KERANCAKAN Selangor FC dalam menambah baik skuad mereka menjelang musim baharu Liga Super menerima reaksi positif oleh penyokong.
Kehadiran Umar Eshmurodov, Ronnie Fernandez, Alvin Fortes serta Azim Al-Amin memberikan petanda betapa seriusnya Gergasi Merah untuk menyerlah di peringkat tempatan dan Asia.
Namun begitu, kesemua rekrut Selangor tersebut tidaklah menyelesaikan masalah yang sepatutnya dibaiki mereka. Di saat mereka mendapatkan pertahanan tengah, penyerang dan penjaga gol, Selangor sepatutnya membaiki pertahanan kiri yang sudah lama bermasalah.
Dengan Selangor menjadi kelab yang menerima kuota pemain import tambahan oleh Malaysian Football League (MFL) untuk musim baharu, Majoriti mengenal pasti tiga pertahanan kiri yang boleh diambil mereka. Sekali sekala pakai pemain import di posisi tersebut tak salahkan?
1. Omar Bertel
Pemain pertahanan kiri dari Colombia ini boleh dipertimbang oleh Selangor jika mereka ingin menguatkan posisi tersebut dengan tenaga import.
Mempunyai rekod menjuarai Liga Colombia, Piala Colombia dan Piala Super Colombia, semestinya Bertel mempunyai mentaliti juara yang diperlukan seperti yang sering ditekankan oleh penyokong-penyokong Selangor.
Bertel yang berusia 27 tahun kini tinggal setahun dalam kontraknya bersama-sama Millinarios, memandangkan masanya dengan kelab itu semakin singkat, Selangor boleh datang untuk cuba memancingnya ke Malaysia.
Jika berjaya, Selangor secara tak langsung berjaya mendapatkan bekas rakan sepasukan Ayron del Valle yang pernah beraksi bersama kelab tersebut satu masa dulu.
BACA LAGI: Jadi bintang HM pertama beraksi di Indonesia, Safee Sali buka jalan teroka liga seberang
Bertel bermain untuk Millinarios sepanjang kariernya. — Agensi
2. Kang Sang-woo
Jika Selangor ingin dapatkan pertahanan kiri daripada Asia, Kang Sang-woo boleh dijadikan sebagai pilihan.
Pertahanan kiri berusia 30 tahun dari Korea Selatan itu kini beraksi untuk Beijing Guoan dan sama seperti Bertel, kontraknya akan tamat pada akhir tahun 2024.
Namun apa yang membezakan kedua-dua pemain adalah Sang-woo juga boleh bermain di posisi lain seperti pertahanan kanan serta pemain tengah bertahan, menjadikan dia seorang pemain utiliti.
Sang-woo juga mempunyai antara pemain yang kerap dipanggil dalam skuad kebangsaan Korea Selatan. Walaupun bukanlah pemain utama, tetapi itu adalah bukti yang dia adalah yang terbaik di posisinya dalam skuad Pahlawan Taeguk.
BACA LAGI: Kehadiran Fortes boleh selesaikan masalah 'winger' Selangor, bantu beri cabaran di Asia
Sang-woo pernah menjadi ketua pasukan di Pohang Steelers. — Agensi
3. Sherzod Nasrullaev
Satu lagi nama pemain dari Asia yang boleh dikejarkan oleh Selangor adalah Sherzod Nasrullaev dari Uzbekistan.
Nasrullaev merupakan rakan sepasukan Eshmurodov di Nasaf Qarshi sebelum pertahanan tengah itu memilih untuk menyertai Selangor.
Seperti Bertel, Nasrullaev turut mempunyai rekod baik dari segi koleksi kejuaraan. Untuk rekod, dia memenangi tiga Piala Uzbekistan dan satu Piala Super Uzbekistan.
Nasrullaev meraikan jaringannya bertemu India di Piala Asia 2023. — Agensi
Nasrullaev merupakan salah seorang daripada pemain yang beraksi untuk Uzbekistan di Piala Asia 2023. Dia bermain dua perlawanan peringkat kumpulan menentang Syria dan India.
Dia mempunyai 19 penampilan berserta satu gol untuk negaranya. Nasrullaev dilihat calon terbaik untuk Selangor jika mereka ingin mendapatkan pertahanan kiri import. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram