Eshmurodov.

Khabar angin Eshmurodov bakal menyertai Selangor sudah menjadi modal berborak penyokong sejak Disember lepas dan sejak itu, 'pemain ke-12' rata-ratanya hanya menunggu pengumuman rasmi daripada kelab Gergasi Merah berkenaan.

Kehadiran kereta kebal dari negara Asia Tengah itu ke Selangor turut dinanti pengendali, Tan Cheng Hoe yang yakin bahawa bek tengah berusia 31 tahun tersebut dapat meningkatkan kualiti jentera pertahan Gergasi Merah.

Keyakinan Cheng Hoe terhadap kualiti Eshmurodov pastinya diukur selepas pemain berketinggian 1.85 berkenaan mempunyai pengalaman beraksi di saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) bersama bekas kelabnya, Nasaf Qarshi.

BACA LAGI: [VIDEO] Bakal ganti Yazan, Selangor selangkah sign bek kental Uzbek

BACA LAGI: Ketibaan Umar Eshmurodov jadi rekrut pertama Selangor FC

"Saya pasti pengalaman Eshmurodov dalam Piala Asia dan Liga Juara-Juara Asia akan meningkatkan keyakinan terutamanya di barisan pertahanan," kata Cheng Hoe menerusi Instagram Selangor FC.

Selain pengalaman mahal di peringkat tertinggi Asia itu, Eshmurodov juga merupakan pertahanan utama skuad kebangsaan Uzbekistan yang kini sedang berjuang di Piala Asia 2023.

Eshmurodov dijangka akan menjadi taruhan utama pengendali Uzbekistan, Srecko Katanecdan untuk perlawanan getir menentang pasukan tuan rumah, Qatar bagi peringkat suku akhir.

Untuk rekod, Selangor merupakan kelab luar Uzbekistan pertama buat Eshmurodov apabila bekas ketua pasukan Nasaf Qarshi itu cuma bermain di negaranya sepanjang karier.

Sebelum ini, Eshmurodov pernah mewakili kelab lain seperti Shurtan Guzar serta Pakhtakor Tashkent yang merupakan gergasi bola sepak Uzbekistan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram